Sumber: Berita Harian Malaysia Online.
Tarikh: 2010/08/30
PEMBUKAAN kota Makkah antara peristiwa besar dalam sejarah Islam yang berlaku pada Ramadan, tahun ke-8 hijrah. Pembukaan kota Makkah dilihat sebagai kejayaan penting dalam peribadatan dan perkembangan syiar Islam kerana di sini terletak kiblat orang Islam, Kaabah.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami sudah membuka bagi perjuanganmu (wahai Muhammad) satu jalan kemenangan yang jelas nyata. Kemenangan yang dengan sebabnya Allah mengampunkan salahmu yang lalu dan yang terkemudian dan menyempurnakan nikmat-Nya kepadamu serta menambahkanmu hidayah ke jalan lurus (dalam mengembangkan Islam dan melaksanakan hukum-hukumnya). Dan dengan sebabnya Allah memberikanmu pertolongan (untuk mencapai kejayaan) dengan sepenuh-penuhnya dan sehebat pertolongan (yang tidak ada tolok bandingnya).” (Surah al-Fath, ayat 1-3) Peristiwa ini berlaku apabila Bani Bakr dalam naungan Quraisy menyerang Bani Khuzaah dalam naungan Islam pimpinan Rasulullah SAW. Serangan Bani Bakr dibantu pihak kafir Quraisy. Tindakan ini menimbulkan kemarahan orang Islam kerana dengan pertolongan itu, pihak Quraisy melanggar perjanjian Hudaibiyah yang dipersetujui mereka. Serangan itu juga menyebabkan hampir 20 orang daripada Bani Khuzaah terbunuh.
Oleh kerana serangan itu dibantu pihak Quraisy, maka Amru bin Salim bersama rakannya daripada Bani Khuzaah bergegas ke Madinah untuk memberitahu dan meminta bantuan daripada Rasulullah SAW.
Apabila pihak Quraisy mendengar permintaan Bani Khuzaah kepada Rasulullah SAW, mereka begitu menyesal lalu menghantar Abu Sufian bin Harb bertemu Baginda untuk merayu dan memohon maaf namun, Rasulullah SAW dan sahabat tidak menghiraukannya. Dengan keputusan itu, beliau pulang dengan perasaan hampa dan kecewa ke Makkah.
Oleh kerana perjanjian Hudaibiyah dilanggar pihak Quraisy, maka Rasulullah SAW menyiapkan angkatan Muslimin dengan jumlah mencecah hingga 10,000 orang berangkat ke Makkah. Keberangkatan Rasulullah SAW dan sahabat ke Makkah dapat dijangka oleh pihak Quraisy.
Catatan sejarah menjelaskan bahawa sahabat dapat mematahkan cubaan Hatob untuk mengutuskan surat ke Makkah bagi memaklumkan keberangkatan Muslimin.
Apabila Hatob dihadapkan kepada Rasulullah SAW, beliau menjelaskan bahawa tujuan mengutus surat ke Makkah melalui seorang wanita untuk memaklumkan keluarganya mengenai keberangkatan Muslimin dan bukan berpaling tadah atau murtad. Alasan ini diterima Rasulullah SAW kerana beliau adalah salah seorang pejuang di medan Badar yang Allah SWT janjikan keampunan.
Setiba Rasulullah SAW di Makkah, orang Islam berjaya memasukinya tanpa tentangan sengit. Walaupun pertempuran berlaku, ia dapat dipatahkan oleh Khalid Ibn Walid dan sahabat lain.
Baginda menghancurkan berhala di sekeliling Kaabah sebagai simbol berakhirnya penyembahan berhala di Makkah.
Source: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/PembukaankotaMakkahtandakejayaanperkembangansyiarIslam/Article
Tiada ulasan:
Catat Ulasan