Awang Selamat
Konsortium Usahawan Makanan dan Industri Asas Tani Sdn Bhd. (Komita) telah mengadakan misi mempromosi produk usahawan kecil sempena 1Malaysia Best Carnival di Perth, Australia, baru-baru ini.
Komita dianggotai oleh usahawan-usahawan kecil bumiputera. Misi mempromosi produk ahli-ahlinya itu membuahkan hasil.
Lebih 100 produk sejuk beku dan kering dapat memasuki pasaran Australia. Produk-produk tersebut antaranya pulut panggang, kuih bakar, murtabak raja dan jus asam jawa telah melepasi kuarantin ketat pihak berkuasa negara berkenaan.
Sebagai rakyat Malaysia, Awang gembira apabila mendapat tahu hal itu. Siapa kata produk keluaran syarikat bumiputera tidak berkualiti?
Di sebalik kisah kejayaan memasuki pasaran Australia, rupa-rupanya ada cerita duka berkaitan mereka di tanah air sendiri.
Awang difahamkan, produk-produk sama yang dapat memasuki pasaran Australia, gagal disenaraikan untuk pasaran hypermarket di Malaysia. Pelbagai syarat ketat dan caj dikenakan sehingga membebankan usahawan kecil.
Menurut Pengerusi Eksekutifnya, Sheikh Ahmad Dusuki Sheikh Mohammad, sekiranya disenaraikan pun, produk usahawan kecil dianaktirikan dan diletakkan pada susunan atau rak yang kurang menjadi perhatian.
Lalu Awang meluangkan masa meninjau beberapa pasar raya besar. Apa yang disuarakan oleh Sheikh Ahmad memang ada kebenarannya. Hal ini bukanlah baru, sudah lama menjadi isu. Di mana silapnya dan sampai bila produk usahawan kecil kita terpaksa merempat di tanah air sendiri.
Source: Mingguan Malaysia Online
Tiada ulasan:
Catat Ulasan