Sabtu, 4 September 2010

Indahnya merdeka bertemu Ramadan

Sumber: Mingguan Malaysia Online.

Tarikh: 05 September 2010.

Oleh DR.MOHD RIDHUAN TEE


ALANGKAH bahagianya jika hari merdeka bertemu Ramadan atau bulan puasa buat selama-lamanya. Melihat kepada sambutan merdeka ke 53 baru-baru ini, sejuk hati, cukup beradab sopan, beridentiti, sederhana dan sesuai dengan norma-norma budaya kita 1Malaysia. Inilah sambutan yang kita idam-idamkan, sambutan mengikut acuan kita tanpa berlebih-lebihan dan tidak terlalu dipengaruhi dengan budaya hedonisme. Jika sambutan itu berakhir sekitar pukul 12 tengah malam, dengan teriakan merdeka, merdeka dan merdeka, tanpa diteruskan dengan program hiburan alangkah indahnya merdeka kita yang disambut saban tahun.

Ini kerana mengikut budaya kita, pukul 12 tengah malam, adalah sudah terlalu lewat. Remaja-remaja kita tidak sepatutnya bebas atau masih berada di luar rumah. Pukul 12 tengah malam ke atas, adalah persiapan untuk tidur bagi mencari kekuatan di awal paginya setelah mengerjakan sembahyang subuh.

Saya cukup bimbang andainya hari merdeka tahun depan bertembung dengan bulan syawal, keadaan sambutan mungkin berlainan. Sebab dalam pemikiran segelintir masyarakat kita, bulan Ramadan bulan ibadat, bulan Syawal dan seterusnya bulan berjahat. Cara berfikir sebegini perlu berubah. Allah SWT menjadikan setiap hari, minggu dan bulan, adalah kita melaluinya dengan penuh kebaikan dan kesyukuran, tanpa diselang-seli dengan perkara yang merosakkan. Logiknya mudah, Islam diturunkan oleh Allah adalah satu cara hidup. Maknanya, setiap hari kita mesti menjadi manusia baik yakni tunduk dan sujud kepada Pencipta, bukannya ada hari-hari tertentu kita perlu jadi baik, dan hari-hari seterusnya tidak.

Apapun sambutan yang dilakukan, cubalah mengambil kira waktu maghrib. Kerana mengikut perkiraan kalendar Cina dan Islam, waktu maghrib adalah tanda berakhirnya satu hari dan bermulanya satu hari yang baharu. Maka tidak hairanlah kita selalu mendengar kata-kata baliklah ke rumah apabila menjelang maghrib atau senja, sebab hari sudah sampai kepada penghujungnya.

Cuba kita bandingkan sebentar cara kita menyambut tahun baru hijrah. Doa akhir tahun dan doa awal tahun dibaca sebelum dan selepas azan maghrib. Selepas itu diikuti dengan solat, doa selamat atau bacaan Yassin dan solat isyak berjemaah. Selepas isyak, beberapa program yang Islamik atau berbudaya diadakan dan tamat sebelum pukul 12 tengah malam. Kemudian, program disambung keesokan harinya dengan perarakan dan anugerah tahun baru hijrah.

Tidakkah kita boleh mengulangi sambutan tahun baru hijrah, sama seperti kita menyambut hari merdeka dan tahun baru Masehi? Kenapa kita begitu ghairah menghitung hari tahun Masehi, apabila sampai kepada detik 12 malam dengan kira 6,5,4,3,2,1...yahoo kita sudah merdeka atau berada dalam tahun baru.

Mungkin ada yang sinis dengan cadangan saya ini dengan mengatakan sambutan selepas 12 tengah malam, atau tahun baru Masehi atau mungkin juga hari kekasih (Valentine Day), bukanlah punca kepada peningkatan gejala sosial masa kini atau gejala pembuangan bayi.

Saya tidak mengatakan sambutan- sambutan ini semata-mata yang menyebabkan peningkatan gejala sosial, selagi kajian rapi tidak dibuat. Namun, saya tidak menafikan ia turut menyumbang. Janganlah terlalu menuding jari bahawa gejala ini hanya berlaku di kalangan umat Melayu Islam, seolah-olah masyarakat lain tidak ada.

