Sumber: Utusan Malaysia Online.
KOTA KINABALU 14 Okt. – Polis menemui mayat seorang wanita dalam keadaan separuh bogel di dalam sebuah longkang berhampiran bulatan Lorong Ujana I, Taman Kingfisher, di sini kelmarin.
Mangsa ditemui itu dipercayai merupakan jururawat, Annie John Dismas, 39, yang dilaporkan hilang oleh keluarganya sejak Sabtu lalu.
Pemangku Timbalan Pesuruhjaya Polis negeri, Senior Asisten Komisioner II Tan Kok Liong berkata, mayat tersebut ditemui oleh orang awam kira-kira pukul 11 pagi.
“Mayat berkenaan telah mula reput dan terdapat kesan luka di bahagian kepala mayat berkenaan.
“Berdasarkan maklumat awal kita percaya mayat itu adalah jururawat yang dilaporkan hilang tetapi kita masih menunggu pengesahan dari hospital,” katanya ketika ditemui ditempat kejadian di sini kelmarin.
Pada Sabtu lalu, polis menerima laporan mengenai kehilangan seorang jururawat yang bertugas di Hospital Kudat.
Annie difahamkan keluar daripada rumah abang sulungnya di Kampung Mahandoi, Penampang, dekat sini untuk menjalani kursus praktikal di Universiti Terbuka Malaysia (OUM) di sini.
Bagaimanapun dia tidak pulang sehingga pukul 11 malam pada hari tersebut menyebabkan ahli keluarganya berusaha mencarinya di sekitar Kota Kinabalu sebelum membuat laporan polis.
Keesokannya, polis menemui kereta Perodua Kancil milik Annie dengan kesan darah di hadapan hotel bajet berhampiran Dewan Masyarakat Kota Kinabalu.
Menurut Kok Liong, mayat berkenaan telah dihantar ke Hospital Queen Elizabeth di sini untuk dibedah siasat.
Beliau berkata, pihaknya masih menyiasat punca kematian mangsa termasuk kemungkinan wanita itu dirogol.
“Pihaknya juga masih berusaha mengesan suspek yang terlibat dalam kes itu. Kita ada beberapa bahan bukti tetapi tidak dapat dedahkan dan polis sedang giat melakukan siasatan,” katanya.
Source: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1015&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sabah_%26_Sarawak&pg=wb_04.htm
Tiada ulasan:
Catat Ulasan