Jumaat, 15 Oktober 2010

Pasangan suami isteri sumbang kamera

Sumber: Utusan Malaysia Online
Tarikh siar: 16 Oktober 2010.

KUCHING 15 Okt.
- Sepasang suami isteri yang prihatin dengan pengurusan serta pemuliharaan hidupan liar di Sarawak telah menyumbangkan empat set kamera perangkap yang dibeli dari Amerika Syarikat bernilai RM4,500 kepada Sarawak Forestry Corporation (SFC).

Pasangan tersebut, Tom McLaughlin yang juga seorang ahli biologi dan penulis bersama isterinya, Suriani Sahari menyerahkan kamera perangkap tersebut kepada Ketua Warden Taman SFC, Wilfred Landong, di pejabat SFC di Kuching, semalam.

Kontroler Hidupan Liar dan Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif SFC, Len Talif Salleh berkata, usaha pasangan suami isteri tersebut yang menyumbangkan kamera perangkap bagi kerja-kerja pengawasan pergerakan hidupan liar termasuklah orang utan seharusnya dipuji dan menjadi ikutan orang ramai.

Menurutnya yang juga Pengarah Hutan Sarawak, ia jelas membuktikan kerjasama yang berkesan antara pihak berkuasa dan orang ramai serta berharap lebih ramai yang tampil untuk bertanggungjawab serta sedar tentang kepentingan melindungi hidupan liar.

"McLaughlin dan isterinya ialah contoh terbaik menunjukkan keprihatinan mereka terhadap perlindungan dan pemuliharaan hidupan liar.

"Sumbangan beliau yang akan memanfaatkan Pusat Hidupan Liar Matang dalam kerja-kerja pengawasan pergerakan hidupan liar termasuklah orang utan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Len Talif yang juga Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Perancangan dan Pengurusan Sumber Sarawak memberitahu, pihaknya menekankan kepentingan untuk melibatkan orang ramai dalam menyumbangkan usaha kepada pemuliharaan hidupan liar.

Katanya, SFC berusaha untuk menggalakkan kesedaran awam berkongsi komitmen dalam memulihara hidupan liar di negeri ini.

Sementara itu, McLaughlin berkata, terdapat banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Eropah mengkritik usaha konservasi yang dilakukan oleh Sarawak malah, menafikan langkah-langkah positif yang dijalankan oleh SFC untuk melindungi sumber asli yang berharga di negeri ini.

Source: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1016&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sabah_%26_Sarawak&pg=wb_02.htm

Tiada ulasan:

Catat Ulasan