Sumber: Mingguan Malaysia Online.
Tulisan: Dr. Mohd Ridhuan Tee.
Ada orang yang tinggal di bumi bertuah ini langsung tidak bersyukur, malah mempersendakan dan menghinakan kedudukan istimewa agama Islam dan Melayu sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan.
Saya cadangkan mereka berhijrah ke negara lain, jika negara ini sudah tidak ada lagi kebebasan baginya. Pergilah ke negara asal-usulnya atau ke Barat, kerana di sana lebih banyak 'kebebasan' untuk membina gereja paling besar dan patung paling tinggi di dunia serta, sekolah vernakular, termasuk juga melakukan perbuatan sumbang seperti seks bebas.
Ternyata orang ini amat jahil (mungkin sengaja) dalam memahami Perlembagaan dan asal-usul negara ini atas sikap ultra kiasu. Keadilan baginya adalah sama rata dan sama rasa bukan meletakkan sesuatu pada tempatnya. Apakah orang ini tidak menyedari bahawa bilangan rumah ibadat bukan Islam melebihi berkali ganda daripada masjid dan surau. Pun begitu orang ini masih tidak berpuas hati. Mereka mahukan patung Mazu dan patung-patung lain serta gereja menjadi mercu tanda, terbesar dan tertinggi, barulah dinamakan adil, bertepatan dengan hak kebebasan dan hak asasi manusia.
Saya cadangkan orang ini supaya membawa ideanya itu ke negara Barat, mungkin negara asal usulnya di China. Cadangkan apa yang dimahukan terhadap mereka. Saya amat yakin cadangan orang ini akan 'dibakulsampahkan' sebab tidak masuk akal, kecuali di Malaysia, kerana toleransi ditunjukkan oleh pribumi tidak ada tolok bandingnya. Pergilah ke Kelantan, orang bukan Melayu boleh dikira dengan jari, tetapi mereka memiliki patung Buddha yang begitu besar sekali. Ini belum termasuk Pulau Pinang dan negeri-negeri lain. Masihkah orang ini tidak bersyukur?
Keistimewaan Islam termasuk mengembangkan syiar Islam seperti membina masjid dan surau sudah termaktub dalam Perlembagaan. Namun, kebanyakan surau dan masjid dibina menggunakan peruntukan wang zakat, walaupun tidak salah jika kerajaan mahu menggunakan wang negara. Tetapi untuk mengelakkan kontroversi, pemimpin negara hanya menggunakan harta orang Islam sahaja. Tidak kurang yang membinanya melalui kutipan derma dan sedekah hartawan.
Apakah orang ini masih buta mata hatinya? Jangan pula kata kerajaan tidak memberikan peruntukan kepada rumah ibadat bukan Islam.
Seringkali saya timbulkan kenapa perlukan bilangan rumah ibadat yang banyak dan bersaiz tinggi dan besar, sedangkan keperluan penganutnya tidak berapa ramai? Justeru, tidak perlulah gatal tangan membeli dan buka gereja di rumah kedai. Lepas itu salahkan kerajaan kerana tidak membantu membiayainya. Janganlah jadi kafir harbi.
Perlembagaan
Ketika Perlembagaan digubal, kerajaan British telah menubuhkan sebuah Jawatankuasa Kerja yang terdiri daripada wakil kerajaan British sendiri, Penasihat Majlis Raja-Raja dan pemimpin-pemimpin parti. Pada Mac 1956 satu Suruhanjaya Perlembagaan diketuai Lord Reid telah ditubuhkan untuk merangka dan meneliti Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu. Suruhanjaya ini begitu memahami kedudukan Tanah Melayu ketika itu.
Kedudukan pribumi dan pandangan mereka diperhalusi. Maka tidak hairanlah lima perkara utama berkaitan Islam dan pribumi difokuskan seperti kedudukan Raja-Raja Melayu, kedudukan agama Islam, kedudukan bahasa Melayu, kedudukan istimewa orang Melayu dan kerakyatan sama rata. Walaupun Pas menuduh Perlembagaan Reid ini perlembagaan kafir kerana kerjanya suka mengkafir, ruang untuk Islam dan pribumi berkembang begitu besar, dengan tidak menafikan hak bukan Islam. Kelebihan yang dinikmati oleh Islam dan pribumi inilah yang menimbulkan kedengkian dan rasa tidak puas orang ini dan ultra kiasu yang lain.
Mereka sengaja tidak mahu sedar bahawa dengan kelebihan ini juga, mereka beroleh keuntungan. Aktiviti keagamaan mereka tidak pernah disekat, malahan mereka bebas untuk mengamalkannya tanpa diganggu-gugat. Sedih juga kadangkala melihat umat Islam sembahyang jumaat berjemur sehingga ke jalan raya disebabkan saiz masjid yang tidak dapat menampung keperluan jemaah. Itupun masih dipertikaikan.
