Oleh Ahmad Shahrul Nizam Muhammad
KERAJAAN komited dan serius menjayakan semua agenda pembangunan yang terkandung dalam 12 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) termasuk membabitkan 37 Projek Permulaan (EPP) dan 19 projek yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, semalam.
Bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Seri Idris Jala berkata, kejayaan semua agenda itu termasuk Program Transformasi Ekonomi (ETP) bergantung kepada tindakan dan usaha semua pihak berkaitan bagi mewujudkan suasana pasaran yang sesuai sebagai pemangkin ke arah memacu penjanaan ekonomi berkaitan.
Beliau berkata, kepemimpinan Perdana Menteri terus membuktikan usaha kerajaan yang begitu serius bagi menjayakan semua agenda yang terkandung dalam NKEA, EPP dan ETP. “Bagaimanapun, mereka yang terbabit secara langsung dalam pelbagai sektor berkaitan harus berusaha meraih keyakinan pengusaha dan pelabur asing bagi mendapatkan komitmen jangka panjang untuk meningkatkan lagi penguasaan pasaran kita yang kini sekitar RM52 bilion atau 13 peratus.
“Semua perancangan pelaburan harus menjurus kepada pelan strategik berdasarkan 12 NKEA bagi memastikan tiada pertindihan selain menjamin setiap sumber sedia ada dimanfaatkan sebaik mungkin dan mencerminkan tuntutan atau keperluan pasaran semasa,” katanya pada sidang media selepas Najib yang juga Menteri Kewangan mengumumkan perkembangan terkini ETP ketiga, di Putrajaya, semalam.
Turut hadir, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Mengulas lanjut, Idris berkata, ia (agenda berkenaan) bukan sekadar untuk melonjakkan nama negara, tetapi dilihat sebagai asas penting bagi memantapkan daya saing dalam era globalisasi. Idris, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Penyampaian (Pemandu), menjelaskan majoriti 19 ETP bernilai RM67 bilion itu membabitkan pelaburan dalam sektor minyak, gas dan tenaga, perkhidmatan perniagaan serta kesihatan seperti yang disebut dalam pengumuman Perdana Menteri.
Source: Harian Metro Malaysia Online.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan