Isnin, 11 Oktober 2010

Pokok Putat

By Idris Ismail Talu.

Putat merupakan tumbuhan liar yang boleh ditemui tumbuh di kawasan tanah pamah atau tanah datar, tanah berbukit terutamanya di sekitar tebing sungai. Putat juga boleh ditemui di kawasan tanah yang berpaya dan juga di kawasan tepi pantai laut Semenanjung. Putat juga boleh ditemui di negara-negara Asean yang lain.


Pucuk putat yang segar.

Pucuk putat juga digemari kerengga.

Buah putat.


Nama botani pokok putat ialah Barringtonia spp. Putat juga dikenali dengan pelbagai nama seperti apalang, putat, putat aying, butut darat, penggung, putat sungai, putat ayam, putat ayer, kye-bin, kyi, som-pawng, chik ban, chik suan, dan sebagainya.

Bergantung kepada kesuburan tanah tempat tumbuhnya, putat mampu berdaun lebar dengan rasanya yang lebih kelat di kawasan tanah yang agak lembut. Putat akan berdaun kecil jika tumbuh di kawasan tanah keras berbatu seperti di tanah yang berbukit, tetapi rasa daunnya lebih enak.

Pokok putat boleh dijadikan pokok hiasan di dalam taman.


Penggemar pucuk putat di Utara Semenanjung seperti Perak, Kedah, Perlis dan Pulau Pinang cukup gemar dengan pucuk dan buah putat yang biasanya dijadikan ulam semasa makan nasi dengan pelbagai jenis sambal.

Biasanya mereka memakan ulam buah dan pucuk putat ini dengan sambal kelapa atau sambal bercampur ikan panggang.

Bunga putat - terjuntai.


Ramai peminat laksa Utara yang suka mencampurkan potongan pucuk putat ke dalam makanan laksa mereka. Pucuk putat dikatakan menambahkan kesedapan laksa Utara.

Pucuk putat yang sesuai dibuat ulam.


Bentuk pucuk putat agak bujur panjang dengan bentuk bergerigi halus di tepi daunnya. Pucuk putat muda yang sesuai dibuat ulam bewarna agak merah ungu dan akan berubah menjadi hijau muda dan seterusnya hijau gelap apabila cukup tua.

Pucuk putat muda inilah yang cukup digemari untuk dijadikan ulam, dihiris halus untuk ramuan nasi ulam atau nasi kerabu.


Buah putat pula berkelopak empat, bewarna hijau kecoklatan pada sandingnya. Buah ini biasanya dipotong kecil-kecil untuk dibuat ulam. Bentuk buahnya agak bujur tetapi bersanding atau bersegi. Tangkai buah putat panjang berjuntai ke bawah.

Buah putat - sesuai dibuat ulam.


Khasiat Putat.

Pucuk putat yang muda yang dijadikan ulam dikatakan cukup berkhasiat untuk kesihatan kulit, awet muda serta melancarkan perjalanan darah.


http://idristalu.blogspot.com/

3 ulasan:

  1. salam.kat mana blh dapat buah putat ni.mengidam..pos pun blh lah.nak sgt.nnt bayar pakai bank inn. sms 0139251624 nana

    BalasPadam
  2. As-salam.

    Saya minta izin menggunakan salah satu gambar pokok putat yg ada dlm blog tuan.

    Saya akan sertakan nanti pautan asal gambar tersebut.

    Sekian, terima kasih.

    BalasPadam
  3. As-salam. Sy cuma ingin kongsikan pautan yg mana sy telah menggunakan salah satu gambar pokok putat ke dalam blog saya - 2 Cara Tradisional Mengubati Resdung.

    Sekian, terima kasih. :)

    BalasPadam