Khamis, 18 November 2010
Mekah dilanda hujan rahmat
MINA 18 Nov 2010. - Hujan sepanjang malam semalam memaksa jemaah haji berebut-rebut mencari tempat untuk berteduh.
Angin yang bertiup kencang menyebabkan suhu semakin dingin walaupun hujan tidak begitu lebat.
Ada di antara jemaah haji enggan mencari tempat untuk berteduh tetapi sebaliknya mereka gembira menikmati hujan itu.
"Ini menandakan ibadah haji kami diterima oleh Tuhan dan bagi kami ia adalah satu rahmat," kata jemaah haji dari Iran, Ibrahim Mohammadi.
Sementara itu, pegawai yang menjaga kem jemaah haji, mula bimbang tentang kemungkinan berlakunya banjir seperti yang pernah terjadi di Mina dan Mekah sebelum ini.
"Kami telah meletakkan langkah berjaga-jaga dan yakin pegawai yang bertanggungjawab mampu menguruskan sistem perparitan dengan baik," kata Pengurus Jemaah Haji Asia Tenggara, Naif Al-Muttawa.
Pada hari kedua melontar jamrah, hampir tiga juta jemaah haji berjaya melakukannya dalam keadaan lancar semalam tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini.
Jabatan Pertahanan Awam dan Kementerian Dalam Negeri mengawal perjalanan jemaah haji di Kompleks Jambatan Jamrah dengan menggunakan beberapa buah helikopter sepanjang hari.
Melontar jamrah adalah satu daripada perkara wajib yang perlu disempurnakan oleh jemaah yang mengerjakan haji.
Source: Utusan Malaysia Online
Tiada ulasan:
Catat Ulasan