Sabtu, 16 Oktober 2010

Faktor babu pilih Malaysia dan Arab Saudi








Sumber: Mingguan Malaysia Online
Tarikh siar: 17 Oktober 2010.

Oleh: Tan Sri Mazlan Nordin.


KEBANYAKAN migran Indonesia yang mencari kerja memilih negara-negara Islam sebagai destinasi mereka, terutama Malaysia dan Arab Saudi.

Pada tahun 2006 seramai 680,000 warga Indonesia berangkat ke luar negara sebagai migran yang mempunyai dokumen. Jumlah besar migran Indonesia pada peringkat internasional kira-kira 4.3 juta.

Demikian catatan dalam jurnal Pacific Affairs, terbitan Universiti British Columbia di Canada dalam isu bulan Mac 2010. Selanjutnya disebut hal-hal berikut:


•Dari jumlah yang berlepas pada tahun 2006, seramai 40 peratus menuju ke Malaysia dan 45 peratus lagi ke Arab Saudi.


•Majoriti migran ialah wanita dan 88 peratus bekerja sebagai babu.

Laporan tersebut, berupaya kajian mendalam, ditulis oleh Johan Linquist, sarjana dari jurusan antropologi sosial Universiti Stockholm di Sweden.

Sedutan dari laporannya yang bermula di Lombok, seperti berikut: “Waktunya sebelah pagi bulan Jun 2007 di Pulau Lombok. Saya berada di PT Semesta, agensi kecil yang menghantar wanita-wanita bekerja sebagai babu di Malaysia dan Singapura.

Pagi ini, Yati, seorang gadis berumur lebih 20 tahun masuk ke bilik tamu ketika saya mewawancara Rita dan Hannah dua petugas agensi berkenaan.

Saya telah pun mewawancara Yati dan dua hari lagi dia akan berlepas ke Malaysia untuk bekerja sebagai babu selama dua tahun. Tiket kapal terbangnya telah pun dibayar.

Sebulan sebelum ini agensi Semesta menghantar seorang wanita ke Singapura tetapi peperiksaan ke atasnya menunjukkan ia sedang mengandung. Lalu ia serta merta dihantar balik.

Agensi Semesta menyebut masalah-masalah yang dihadapi, antara lainnya sebilangannya tidak jadi pergi kerana mengandung. Kira-kira 30,000 babu Indonesia di Malaysia lari setiap tahun.

Pak Iskandar, seorang warga Cina-Indonesia yang berasal dari Riau berhampiran Singapura, akan datang pada minggu depan untuk menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi Agensi Semesta.

Lombok adalah sebahagian daripada wilayah Barat Nusa Tenggara beserta Sumbawa dan beberapa pulau kecil. Luasnya kira-kira 4,700 kilometer persegi dan sebahagian besar penduduk Islam kira-kira 3 juta jumlahnya.

Menjelang tahun 2004, seramai 14,000 migran meninggalkan Lombok tiap tahun. Bilangan meningkat hingga lebih 41,000 menjelang tahun 2008. Dari bilangan tersebut hampir 30,000 menuju ke Malaysia.

Bilangan

Ramai lelaki yang bekerja di ladang-ladang kelapa sawit dan lebih 11,000 menuju ke Arab Saudi, majoritinya wanita yang bekerja sebagai babu. Bilangan mereka meningkat 15 kali ganda sejak 2004.

Perjalanan ke Arab Saudi khususnya membolehkan mereka menunaikan fardu haji bersama-sama majikan mereka. Ternyata ialah pembinaan rumah-rumah baru di Lombok hasil kiriman mereka yang bekerja. Ada yang dipanggil rumah Saudi atau rumah Malaysia. Di samping itu puluhan masjid dibina.

Di Lombok terdapat pelbagai agensi pekerja. yang paling besar menghantar hingga 3,000 migran tiap tahun ke ladang-ladang kelapa sawit Malaysia. Yang lainnya pula mempunyai hubungan dengan pihak-pihak lain, termasuk Felda.

Saingan untuk mendapat khidmat babu telah meningkat di negara-negara Asia hingga ke Timur Tengah. Antara 2007 hingga 2009, bayaran kepada agensi-agensi pekerja Indonesia dari pejabat-pejabat buruh di Arab Saudi meningkat dari AS$800 (RM2,560) kepada AS $1,500 (RM4,800). Perubahan-perubahan juga berlaku di pasaran-pasaran lain seperti Malaysia.

Para wanita yang bekerja sebagai babu di Malaysia memperoleh kira-kira AS$175 (RM600) manakala di Arab Saudi, babu mendapat 800 riyal atau AS$215 (RM688).

Kebanyakan wanita memilih destinasi-destinasi Islam. Lelaki yang bekerja sebagai pemandu di Arab Saudi mendapat gaji kira-kira 1,000 riyal atau AS$270 (RM864).

Lelaki yang bekerja di ladang-ladang kelapa sawit Malaysia mendapat gaji AS$235 (RM800) setiap bulan.

Demikian sedutan dari laporan kerja sarjana Universiti Stockholm yang tidak berunsur politik atau cuba melaga-laga negara-negara yang terlibat. Yang dihuraikan hanya sebahagian daripada pelbagai aspek kerjasama antara Malaysia dan Indonesia antara lainnya, selaku anggota-anggota ASEAN.

Seperti telah disebut kebanyakan migran Indonesia memilih destinasi-destinasi Islam. Semoga hubungan akrab yang terjalin dengan negara-negara Islam lain terus dipelihara dan tidak mudah diadu-domba oleh manusia seperti ahli politik Belanda, Geert Wilders yang baru-baru ini dituduh mencetus rasa benci terhadap Islam. Beliau juga menganjur supaya Quran diharamkan.

Kerana, ada pihak-pihak lain menjadi konco iaitu yang bukan Islam dan nenek moyang dulu dijajah oleh Belanda.

Source: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1017&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_11.htm

Tiada ulasan:

Catat Ulasan