Ahad, 26 Disember 2010

Bertenang ketika di Tenang











DAHULU orang takut menjadi pemimpin, sebab mereka tahu bahawa memimpin itu adalah satu tanggungjawab dan amanah yang akan disoal oleh Allah SWT. Sebagai respons, rakyat selalu mendoakan pemimpin atau wakil rakyat mereka supaya sentiasa sihat dan panjang umur.

Kini, keadaan mula berubah. semua berlumba mahu jadi pemimpin, tanpa mengira kelayakan, bakat dan kebolehan. Golongan cerdik pandai sukar untuk mendapat tempat kerana telah dicantas sejak awal-awal lagi.

Mungkin ada benarnya kata-kata, rakyat hari ini mula mendoakan wakil rakyatnya cepat mati, kerana dengan kematian itu akan berlaku pilihan raya kecil dan hajat untuk dicalonkan sebagai wakil rakyat mungkin tercapai. Bagi rakyat marhaen pula, lain pula keseronokannya, kerana mendapat pelbagai peruntukan seperti jalan raya dan rumah baharu. Pendek kata, dengan adanya pilihan raya, landskap atau keadaan sesuatu kawasan berubah serta-merta. Tidak kira sama ada kawasan tersebut di bawah BN atau pembangkang.

Inilah budaya pemikiran pandir atau politik pandir yang masih berlaku dalam budaya politik negara kita seperti yang diungkapkan oleh Syed Hussin Al-attas. Perkara sebegini jarang berlaku di negara maju. Mereka yang ingin menjadi pemimpin, mesti membuktikan bahawa mereka benar-benar boleh memimpin. Jika tidak, mereka akan ditinggalkan dalam arus perdana. Justeru, kita lihat pemimpin negara maju mengamalkan sikap begitu mulia, jika terpilih jadi pemimpin, Alhamdulillah. Jika tidak terpilih, bersangka baik dan tidak khianat. Malah, terus berusaha memperkasakan parti demi untuk agama, bangsa dan negara. Itulah bahasa yang mudah diungkapkan, walaupun semua negara maju adalah bukan negara Islam. Tetapi nilai-nilai Islam dapat dilihat di sana. Nilai-nilai inilah yang menjadikan mereka cepat maju. Berbanding dengan negara-negara Islam yang masih ketinggalan. Nama saja Islam, akhlak entah ke mana, hidup penuh khianat, tipu daya dan pura-pura. Pahit juga untuk membuat generalisasi sedemikian, tetapi itulah hakikatnya.

Senario yang disebutkan perlu menjadi ingatan kepada kita dalam menikmati suasana tenang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang dalam sebuah negara yang tenang. UMNO (BN) tidak boleh terlalu yakin dengan kemenangan sebelum ini kerana pakatan pembangkang juga mempunyai keyakinan yang sama, apatah lagi setelah berakhir konvensyen mereka baru-baru ini. Ternyata parti ultra kiasu telah mengubah strateginya. Kalau dahulu, mereka begitu elergi dengan negara Islam Pas kali ini rentaknya sudah berubah, mereka mahukan penyelesaian. Apakah konsep negara Islam Pas akan diterima?

Menurut Profesor Aziz Bari, isu negara Islam tidak termasuk dalam dasar bersama pakatan pembangkang. . Beliau juga mencadangkan pakatan pembangkang yang dianggotai Pas, PKR dan DAP memberi tumpuan ke atas perkara-perkara lain daripada bercakap soal negara Islam.

Saranan Aziz Bari bukan mudah untuk dipersetujui oleh Pas kerana Presiden Pas sudah memberikan respons bahawa Pas perlukan masa untuk menjelaskan kepada DAP tentang konsep negara Islam. Saranan saya, Pas tidak perlu jelaskan kepada DAP, kerana DAP tidak pernah akan bersetuju. Lebih baik Pas duduk bersendirian daripada bersubahat dengan kemungkaran dalam pakatan pembangkang.

Komen

Saya juga ingin sangat mendapatkan komen Pas mengenai gambar Lim Kit Siang mengangkat dan memegang tangan Presiden PKR Datin Seri Wan Azizah Ismail di atas pentas ketika konvensyen PR baru-baru ini yang siarkan dalam MalaysianInsider. Malangnya gambar tersebut tiba-tiba hilang apabila saya ingin cetak kerana telah dikeluarkan. Inilah kegusaran Pas dan mungkin juga PKR, apabila berdepan dengan parti ultra kiasu yang bersifat sekular ini. Mereka tidak kenal halal haram, walaupun mereka mendakwa mahu mengikut pemerintahan Umar Abdul Aziz.

Jangan pula tanya saya, UMNO pun sama juga? Bukankah selama ini Pas menuduh UMNO tidak Islamik? Jadi, jika ada perkara yang melanggari batas, jawapannya wajar. Jika Pas benar-benar ikhlas dengan perjuangan, tidakkah wajar Pas membetulkannya, daripada terus menuduh UMNO semuanya tidak betul. Pas juga wajar diperbetulkan oleh UMNO, kerana dilihat ‘dipergunakan’.

