Isnin, 11 Oktober 2010

Sasaran Pingat Dalam Jangkauan

Sumber: Berita Harian Malaysia Online.
Tarikh siar: 11 Oktober 2010.

Daripada V Ashok di New Delhi, bhsukan@bharian.com.my

10+2 kita akan dapat tidak lama lagi: Chef de Mission


DENGAN enam pingat dalam tangan, hajat menepati sasaran 10 emas di Sukan Komanwel XIX New Delhi 2010 seperti dalam jangkauan ketika badminton, lawn bowl, terjun dan skuasy dijangka mampu mengisi baki sasaran berkenaan.

Apapun, Chef de Mission, Tan Sri Abdul Halil Mutalib berkata, walaupun temasya sudah melepasi separuh perjalanan, secara peribadi sasaran itu boleh diatasi dan firasatnya mengatakan ia bukan mustahil. “Sasaran saya adalah 10 + 2... kita akan dapat tidak lama lagi,” katanya yang ceria dengan pencapaian atlit negara setakat ini, ketika ini.

Dia melihat lawn bowl mampu menyumbang tiga sambil mengharapkan tiga atau empat daripada badminton dan memuji komitmen atlit dan pegawai yang sentiasa mahu mengejar pingat sebelum temasya berakhir, Khamis ini.

“Selain itu, skuasy juga ada harapan menyumbang lagi pingat. Jangan lupa acara menembak juga boleh membuat kejutan lagi,” katanya yang hadir menyaksikan pencapaian pingat perak dan gangsa Nur Ayuni Halim dan Nur Suryani Mohamed Taibi dalam acara 10 meter air rifle individu wanita, semalam.

Begitupun, selain perak dan gangsa itu, kontinjen negara sedikit terkedu apabila sebutir emas yang diharapkan menerusi pasangan penerjun 10 meter berirama wanita, Leong Mun Yee dan Pandelela Rinong semalam, tidak kesampaian apabila sekadar mengutip perak menjadikan keseluruhan kini - 6 emas, 7 perak dan 7 gangsa.
Setakat ini, pungutan emas menyusul daripada angkat berat yang menyumbang dua manakala skuasy, basikal, menembak dan badminton masing-masing satu.

Sementara itu, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong pula menjangkakan kontinjen negara mampu melakar sejarah dengan pungutan emas terbesar di luar Kuala Lumpur.

“Jumlah 10 tampak tidak mustahil berpandu kepada trend atlit kita kerap memenangi pingat ketika ini... hanya masa akan menjawab sasaran itu tidak lama lagi.

Badminton dan lawn bowl boleh menjadi penyumbang besar. Kita tidak tahu dari mana kejutan akan berlaku lagi selepas angkat berat (Arrico Jumitih) dan menembak sudah membuktikan,” katanya.

Source: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Sasarandalamjangkauan/Article

Tiada ulasan:

Catat Ulasan