Isnin, 22 November 2010

Orania, kemunculan semula dasar Apartheid?








KERINDUAN pada masa lalu merebak di kalangan kulit putih Orania di Afrika Selatan yang melaksanakan dasar Apartheid terhadap warga kulit hitam pada tahun 1948 hingga 1994. Lalu tersiar gambar seorang dewasa mengajar kanak-kanak kulit putih bagaimana menembak menggunakan pistol.

Pertanyaan lantas dicatat: Apakah ini permulaan era baru diskriminasi antara kaum? Walhal Presiden Afrika Selatan sejak sekian lama ialah tokoh kulit hitam.

Laporan dalam majalah Inggeris yang sama ialah mengenai Nelson Mandela, Presiden kulit hitam pertama. Puluhan tahun ia ditahan dalam penjara di Pulau Robben oleh rejim Apartheid.

Pembinaan semula Orania dilancarkan pada tahun 1991 oleh Profesor Carel Boshoff, menantu mendiang Hendrik Verwoerd yang dianggap sebagai pelopor dasar Apartheid.

Beliau membeli sebuah pekan lama yang penduduknya hanya seramai 11 orang. Ia kemudian menjadi masyarakat yang maju dengan penduduk seramai 450 orang, lengkap dengan pasar raya dan kedai-kedai serta khidmat doktor, para peguam dan arkitek, dua buah sekolah serta stesen radio.

Terdapat dipelbagai tempat di pekan tersebut ialah patung-patung Verwoerd yang pernah menyatakan bahawa pemerintahan kulit putih yang minoriti di Afrika Selatan akan kekal selama-lamanya.

Pihak berkuasa Orania juga mengatur pelbagai lawatan ke Israel untuk mempelajari teknik-teknik pertanian Israel kerana Orania mahu diperbesarkan hingga mempunyai 25,000 penduduk.

Profesor Boshoff menjelaskan: “Orania merupakan eksperimen dan ia telah berjaya”. Menurutnya, dua buah lagi pekan menyerupai Orania perlu diwujudkan setelah berjaya mengundang bekas Presiden Nelson Mandela.

Masa depan Afrika Selatan pada keseluruhannya dianggap belum menentu. Masa depan Orania pula dianggap lebih rumit diramalkan. Ayat akhir laporan berbunyi: “Patung-patung yang diletakkan di lereng bukit bukan boleh melihat apa-apa”.

Laporan mengenai Mandela diberi judul Letters From The Darkness. Lalu disebut mengenai bukunya yang terbit “20 tahun setelah bebas dari penjara”.

Isterinya, Winnie Mandela berkali-kali masuk penjara dan diganggu. Salah seorang anak lelakinya, Thambi mati dalam nahas jalan raya ketika berumur 24 tahun pada 1969.

Mandela menulis dengan rasa sedih, kerana tidak dibenarkan menghadiri pengkebumian anaknya itu.

Sepucuk surat kepada isterinya bertarikh 1 Oktober 1976 berbunyi: “Saya telah menulis surat kepada anak-anak selepas kau ditahan dan menasihati mereka supaya jangan terlalu bimbang kerana ketiadaan kau di rumah.

Saya mengingatkan mereka bahawa kau berpengalaman menghadapi apa jua kerumitan. Namun, saya sentiasa bimbang akan kesihatan diri kau kerana tidak dapat tidur pada waktu malam kerana ditinggalkan... dan berasa sedih kerana tidak tahu bila kita akan berjumpa semula”.

Juga disiarkan ialah bab pertama riwayat hidupnya bertarikh 16 Oktober 1998 berbunyi: “Sejarah tidak berhenti berputar walaupun ada pejuang-pejuang kemerdekaan yang berpengalaman. Kerap berlaku adanya pejuang-pejuang revolusi tunduk kepada kehalobaan dan terdorong mengambil wang untuk kekayaan.

Dengan memiliki kekayaan untuk diri sendiri dan pengkhianat matlamat-matlamat suci perjuangan, maka bererti mereka mengkhianati rakyat, serta menyertai para penindas setelah merampas wang rakyat yang paling miskin”.

Akhirnya setelah dibebaskan dan menyertai pilihan raya demokrasi pada 27 April 1994 African National Congress pimpinan Mandela mencapai kemenangan. Sejumlah 20 juta rakyat Afrika Selatan mengundi.

Kongres menang lebih 62 peratus undi. Pada 10 Mei 1994 beliau mengangkat sumpah sebagai Presiden Afrika Selatan. Menjadi Timbalan Presiden ialah Thabo Mbaki dan Frederik Willem de Klerk, wakil kulit putih.

Lahir ialah yang dipanggil “Government of National Unity” segala kaum, Kok kini Orania milik kulit putih mencabarnya pula?

Source: Mingguan Malaysia Online

Tiada ulasan:

Catat Ulasan