Perkembangan Pas mutakhir ini begitu menarik perhatian. Sedikit demi sedikit Pas mula berubah mengikut peredaran masa, walaupun mungkin terpaksa ‘menggadaikan prinsip’. Namun, Pas berada dalam keadaan yang sukar dalam pilihan kecil ini. Jika Pas mahukan ‘diamkan isu negara Islam, sudah tentu ia akan mendapat tentangan daripada ahli-ahli partinya. Pas, negara Islam dan hudud sudah sinonim. Walaupun Karpal Singh sudah menunjukkan ‘lampu hijau’ untuk membincangkan isu negara Islam, itu bukan bermakna beliau menerima isu yang dilihat “duri dalam daging” dalam hubungan Pas - DAP.

Kedua-dua parti ini mendakwa mereka adalah parti untuk semua kaum. Namun, tindak tanduk mereka tidak sedemikian. Pas tetap akan bertanding di kawasan majoriti Melayu, begitu juga dengan DAP di kawasan majoriti Cina. Jika mereka benar-benar parti untuk semua kaum, bertandinglah di kawasan yang sebaliknya. Apa pun, DAP tetap parti dominasi Cina, begitu juga dominasi Melayu dalam Pas.

Sesiapapun yang mengkaji politik Malaysia mengetahui, memang senario politik Malaysia adalah bersifat perkauman. Mahu tidak mahu, UMNO perlu wujud. UMNO perlu mewakili majoriti orang Melayu kerana semua etnik telah diwakili melalui penubuhan parti-parti politik etnik masing-masing. Malangnya parti etnik Melayu hanya diwakili oleh UMNO satu sahaja.

Bukan Melayu

Sedangkan bukan Melayu diwakili oleh begitu banyak parti etnik bangsa dan suku-sukunya dalam BN. Begitu juga dengan isu agama, Islam yang dibawa UMNO terpaksa menghadapi paling kurang lima agama yang diwakili oleh parti-parti tersebut. Bagaimanakah UMNO hendak menghadapi semua tuntutan ini, jika Islam yang diwakilinya tidak begitu kuat atau banyak bilangannya?

Selama ini UMNO berseorangan menghadapi mereka semua. Itu yang menyebabkan kadang kala keputusan UMNO ibarat diluah mati mak, ditelan mati bapak, terutama selepas PRU 2008.

Ada kalanya UMNO terpaksa ‘menggadaikan prinsip’ disebabkan oleh tuntutan dan desakan luar teramat kuat. Pada saya, di saat-saat ini Pas perlu tampil menghulurkan bantuan. Bukan seronok melihat UMNO hancur.

Percayalah, jika UMNO hancur, Melayu akan hancur. Tidak semua Melayu UMNO akan menyokong Pas sekiranya UMNO hancur. Walaupun Pas mungkin boleh mendabik dada dengan mengatakan bahawa Pas adalah parti alternatif orang Melayu, selepas melihat UMNO hancur.

Sejarah membuktikan bahawa percubaan untuk menubuhkan parti pelbagai kaum telah gagal seperti yang cuba dilakukan oleh Dato’ Onn Jaafar melalui Parti Kemerdekaan Malaya (IMP) 1951, setelah kecewa dengan UMNO. Walaupun Parti Negara yang ditubuh selepas itu tidak membuka keahlian kepada bukan Melayu, tetapi tidak mendapat sambutan, kerana orang Melayu sudah ada alternatif iaitu UMNO.

Pendek kata, politik Malaysia sudah sebati dengan perkauman. Politik, ekonomi, pendidikan dan sosial semuanya perkauman. UMNO boleh berbeza pendapat dengan Pas. Begitulah sebaliknya. Tetapi janganlah sampai perbezaan tersebut sehingga boleh menimbulkan konflik yang berpanjangan. Tidak perlulah mengeluarkan kata-kata hancurlah UMNO atau hancurlah Pas. Bertanding secara profesional tanpa mengecam dan mengumpat. Elok kita bertenang sedikit ketika berada dalam suasana Tenang.

Janganlah dicemari dengan insiden-insiden politik pandir yang saya sebutkan tadi. Apatah lagi jika mesej Islam yang diperjuangkan oleh parti yang bertanding. Kalimah ‘Islam’ itu membawa makna yang begitu besar apabila Ia digunakan dan tidak boleh sama sekali dipermainkan.

Penggunaan kalimah Islam sepatutnya melembutkan hati-hati kita, bukan menjadikan kita semakin ego. Sudahkah kita lupa adab-adab berbeza pendapat atau adabul ikhtilaf. Berbeza pendapat dibenarkan selagi tidak putus persaudaraan, apatah lagi sehingga berpecah-belah.

Jika Rasulullah SAW hidup saat ini dan melihat keadaan umatnya, Baginda pasti akan menitiskan air mata. Hati Baginda mungkin hiba melihat betapa negara-negara Islam begitu ketinggalan berbanding negara-negara Barat. Kehibaan ini bukan disebabkan oleh keadaan umat Islam ketinggalan, tetapi yang membuat hati Nabi Muhammad begitu terluka, adalah ketika umat Baginda saling membenci dan bermusuhan antara satu sama lain. Umatnya begitu bodoh sehingga boleh dipergunakan. Inilah punca mereka ketinggalan.

Source: Mingguan Malaysia Online.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan