Tarikh & Waktu Siar: 27/09/2010 9:48pm
KUALA LUMPUR 27 Sept - Menara Berkembar Petronas akan menawarkan pakej-pakej baru lawatan ke menara berkenaan mulai 1 Oktober ini, khusus bagi menampilkan pengalaman lebih menarik untuk dinikmati oleh orang ramai yang berkunjung ke tempat tarikan pelancong tersohor di Malaysia itu.

Bayaran bagi pakej-pakej itu bermula dari harga serendah RM3 seorang bagi lawatan asas ke Skybridge, sehingga RM350 tiap seorang bagi pakej premium, yang turut merangkumi pengalaman menjamu selera di tempat eksklusif khusus buat anggota MPC sahaja, di menara berkembar tertinggi di dunia itu.

Pakej-pakej ini diperkenalkan bagi menyokong aspirasi kerajaan merealisasikan potensi pelancongan Menara Berkembar Petronas dan tarikan kawasan sekitarnya seperti Kompleks Membeli Belah Suria KLCC, Taman KLCC, Petrosains, Gallery Petronas, Aquaria dan Malaysian Philharmonic Petronas.
Tarikan-tarikan ini akan membantu kedudukan Menara Berkembar itu sebagai tarikan pelancongan utama negara, sebagaimana yang dinikmati oleh bangunan-bangunan lain yang ternama di seluruh dunia.

Petronas kini merancang untuk meningkatkan pengalaman melancong ke bangunan itu di masa hadapan, termasuk dari segi melanjutkan waktu lawatan, menyediakan dek pemerhatian yang lebih luas, meningkatkan Pusat lawatan, kemudahan tiket dan lain-lain keperluan pelancong. – Bernama
Source: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0927&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_28.htm
Tiada ulasan:
Catat Ulasan