Sumber: Berita Minggu Malaysia Online.
Oleh Zul Husni Abdul Hamid
Tarikh: 2010/09/05
PERNAH dua kali mencuba tetapi tidak bertahan, namun Ramadan ini membuka pintu rezeki baru kepada penyampai popular Hot FM, Kieran untuk kembali berniaga.
Menerusi Ungu Violet Boutique yang beroperasi di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR), Kuala Lumpur, Kieran merealisasikan impian yang tertunda itu bersama dua lagi rakan kongsi, Rashidah Kassim dan Rita Sanida Said. Kata Kieran, 35, niat untuk berniaga di bazar Ramadan sudah tersimpan sejak tahun lalu.
Bagaimanapun, disebabkan sibuk dia terlupa dan akhirnya niat itu berlalu begitu saja. Tanpa disangka, Tuhan membuka rezeki kepada pemilik nama lengkap, Maskiran Jakiran untuk melunaskan angannya Ramadan ini apabila mendapat tapak di kawasan tumpuan masyarakat Melayu itu setiap kali Syawal menjelma. Kieran memilih untuk menjual baju Melayu dan kurung moden pelbagai rekaan kerana dua rakan kongsinya sudah memahami selok perniagaan itu.
Ditanya pengalaman pertama berniaga, Kieran berkata, dia sudah bersedia menanggung apa saja risiko termasuk berdepan kerugian.
Baginya, semua itu tidak sesekali akan menghentikan kesungguhannya untuk melakar usaha dalam bidang perniagaan.
“Selama ini saya sering mendengar banyak cerita menarik mengenai perniagaan ketika Ramadan. Pendapatan pun lumayan, jadi mengapa tidak saya merebut peluang itu. Setakat ini, sambutan yang diberikan cukup baik. Cuma saya perlu berusaha membuat promosi lebih sedikit disebabkan kedudukan kedai ini agak tersorok.
“Alhamdulillah, berdasarkan promosi di Facebook serta mulut ke mulut, perlahan-lahan pelanggan mula datang. Saya berharap sambutan lebih baik menjelang 1 Syawal nanti,” kata Kieran yang akan ke tapak perniagaannya setiap hari selepas berbuka puasa.
Pertemuan pada petang itu turut ditemani Zimi dari Sofaz dan 6ixth Sense yang kebetulan mengambil peluang meninjau kemeriahan suasana di Jalan TAR menjelang hari raya.
Sesekali mencuba rekaan yang ada, Sofaz dan 6ixth Sense nyata berpuas hati kerana harga yang ditawarkan bersesuaian dengan kualiti serta memenuhi selera mereka.
Kieran berkata, dia menyerahkan kepada dua rakan kongsinya itu dalam memilih rekaan bersesuaian. Toko itu diawasi dua pembantu kerana Kieran bertugas di konti sehingga jam 8 malam.
“Saya cuma menyerahkan modal dan membantu dari sudut promosi. Disebabkan itu, saya tidak pernah jemu berulang alik dari Klang ke tapak perniagaan setiap malam. Kami akan berada di sini sehingga malam 1 Syawal dan jujurnya, saya sendiri sudah tidak sabar menanti detik itu. Ramai bercerita suasana di sini pada malam hari raya cukup meriah.
“Kebetulan saya beraya di Klang, manakala keluarga isteri pula di Puchong, jadi ia tidak menimbulkan masalah untuk saya berada di sini hingga menjelang 1 Syawal,” kata Kieran teruja.
Ayah kepada seorang cahaya mata lelaki, Muhammad Adam itu bertuah kerana popularitinya sebagai penyampai radio menarik pelanggan untuk singgah ke tapak perniagaannya. Akuinya, ada antara pelanggan tidak percaya dengan kehadirannya malah menganggap dia berada di situ sekadar meninjau suasana di bazar.
“Selalunya saya berada di sini sehingga jam 3 pagi. Tetapi hujung minggu, akan lebih lama bergantung kepada kehadiran pelanggan.
Alhamdulillah, setakat ini sudah ramai yang menyedari saya menjalankan perniagaan di sini. Sedikit sebanyak promosi dari mulut ke mulut membantu melicinkan perniagaan kami,” katanya.
Debaran menyambut Aidilfitri
SYAWAL kali ini juga memberikan debaran buat Kieran kerana isterinya, Yang Azliyang Mohd Yunus sedang menanti tarikh untuk melahirkan anak kedua mereka.
Kata Kieran, anak kedua mereka dijangka dilahirkan pada pertengahan September ini membuatkan mereka tidak banyak membuat persiapan menyambut Syawal.
“Saya sebenarnya dalam suspens kerana tarikh isteri bersalin semakin dekat. Pernah satu malam ketika saya sibuk di kedai, isteri menghubungi dan memberitahu teringin menikmati steamboat. Melihat keadaannya yang mengidam sesuatu, saya ingatkan tarikh melahirkan anak semakin dekat. Tetapi, hampir seminggu menunggu nampaknya belum ada tanda untuk segera bersalin.
“Jadi kami cuma bersedia menanti tarikh itu. Memang mendebarkan kerana ini pengalaman pertama isteri mengalami tanda hampir bersalin.
Adam dulu dilahirkan menerusi pembedahan, jadi kami berdua keliru setiap kali isteri mengadu sakit,” katanya yang enggan mengetahui jantina anak keduanya itu sebelum lahir.
Sambungnya lagi, dia lebih senang jika menyambut kelahiran cahaya mata terbaru itu dalam masa terdekat ini sebagai hadiah sempena 1 Syawal.
Bagaimanapun, kata Kieran, Yang pula mahu menikmati terlebih dulu segala juadah istimewa yang akan disediakan pada hari raya nanti sebelum berpantang.
“Saya cuma mampu berdoa semuanya akan berjalan lancar. Suspens juga keluar kerja, mana tahu tiba-tiba isteri mengalami tanda untuk melahirkan anak. Setiap kali menerima panggilan isteri, saya akan berdebar. Memikirkan keadaan Yang, kami tidak banyak membuat persiapan untuk 1 Syawal.
“Kebetulan masing-masing sibuk. Yang walaupun sarat tetap menerima tawaran membuat hamper. Saya akan membantu uruskan tempahannya sebelum singgah di kedai hingga awal pagi,” katanya.
Source: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Variasi_KieranjualbajuMelayu/Article/index
Tiada ulasan:
Catat Ulasan