Sumber: Berita Harian Malaysia Online.
Oleh Rashiqah Ilmi Abd Rahim
Tarikh: 2010/08/18
PUASA Ramadan menjanjikan hikmah yang tidak terhingga kepada umat Islam kerana selain beribadat, Ramadan adalah waktu yang sesuai menambah pendapatan melalui perniagaan sampingan yang ada kalanya memberi pulangan lumayan kepada peniaga, apatah lagi dengan adanya bazar Ramadan.
Selepas menyambut Ramadan, hikmahnya berterusan kepada kanak-kanak setiap kali menjelang bulan Syawal yang menyaksikan rezeki mereka berlimpah kerana amalan memberi duit raya kepada kanak-kanak yang masih popular di kalangan masyarakat kita.
Bagaimanapun, masyarakat Islam kadang kala terleka dengan hikmah kurniaan Allah SWT sehingga tidak mengambil peluang memanfaatkan kedatangan Ramadan untuk meningkatkan ketakwaan mereka semata-mata terlalu taksub menambah pendapatan untuk persediaan lengkap menyambut Aidil Fitri. Sebaliknya, sesetengah daripadanya lebih menyedari kedatangan Ramadan dan Syawal sebagai peluang menjana pendapatan daripada menyedari hikmah bulan Ramadan yang menyimpan jutaan pahala dan keberkatan yang tidak ada pada bulan lain.
Justeru, tidak hairanlah pusat beli-belah sudah memasang sepanduk harga potongan menjelang Ramadan dan Syawal untuk menarik kedatangan pelanggan, manakala pengusaha hotel juga tidak melepaskan peluang mengiklankan promosi berbuka puasa pada harga istimewa.
Felo Penyelidik Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Khalif Muammar A Haris, berkata senario itu sukar dikawal kerana ia sudah menjadi budaya masyarakat Islam setiap kali menjelang Ramadan dan Syawal.
Sekiranya dilihat dari sudut positif, usaha menambah pendapatan pada Ramadan boleh dianggap sebagai ibadah kerana melakukan pekerjaan memberi pahala kepada pelakunya selagi ia tidak mengabaikan amalan fardu dan sunat yang sudah diamanah kepadanya sebagai umat Islam.
Bagaimanapun, suatu yang menyedihkan apabila umat Islam bertungkus lumus mencari rezeki sehingga tidak berpeluang menghayati kemuliaan dan keberkatan Ramadan. Fenomena ini dapat disaksikan pada 10 malam pertama masjid dan surau akan penuh, tetapi lengang pada 10 malam terakhir, katanya pada pertemuan dengan Sastera di Bangi, baru-baru ini.
Fenomena terbabit tidak boleh disamakan dengan penerimaan sumbangan duit raya yang diterima kanak-kanak pada Hari Raya kerana hasil yang diterima mereka hanya sekadar sumbangan yang tidak memerlukan usaha keras dan tidak mengabaikan hikmah Ramadan mahupun Syawal.
Masalahnya, golongan dewasa lebih bimbang dan mementingkan maruah diri untuk memberi duit raya kepada anak buah dan kanak-kanak yang berkunjung ke rumah ketika meraikan lebaran, walhal amalan itu hanya sekadar budaya yang tidak wajib dilakukan.
Justeru, sebagai umat Islam, kita digalakkan menyambut Hari Raya dengan cara sederhana, tetapi kemas dan bersih dari aspek persiapan diri dan rumah. Kita tidak sewajarnya membiarkan puasa kita hanya dapat lapar dan dahaga saja, semata-mata memenuhi keperluan dunia, katanya.
Pekerja Swasta, NorFadhilah Adnan, menyifatkan Ramadan dan Syawal sudah dikomersilkan oleh sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab demi memastikan umat Islam terlalu leka. lalu terlepas peluang menggandakan pahala pada bulan itu.
Menjalankan perniagaan menjual kuih sebagai aktiviti sampingan sempena bulan Ramadan dan menganggap Ramadan peluang menjana pendapatan tidak sewajarnya dieksploitasi oleh mana juga pihak yang sebenarnya mahu melipatgandakan keuntungan mereka sendiri.
Umat Islam negara ini perlu mengimarahkan sambutan Ramadan dengan menunjukkan semangat tinggi untuk meningkatkan amalan dalam mengubah budaya menyambut kedatangan Ramadan sekadar sebagai saat melaksanakan ibadat puasa yang datang setahun sekali.
Begitu juga dengan budaya memberi duit raya kepada kanak-kanak. Sememangnya, tiada salah memberi peluang kepada golongan muda menambah pendapatan mereka dengan menyumbangkan duit raya, tetapi janganlah sampai menimbulkan riak dan mendatangkan kesan buruk kepada orang dewasa yang memberinya, katanya.
NorFadhilah mencadangkan masyarakat Islam membuat persediaan menghayati dan mengulang kaji beberapa perkara berkaitan Ramadan dengan mendalami amalan sunat dan kelebihan beramal selain bersederhana mempersiapkan diri menjelang Aidil Fitri.
Source: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/WarnaKehidupan_Ramadan_Janapendapatanduagenerasi/Article
Tiada ulasan:
Catat Ulasan