Sumber: Mingguan Malaysia Online
Tarikh siar: 31 Oktober 2010.
Penulis: Zin Mahmud.
Dari kolum “Untung Sabut Timbul”
PEMERGIAN ahli sejarah dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Nik Anuar Nik Mahmud ke Rahmatullah Khamis lalu menggamit kenangan ketika berurusan dengan beliau bertahun-tahun lalu.
Sebenarnya penulis hanya dua kali bertemu dan berurusan dengannya sepanjang hayatnya. Tetapi dua kali itu sudah cukup berasa sebagai sahabat intelektual. Apa saja yang ditulisnya akan diikuti oleh penulis.
Antaranya tentulah mengenai sejarah Pattani, Melayu, Johor dan Singapura.
Pertemuan pertama penulis dengannya adalah pada lewat 80-an. Ketika itu penulis sedang menyiapkan buku sejarah sebuah parti politik dan beliau banyak membantu sumbang makalah-makalah yang boleh dimuatkan dalam buku itu. Di situ penulis dapat melihat kesungguhannya untuk memberi sumbangan intelektual sejati.
Pertemuan kedua ialah ketika mewawancara beliau untuk Mingguan Malaysia pada sekitar 2003. Ketika itu adalah mengenai sejarah hubungan Malaysia dan Singapura. Kesibukan beliau dan komitmennya yang banyak dalam memberi input sejarah kepada pihak berkuasa menyerlahkan keunggulannya.
Beliau adalah antara pensyarah-pensyarah UKM yang penulis kenal. Ada beberapa pensyarah UKM lain turut rapat dengan penulis . Antaranya sudah bersara dan masuk ke bidang lain termasuk politik.
Yang masih berkhidmat antaranya adalah Dr. Roosfa Hashim yang menulis mengenai Dr. Nik Anuar dalam Mingguan Malaysia hari ini. Oleh kerana beliau aktif dalam dunia penerbitan buku maka sudah tentu akhirnya akan tertembung juga dengan penulis.
Sebagai wartawan, maka tentu hubungan rapat mudah terjalin dengan pensyarah dalam bidang media. Antaranya ialah Dr. Safar Hashim dan Dr. Mus Chairil Samani yang juga adalah bekas wartawan Utusan Malaysia pada zaman sebelum dia menyertai dunia akademik
Kewartawanan dan politik tidak dapat dipisahkan. Maka pensyarah bidang politik seperti Dr. Agus Yusof juga penulis kenali.
Begitu juga dalam bidang bahasa. Profesor Madya Dr. Rosniah Mustaffa umpamanya penulis kenali kerana pernah menjadi editor bukunya mengenai tatabahasa Inggeris yang ditulis dalam bahasa Melayu dan diterbitkan oleh Utusan Publications.
Nama-nama ini adalah sekadar yang penulis teringat ketika ini. Banyak lagi yang penulis kenal tetapi tentu tidak dapat disenaraikan di sini.
Bukan saja dari UKM, dari universiti-universiti lain juga penulis dapat menjalin hubungan persahabatan. Dari Universiti Malaya ialah Prof Dr. Rauzah Hashim yang penulis anggap sebagai seorang saintis unggul. Juga Prof Dr Redzuan Othman.
Universiti
Begitu juga dari Universiti Sains Malaysia (USM) seperti Prof Syukri Salleh dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang paling rapat dengan penulis ialah Shaharom TM Sulaiman. Di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ialah seperti arkitek Prof Dr. Tajuddin Rasdi.
Penulis sekadar menyebut nama-nama ahli akademik ini di kalangan banyak lagi di antara mereka yang memberi sumbangan kepada dunia ilmu di negara ini.
Tentunya sebagai seorang yang meminati soal-soal pemikiran, ada perasaan alangkah indahnya kalau dapat meluangkan banyak masa lagi dengan mereka yang berada di menara gading ini.
Tetapi kehidupan dan hayat dirasakan begitu singkat untuk mengaut ilmu dan pengalaman para ahli akademik yang masing-masing sibuk dengan kerja. Lebih-lebih lagi tuntutan birokrasi sesebuah universiti penyelidikan melemaskan banyak pensyarah.
Dari masa ke semasa diadakanlah seminar di pelbagai institusi pengajian tinggi yang terbuka untuk umum, dan juga syarahan-syarahan awam yang boleh dihadiri oleh orang ramai.
Berbanding dengan universiti di Barat, tentu aktiviti di IPT negara ini masih dilihat pasif dan tidak terbuka luas untuk orang ramai. Namun apa yang ada sekarang ini tidak disertai secara aktif oleh orang ramai yang berminat dan mampu untuk memahami isu-isu intelektual.
Dengan kerja seharian sentiasa menuntut komitmen, rekreasi intelektual pun sukar untuk dinikmati walaupun minat besar itu ada.
Hanya apabila dengar seseorang ahli akademik yang bernama besar meninggal dunia, maka akan dirasakan kehilangannya pada negara. Maka bagi mereka yang berminat tentang sesuatu bidang, tentulah berasa terlepasnya peluang untuk bergaul atau berbicara secara intelektual dengan mereka.
Selepas ketiadaannya , apa yang hanya boleh dinikmati oleh para peminatnya hanyalah melalui buku-bukunya yang diterbitkan. Kertas-kertas yang ditulis mereka tetapi tidak dibukukan akan hanya tersimpan di perpustakaan universiti masing-masing, yang sudah tentu sukar untuk diperoleh oleh orang awam di luar universiti.
Penulis teringat Allahyarham Prof Dr. Syed Hussein Al-Attas. Penulis dan Shaharom pernah merancang untuk mengadakan wawancara dengan beliau secara bersiri untuk menyelongkar pemikirannya.
Shaharom sudah pergi menemuinya beberapa kali juga. Sementara penulis sempat menemuinya sekali saja pada satu malam yang hening di kediamannya. Hasrat hati untuk bertanya detik-detik bagaimana beliau menubuhkan Parti Gerakan tidak sempat diujarkan kerana beliau pulang ke Rahmatullah.
Tetapi pada masa ini banyak lagi ahli-ahli akademik yang telah bersara dan masih aktif. Mereka boleh digali pemikirannya sebelum terlambat.
Daripada nama-nama besar seperti Profesor Diraja Ungku Aziz dan Profesor Dr. Syed Naquib Al-Attas hinggalah kepada ahli-ahli akademik yang kurang terkenal tetapi masing-masing mempunyai peranan serta sumbangan dalam bidang masing-masing.
Dengan menghargai serta menggembleng aset intelektual yang sudah ada dalam negara, maka barulah memanggil dan memujuk mereka yang berada di luar negara itu mempunyai makna.
Dunia intelektual dan akademik di negara wajar diletakkan pada tempat sebenar. Bagaimana caranya? Merekakan orang pandai, fikirkanlah sendiri.
Source: Mingguan Malaysia Online
Tiada ulasan:
Catat Ulasan