Baru-baru ini saya ketawa kecil apabila membaca pendapat seorang penulis bukan Melayu dalam laman web Malaysiakini, yang mengatakan gejala sosial seperti pembuangan bayi tidak berlaku dalam kalangan masyarakat bukan Islam kerana mereka dikatakan mementingkan moral dan pandai menjaga maruah keluarga.

Terus terang, bangsa lain juga tidak kurang hebatnya. Jika mereka tidak memakai alat pencegah hamil, sudah tentu bilangan mereka juga ketara. Seks bebas hari ini sudah menjadi kebiasaan kepada segolongan manusia, seolah-olah kita sudah tidak lagi diikat dengan agama.

Justeru, sudah sampai masanya setiap hari kebesaran disambut mengikut acuan agama ataupun cara hidup budaya 1Malaysia berlandaskan agama. Kita tidak boleh terikut-ikut sangat dengan cara sambutan Barat. Sedangkan kita tahu bahawa cara hidup barat yang keterlaluan telah menghancurkan sistem nilai kehidupan mereka. Kini, Barat telah bangun semula dan mementing kehidupan beragama (Kristian). Sila baca buku beberapa buku Zig Ziglar (2000) akan kepentingan hidup beragama di kalangan orang Barat.

sokongan

UMNO tidak ada pilihan hari ini. Jika UMNO mahukan sokongan orang Melayu dan mendapat keredaan Allah SWT, UMNO mesti dapat dilihat kecenderungannya mahu atau kembali kepada Islam. Saya tidak mengatakan UMNO tidak cenderung kepada Islam, kecenderungannya ada, tetapi masih ada ruang-ruang kosong yang boleh diisi bagi mengelakkan dicerobosi musuhnya. Semakin Islam UMNO, semakin ia mendapat sokongan dan sambutan. Itulah cara UMNO mahu menandingi Pas. Mursyidul Am Pas pernah berkata, mereka akan bubarkan PAS dan menyertai UMNO, jika UMNO mahu atau menukar dasar kepada Islam.

Pada hemat saya, UMNO perlu memikirkan secara serius cadangan Pas ini. Pas pun tahu bahawa perjuangan Islam mereka tidak akan diterima dalam Pakatan Rakyat, apatah lagi bersama ultra kiasu kerana mereka memang anti-Islam. Kedudukan Pas ibarat ditelan mati emak, diluah mati bapak dalam pakatan.

Adalah tidak sukar bagi UMNO untuk menukar perjuangan daripada Melayu kepada Islam kerana Melayu itu mesti Islam mengikut perlembagaan. Mempertahankan Islam juga mempertahankan Melayu. Pi mai pi mai tang tu juga.

Pas pula janganlah terlalu ghairah, bila sebut sahaja Islam, mesti melaksanakan hudud. Real politik Malaysia perlu difahami. Hudud tidak dapat dilaksanakan jika perlembagaan tidak dipinda. Meminda perlembagaan pula memerlukan majoriti dua pertiga.

Hari ini kita perlu bergerak bersama melaksanakan undang-undang dan nilai-nilai Islam dalam lingkungan yang dibenarkan perlembagaan terlebih dahulu. Selepas itu, barulah kita merancang untuk pergi lebih jauh daripada itu. Ini tidak, kita asyik tuduh menuduh dan ada yang sanggup kafir mengkafir.

Misalnya sambutan merdeka, dan hari kebesaran (perayaan) lain. Sebenarnya kita mampu untuk menyambut hari kebesaran ini mengikut acuan kita kerana nilai-nilai kita turut dikongsi oleh agama lain. Program-program hiburan keterlaluan yang berlanjutan hingga ke awal pagi hendaklah dihentikan.

Semua program tersebut mesti ada garis panduan agar tidak terkeluar daripada nilai-nilai moral dan tata susila, seperti sambutan merdeka baru-baru ini. Jakim dan badan-badan perundingan agama lain, boleh dijadikan rujukan untuk memantau semua program yang dijalankan.

Source: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0905&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_06.htm

Tiada ulasan:

Catat Ulasan