Ahad, 19 September 2010

Kehalusan budaya di Jogjakarta

Sumber: Utusan Malaysia Online.

Tarikh: 18/09/2010.

Oleh ZUHAYATI YAZID
(Yang menyertai Seminar Jamu Gendong di Jogjakarta baru-baru ini)

BENAR kata pepatah jauh perjalanan luas pengalaman. Melawat tempat orang memberi peluang kepada kita untuk melihat sesuatu yang berbeza daripada kebiasaan.

Itu yang dialami semasa melawat Jogjakarta, baru-baru ini. Terlalu banyak perkara yang menarik dilalui dan satu daripadanya tentulah Nasi Gudeq.

Menyebut namanya sahaja sudah cukup asing bagi pelawat dari Malaysia yang pertama kali berkunjung ke kota Jogjakarta.

Ia adalah panggilan untuk nasi campur yang sangat popular bagi masyarakat Jogjakarta selain ayam penyet, bebek bengil dan nasi liwet.

Nasi Gudeq dimakan sewaktu bersantai pada waktu malam di sekitar Jalan Malioboro. Berada di sekitar jalan itu cukup menghiburkan kerana terdapat banyak pilihan gerai. Tanpa perlu cerewet memilih kedai, persinggahan di mana-mana kedai di situ pasti memuaskan.

Selain perbezaan bahasa, sebenarnya tata cara dan tertib makan di kota Jogjakarta juga berbeza. Tanpa kerusi, pelanggan makan secara bersila. Sementara menunggu makanan dihantar, pemuzik jalanan bingit membuat persembahan.

Pelbagai lagu boleh dinyanyikan bersama alat kugiran mereka. Malah pelawat juga boleh meminta lagu yang popular untuk dimainkan dengan syarat wang kecil disediakan sebagai upah.

Apa yang pasti, mereka begitu suka jika mengetahui orang-orang yang mereka hiburkan itu adalah pelawat dari Malaysia. Bagi mereka, rakyat negara ini adalah golongan 'jutawan' yang harus diberikan perkhidmatan terbaik dan sentiasa memberi upah lumayan.

Laluan seni itu bukan sahaja dipenuhi penyanyi jalanan malah ada juga pelukis tempatan yang melukis gambar potret. Ada yang boleh disiapkan dalam masa setengah jam sahaja.

Melihat kesungguhan mereka timbul rasa kagum terhadap semangat dan usaha gigih penduduk kota itu untuk mencari rezeki.

Begitu juga ketika melawat Jalan Malioboro di tengah-tengah bandar Jogjakarta. Terdapat ratusan kedai dan gerai menjual pakaian, kraftangan dan pelbagai tekstil bermotif batik.

Seperti yang diketahui umum, Jogjakarta terkenal dengan penghasilan batik halus, batik sutera dan batik tulis. Harganya juga ditawarkan pada harga lebih murah berbanding di Jakarta.

"Monggo... monggo...,'' kedengaran berulang-ulang disebut oleh peniaga. Perkataan yang berirama itu memberi maksud 'selamat datang' atau 'silakan'.

Terletak di sebelah utara Benteng Vredenburg, pusat membeli-belah itu boleh membuatkan kita rambang mata kerana barang-barang yang dijual murah.

Dengan hanya berjalan kaki, banyak yang boleh dikunjungi seperti kedai, gedung pakaian, kedai barang kulit dan perak, bangunan bersejarah atau melihat persembahan seniman jalanan beraksi.

Tidak perlu tergopoh-gapah untuk membeli barang-barang apatah lagi jika tawar menawar boleh mengurangkan belanja untuk harga terbaik.

Bagaimanapun, Jogjakarta bukanlah tempat untuk membeli-belah semata-mata, sejarah dan budaya adalah sesuatu yang lebih bernilai untuk dihayati.

Pada kunjungan ini, penulis berkesempatan melawat sekitar keraton yang mempunyai pelbagai tempat bersejarah seperti Alun-Alun dan Taman Sari yang mempunyai kisah ajaib yang tersendiri.

Seperti yang diketahui ramai, Keraton Jogjakarta menjadi tumpuan rakyat kerana menjadi pusat perkembangan budaya. Jadi tidak hairan sejak dahulu lagi, seluruh isi keraton mempunyai hubungan rapat dengan lapisan hierarki masyarakat di bawah naungannya.

Di Keraton Jogjakarta, pengunjung dapat menghayati rentetan kisah kesultanan yang diasaskan oleh Sri Sultan Hamengku Buwono I pada tahun 1756.

Malah di bahagian selatan keraton, terdapat sebuah padang yang luas bernama Alun-Alun selatan atau Beringin Kembar. Jangan terkejut jika anda diminta 'menyertai' amalan mengikut kepercayaan penduduk di situ.

Dalam kepercayaan ritual tersebut memerlukan anda berjalan melewati ruang antara dua pokok beringin yang besar sejauh kira-kira 100 meter sambil mata ditutup rapat dengan kain hitam.

Mitosnya, apabila seseorang berjaya melalui antara dua pokok besar itu, maka dia dianggap bertuah dan keinginannya akan termakbul.

Namun perjalanan tidak lengkap tanpa membasahkan tekak dengan minuman-minuman yang enak. Semangkuk ronde (minuman seperti lai chi kang panas yang berperisa halia serta ditambah hirisan roti-roti kecil) di gerai-gerai di tepi jalan sungguh mengasyikkan.

Kira-kira satu kilometer dari barat daya keraton terletaknya Taman Sari atau Istana Air yang terbina dengan rangkaian terusan, kolam, taman dan laluan.

Bayangkan jaringan kompleks di bawah paras air, dewan kubah khas di tengah kolam lantas membentuk pulau, serta terowong rahsia ke bilik tersembunyi.

Mitosnya, kolam tersebut merupakan tempat sultan beradu dan di situ juga tempat baginda bertemu dengan gundik-gundiknya.

Selain itu, terdapat juga telaga Gemuling yang menjadi ruang buat sultan dan permaisuri bermeditasi serta sudut-sudut rahsia lain di Taman Sari.

Selain destinasi yang telah disarankan, masih banyak lagi pengisian pelancongan boleh didalami jika tinggal lebih lama di Jogjakarta.

Sepanjang empat malam di bumi Jogjakarta barulah penulis percaya bahawa tanah Jogjakarta itu sememangnya kaya dengan kebudayaan dan tradisi yang tersendiri. Malah ia sebenarnya memperlihatkan satu kesinambungan yang terbaik.

Source: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0918&pub=Utusan_Malaysia&sec=Pelancongan&pg=pl_03.htm

Tiada ulasan:

Catat Ulasan