Pertikaian mengenai status agama Islam seolah-olah tiada penghujung walaupun ia amat sensitif. Orang ini tidak setuju dengan mata pelajaran agama Islam yang diajar di sekolah dan budaya berdoa ketika perhimpunan seminggu sekali yang tidak sampai tiga minit pun. Terlalu bersifat Islam dan Melayu katanya. Sekiranya ini pun dicabut, apakah yang masih tinggal? Apa guna Perlembagaan? Sebagai ganti pelajar bukan Islam boleh mempelajari mata pelajaran bahasa ibunda dan pendidikan moral yang sudah diselitkan serba sedikit ajaran agama lain. Tidak cukupkah? Beri betis nakkan peha.
Satu sahaja yang saya pinta agar orang ini dan sekutunya, beramal dengan ajaran agama mereka dengan menjauhi judi, arak, zina, seks bebas dan lain-lain. Barulah aman negara ini.
Cuba siasat silibus mata pelajaran di negara China dan di India, adakah matapelajaran agama Islam diberikan hak kepada minoriti umat Islam Cina di sana?
Sudah tentu tidak. Malah mereka ditindas. Begitu juga di negara Barat, berdoa mengikut ajaran Kristian adalah perkara biasa. Umat Islam di sana diam sahaja kerana mereka tahu itu bukan negara asal mereka. Kenapa mahu mempertikaikan bacaan doa dalam sebuah negara Islam?
Adakah dengan amalan doa tersebut, hati orang bukan Islam akan cair lantas memeluk Islam? Benci sungguh orang ini terhadap Islam. Doa adalah salah satu amalan budaya orang Melayu Islam. Takkan kita mahu hapus semua identiti pribumi semata-mata mahu meraikan orang lain. Jika begitulah keadaannya, tukar sahaja nama Malaysia kepada Cinasia atau Indiasia. Pelik sungguh spesies sebegini, tak habis-habis cuba mencabar kedudukan Islam dan pribumi.
Begitu juga dengan Sekolah Missionari yang telah diambilalih oleh kerajaan. Bukanlah menjadi isu besar jika identiti penjajah seperti lambang salib ditukar kepada identiti tempatan. Tidakkah ia perlu dimalaysiakan sifatnya sesuai dengan keadaan masyarakat di sini?
Kenapa masih mahu mengekalkan identiti penjajah? Apakah mengekalkan identiti Melayu atau tempatan bermakna memelayukan bukan Melayu? Apakah kita langsung menolak asimilasi walaupun sedikit? Apakah majoriti langsung tidak ada hak dalam masyarakat minoriti?
Anak
Orang ini tidak perlu menghantar 'anaknya (jika ada anak sah taraf) ke sekolah kebangsaan, jika dia tidak yakin dengan sekolah kebangsaan atau pun mungkin dimelayukan. Kehadiran 'anak' orang ini tidak diperlukan di sini. Hantar sahaja 'anak'nya itu ke sekolah di negara asal-usulnya atau ke seberang laut. Cubalah buat kajian berapa ramai produk pelajar bukan Melayu yang telah berjaya hasil didikan di sekolah kebangsaan peringkat menengah setelah mereka tamat pembelajaran di sekolah vernakular? Tidak juga mereka memeluk Islam melalui amalan doa pagi ketika perhimpunan.
Persoalan juga ditimbulkan mengenai pertubuhan bukan Islam di sekolah seperti yang telah saya tulis dalam Mingguan Malaysia 1 Ogos 2010. Tidak perlu saya ulang. Bacalah. Persoalan kenapa bukan Islam tidak boleh berdakwah kepada orang Islam, bacalah Perlembagaan, jangan jadi jahil.
Orang ini juga membangkitkan mereka yang memeluk Islam yang dibantu dari segi kewangan. Tidakkah orang ini tahu bahawa bantuan tersebut dibuat melalui asnaf zakat, bukan wang sekutu ultra kiasu orang ini yang selalu cuba mengelakkan diri daripada membayar cukai? Orang ini janganlah terlalu berani.
Sebenarnya semua perkara yang dibangkitkan itu adalah tuntutan pertubuhan haram
Inter- Faith Council (IFC) dan Majlis Peguam satu ketika dahulu. Agama Islam dilabelkan sebagai zalim kerana tidak membenarkan mereka yang memeluk Islam untuk murtad kembali.
Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah ialah Kumpulan Penyelidik Politik dan Peradaban Islam, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) merngkap Setiausaha Agung Dewan Perdagangan Islam Malaysia.
Source: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0815&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_08.htm
Tiada ulasan:
Catat Ulasan