MINA 16 Nov. - Pergerakan jemaah haji yang membawa kantung berisi anak batu membanjiri lembah Mina untuk melontar jamrah hari ini, sementara umat Islam di seluruh dunia mula menyambut Aidiladha dengan menyembelih haiwan korban.
Ratusan ribu jemaah bergegas untuk melontar di Jamratul Aqabah, struktur sepanjang 30 meter, sebagai simbolik merejam syaitan dan melawan godaan hawa nafsu.
Kira-kira 2.5 juta jemaah yang mengerjakan rukun Islam kelima itu tahun ini tiba di Mina setelah berwukuf di Padang Arafah semalam.
Melontar jamrah pada masa lalu pernah mencetuskan insiden rempuhan yang membawa maut tetapi pihak berkuasa Arab Saudi telah mengubah suai kawasan berkenaan dengan meluaskan laluan melontar menjadi sebuah jambatan lima tingkat.
Struktur yang menyerupai tempat letak kereta itu bertujuan untuk mencegah insiden rempuhan dan berpijak-pijak yang meragut 363 nyawa pada 2006, 251 pada 2004 dan 1,426 pada 1990.
Jemaah yang bertali arus diarah bergerak ke tingkat-tingkat berlainan oleh polis, yang memastikan semua bergerak sehala dan tiada seorang pun berlegar terlalu lama di satu tempat. Mereka yang duduk diarah meneruskan pergerakan.
Selepas melontar jamrah, jemaah menunaikan ibadat korban pada hari ini yang juga merupakan Hari Raya Aidiladha.
Ibadat tersebut ditunaikan di seluruh dunia Islam, dengan umat Islam di Bangladesh dijangka menyembelih 15 juta ekor haiwan pada Aidiladha di negara itu esok.
Namun umat Islam Pakistan menghadapi kesulitan untuk melaksanakan ibadat korban tahun ini kerana harga lembu dan biri-biri melonjak berikutan banjir besar yang melanda negara itu baru-baru ini.
Di Genting Gaza, penduduk Palestin mengalami tamparan hebat akibat sekatan Israel yang menyebabkan pengangguran melonjak dan menjerumuskan banyak keluarga ke dalam kancah kemiskinan, sekali gus menjejaskan persiapan mereka untuk menyambut hari kebesaran tersebut hari ini.
Source: Utusan Malaysia Online.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan