Jumaat, 24 September 2010

Jamu selera di Sungai Melaka

Sumber: Utusan Malaysia Online.
Tarikh siar: 24 September 2010.

Oleh AMRAN MULUP, utusanmelaka@utusan.com.my


MELAKA 23 Sept. - Bagi mereka yang pernah berkunjung ke Venice, Itali, pengalaman menaiki 10 buah perahu nelayan tradisional yang dikenali sebagai gondola pasti memberikan pengalaman berharga.

Perkhidmatan gondola itu juga membolehkan pengunjung menyaksikan keindahan bandar raya Venice dengan melayari 150 batang terusan dan 400 buah jambatan silang-menyilang serta lorong-lorong sempit yang kaya dengan monumen, istana dan gereja.

Sudah pasti bagi mereka yang datang berkeluarga atau pasangan masing-masing dapat menikmati perjalanan yang cukup menggembirakan dan menyaksikan keindahan bandar raya Venice.

Melaka juga tidak kurang hebatnya dengan perkhidmatan bot Melaka River Cruise yang menyusuri Sungai Melaka hingga ke muaranya di Banda Hilir.


Peluang menyusuri Sungai Melaka dengan bot Melaka River Cruise pasti memberi pengalaman baru yang menarik.

Seperti di Venice, sebaik sahaja melabuhkan punggung di dalam bot Melaka River Cruise yang boleh memuatkan 40 penumpang, orang ramai dapat menikmati pelbagai panorama sepanjang tempoh 45 minit.

Sambil menghirup udara segar dan menikmati remang senja bandar raya ini, orang ramai dapat melihat kombinasi suasana menarik di Kampung Morten, pembangunan moden, deretan restoran, bangunan lama di samping monumen dan kesan tinggalan sejarah.

Tidak hanya menjamu mata dengan pelbagai keindahan panorama ketika menyusuri Sungai Melaka menaiki Melaka River Cruise tetapi lebih menarik orang ramai boleh menganjurkan sebarang keraian di atas bot yang diuruskan oleh Perbadanan Sungai dan Pantai Melaka (PSPM) itu.

Bayangkan, anda menikmati makan malam di atas bot Melaka River Cruise sambil menyusuri Sungai Melaka hingga ke muaranya dan melihat pemandangan indah Kampung Morten yang dilimpahi lampu hiasan, deretan bangunan lama di zaman penjajah dan beberapa monumen serta kesan tinggalan sejarah.

Tidak hanya jamuan makan malam, malah apa sahaja bentuk majlis yang ingin dianjurkan boleh diadakan di atas bot Melaka River Cruise.

Bagi tujuan tersebut, PSPM menyediakan tiga buat bot yang telah diubahsuai untuk tujuan berkenaan. Meja dan kerusi disediakan bagi kemudahan sebarang majlis bergantung atas permintaan.

Bagi penyediaan makanan pula, PSPM turut menyediakan kemudahan katering sama ada untuk menjamu makanan tempatan atau Barat dan ia bergantung pada permintaan mereka yang ingin menganjurkan sebarang keraian di atas bot tersebut.

Pakej itu juga menawarkan khidmat pemuzik saxophone yang akan mengalunkan pelbagai jenis lagu.

Majlis yang boleh dianjurkan seperti sambutan hari jadi, jamuan makan tengah hari, makan malam dan sebarang bentuk majlis dalam lingkungan 16 orang.

Jika lebih 16 orang, PSPM juga akan menyediakan bot tambahan dengan pakej yang sama bagi menampung permintaan pelanggan.

Peluang menaiki bot sambil menikmati jamuan makan malam memang memberikan pengalaman yang cukup unik dan jarang-jarang terdapat dalam perkhidmatan bot untuk orang ramai.

Inilah tarikan terbaru yang disediakan oleh PSPM dalam usaha untuk menarik lebih ramai pengunjung bagi menggunakan perkhidmatan bot Melaka River Cruise jika berkunjung ke negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutif PSPM, Baharom Majid berkata, pakej mengadakan sebarang jamuan di atas bot Melaka River Cruise adalah produk terbaru yang telah diperkenalkan kepada pengunjung sejak April tahun lalu.

Menurutnya, PSPM akan menyediakan segala kelengkapan bergantung pada permintaan mereka yang ingin menganjurkan sebarang majlis di atas bot tersebut.

Beliau berkata, kadar bayaran bergantung pada set menu makanan dan bentuk majlis yang diadakan.

''Pakej ini dijangka menarik perhatian orang ramai memandangkan keunikannya menikmati jamuan sambil menyusuri Sungai Melaka hingga ke muaranya.

''Bagi PSPM, kita sedia menerima sebarang tempahan daripada mana-mana pihak dan individu. Menaiki bot ini dan menikmati pemandangan menyusuri Sungai Melaka akan memberikan pengalaman yang cukup berharga," katanya.

Perjalanan bot sepanjang lebih 45 minit itu juga membolehkan mereka melihat runtuhan tembok kota lama yang masih jelas kelihatan sebaik saja melintasi Jambatan Tan Kim Seng yang juga jambatan terakhir dalam kembara Sungai Melaka itu.

Kembara itu turut melewati tujuh perhentian sepanjang perjalanan termasuk Jambatan Hang Jebat, Kampung Morten, depan Livo Hotel di Jalan Kilang, Kampung Hulu, Padang Nyiru serta Jeti Jabatan Perikanan dan Gudang Kastam.

Kampung Morten misalnya, menonjolkan suasana kampung bercirikan dekorasi Melayu Melaka.

Pada sebelah malam, ia mencuri tumpuan mata dengan hiasan lampu menyinari segenap pelosok rumah hingga ke atap.

Hentian terakhir di Banda Hilir yang didirikan berhampiran bangunan maritim dan perikanan Melaka merupakan titik memulakan kembara menerusi jalan darat.

Di kawasan ini segala tentang Melaka barangkali dapat dirungkai. Di sinilah tapak A Famosa masih kekal tanpa gagal menggamit pelancong saban hari.

Di sini juga dibina Dataran Pahlawan yang semakin gah sebagai syurga beli-belah kelas pertengahan. Mengakhiri kembara di hentian ini adalah menyaksikan remang mentari di sebalik kerancakan pembinaan pintu air di muara sungai.

Projek itu bagi memastikan air Sungai Melaka sentiasa penuh walau ketika air surut menyaingi kehebatan dan kemasyhuran Sungai San Antonio di Texas, Amerika Syarikat.

Sudah pasti orang ramai yang sudah menaiki perkhidmatan Melaka River Cruise tidak akan menghela nafas kecewa sebaliknya mengukir senyuman kerana mengkagumi produk yang diilhamkan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam.

Source: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0924&pub=Utusan_Malaysia&sec=Selatan&pg=ws_01.htm

Tiada ulasan:

Catat Ulasan