Jumaat, 14 Januari 2011

Forum Setiakawan Malaysia-Indonesia esok



KUALA LUMPUR 13 Jan. – Forum Setiakawan Malaysia-Indonesia anjuran Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) dan Utusan Malaysia akan diadakan pada Sabtu ini bagi mengupas isu-isu semasa yang bertujuan mengukuhkan hubungan rakyat kedua-dua buah negara.

Forum yang diadakan di rumah Gapena, Jalan Dewan Bahasa dan Pustaka di sini, terbuka kepada orang ramai.

Ketua Satu Gapena, Profesor Emeritus Tan Sri Ismail Hussein berkata, forum itu akan membincangkan pelbagai isu melibatkan aspek budaya, sosial dan politik dengan matlamat untuk memperkukuhkan hubungan di kalangan rumpun Melayu.

Dalam hubungan ini, jelas beliau, permasalahan yang wujud dalam hubungan rakyat kedua-dua negara akan turut disentuh bagi memastikan ia tidak mengeruhkan hubungan di kalangan mereka.

“Sejak akhir-akhir ini ada beberapa isu membabitkan Malaysia dan Indonesia telah menimbulkan ketegangan hubungan di kalangan rakyat kedua-dua negara.

“Oleh itu, melalui forum ini, Gapena berharap segala kemelut yang membelenggu rakyat kedua-dua negara dapat ditangani dan diselesaikan dengan baik,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Turut hadir Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena), Mohamad Saleeh Rahamad dan Ketua Media Gapena, Borhan Md. Zain.

Ismail berkata, panel khas bagi forum yang pertama kali diadakan itu ialah Pengarah Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya (UM) dan Setiausaha Satu Gapena, Profesor Madya Datuk Zainal Abidin Borhan dan Ahli Sosiologi Indonesia dan juga Pensyarah Pelawat UM, Profesor. Dr Amri Marzali.

Menurutnya, forum itu akan diadakan dari semasa ke semasa dengan melibatkan penyertaan pelbagai pihak dalam usaha mengukuhkan hubungan rakyat kedua-dua negara.

Isu-isu semasa melibatkan Malaysia dan Indonesia jelas beliau, perlu dikupas secara ilmiah demi kepentingan bersama selain mengelakkan pihak luar memanipulasi isu-isu tersebut.

Beliau berharap, melalui perbincangan seumpama itu, pihak terlibat dapat menyuarakan pandangan mereka secara terbuka untuk faedah bersama.

Menurut Ismail, Gapena turut menjemput ahli-ahli akademik, para siswazah dan sarjana untuk bersama-sama berkongsi pandangan dan pendapat dalam sesi perbincangan forum itu.

Selain itu, Gapena juga, katanya, bercadang menjemput persatuan-persatuan, golongan pekerja serta para siswazah dari Indonesia untuk menghadiri forum tersebut.

Source: Utusan Malaysia Online.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan