Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL
pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 15 Jan. - Pihak ketiga dari rantau Asia Tenggara dikatakan turut memainkan peranan untuk menghancurkan hubungan antara Malaysia dan Indonesia yang semakin akrab ketika ini.
Setiausaha Satu Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena), Prof. Madya Datuk Zainal Abidin Borhan berkata, pihak ketiga itu cemburu dan bimbang dengan keakraban hubungan serta semangat setiakawan dua negara yang terjalin antara Malaysia dan Indonesia.
Kebimbangan itu juga katanya, berasaskan kepada peningkatan kuasa ekonomi orang Melayu dan kebangkitan Islam di rantau ini terutama yang disumbangkan oleh rumpun Melayu di kedua-dua negara.
''Pihak ketiga ini pula mempunyai pengaruh yang besar dalam rangkaian media utama dan berdiri di sebalik kebebasan bersuara untuk mengeruhkan hubungan antara kedua-dua negara," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sebagai salah seorang panel pada Forum Setiakawan Malaysia-Indonesia anjuran Gapena dan Utusan Malaysia yang diadakan di rumah Gapena di sini hari ini.
Forum yang julung-julung kali diadakan itu turut disertai oleh Pensyarah Pelawat Universiti Malaya (UM), Prof. Dr. Amri Marzali sebagai ahli panel kedua dan dipengerusikan oleh Ahli Jawatankuasa Kerja Gapena, Prof. Datuk Dr. Zainal Kling.
Turut hadir Ketua Satu Gapena, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Ismail Hussein dan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Aziz Ishak.
Zainal Abidin menambah, kurangnya pemahaman dari sudut sejarah hubungan antara Malaysia dan Indonesia di kalangan generasi muda kedua-dua negara juga dijadikan kesempatan oleh pihak ketiga untuk menyemarakkan rasa kebencian.
Ia juga katanya, memperlihatkan kelemahan dalaman yang dimiliki oleh kedua-dua negara terutama dari sudut memperkasa elemen sejarah hubungan kedua-dua negara di kalangan generasi muda.
Justeru jelas beliau, Malaysia dan Indonesia perlu memperhebatkan usaha mengukuhkan kerjasama terutama hubungan kebudayaan yang dikongsi bersama.
''Kerjasama dua hala itu boleh diadakan dalam pelbagai bidang seperti antara media, bidang ketenteraan dan kepolisan, kerjasama antara pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta antara negeri dan wilayah," katanya.
Sementara itu Amri berkata, semangat serumpun yang semakin terhakis di kalangan rakyat Indonesia berkemungkinan turut disumbangkan oleh kekecewaan atas sikap 'sombong' saudara serumpun di Malaysia.
Ini kerana katanya, orang Melayu di Indonesia melihat orang Melayu di Malaysia jauh ke hadapan dalam pelbagai bidang terutama dari sudut pembangunan ekonomi dan kemajuan negara.
''Tidak dinafikan ada sedikit perasaan cemburu di kalangan rakyat Indonesia terhadap kejayaan Malaysia terutama ketika era pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan ini sedikit sebanyak memberi kesan terhadap hubungan di kalangan rakyat antara kedua-dua negara," katanya.
Beliau menambah, hubungan antara rakyat itu juga semakin tercabar apabila beberapa isu bersifat bilateral yang seharusnya boleh diselesaikan oleh kerajaan diperbesar-besarkan oleh media arus perdana yang mempunyai kepentingan peribadi.
''Isu-isu itu termasuk perebutan pulau, konflik persempadanan, masalah buruh dan imigran serta dakwaan hak milik sesuatu kebudayaan," katanya.
Source: Mingguan Malaysia Online.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan