Sumber: Berita Harian Malaysia Online
Tarikh; 2010/08/13
IPOH: Sultan Perak, Sultan Azlan Shah, bertitah baginda mendapati kebelakangan ini ada suara yang membuat tuntutan yang sangat bercanggah dengan semangat yang telah berjaya menyatukan rakyat menjadi warga sebuah negara bangsa yang merdeka dan berdaulat.
Pada mesyuarat Dewan Negara Perak ke-147 di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar semalam, baginda turut melahirkan bimbang terhadap sikap sebahagian generasi baru negara ini yang kelihatan semakin jauh fahamannya dengan salasilah dan asal usul sejarah tanah air.
“Baginda mengingatkan bahawa Malaysia telah memilih sistem berkerajaan berteraskan prinsip Raja Berpelembagaan dan demokrasi berparlimen. Sistem tersebut dicapai berdasarkan formula persepakaran antara istana dan rakyat, masing-masing ada peranan tertentu terutama dalam suasana gentung dan kritikal," kata Setiausaha Dewan Negara Perak, Datuk Ayop Hashim, hari ini. Menurut baginda, sistem berkenaan memberikan satu perimbangan peranan dan perimbangan kuasa demi menjamin kesejahteraan warga dan negara.
Mesyuarat berkenaan turut mengesahkan Datuk Mohd Redzuan Mohd Khusairi, 61, sebagai Orang Kaya-Kaya Shahbandar Paduka Indera bagi menggantikan Allahyarham Datuk Seri Mohd Zulkifli Mohd Khusairi yang meninggal dunia pada 6 Ogos 2009.
Mohd Redzuan pernah menjadi Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di United Kingdom serta Timbalan Wakil Tetap Malaysia di Pertubuhan Bangsa Bersatu. Jawatan terakhirnya adalah Duta Besar Malaysia ke Uzbekistan.
Sultan Azlan juga berkenaan melantik Jen (B) Datuk Seri Mohd Azumi Mohamed, 62, sebagai Ahli Dewan Negara Perak bagi tempoh 12 Ogos hingga 16 Mac 2012 bagi menggantikan Allahyarham Datuk Ismail Shah Bodin yang meninggal dunia pada 26 Jun lepas. - BERNAMA
Source: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/SultanPerakbimbangtuntutanbercanggahperpaduan/Article
Tiada ulasan:
Catat Ulasan