Sumber: Utusan Malaysia Online.
Tarikh: 24 August 2010.
KUALA LUMPUR 23 Ogos – Baju Melayu serta baju kurung daripada fabrik kapas dan songkok tinggi baldu halus menjadi pilihan umat Islam yang mengunjungi bazar-bazar Jalan Masjid India bagi mencari kelengkapan menyambut 1 Syawal.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, bazar itu menjadi tumpuan warga kota kerana menawarkan harga yang rendah setiap kali musim perayaan.
Seorang pembantu peniaga, Haizirul Ramli, 19, berkata, berikutan permintaan tinggi daripada pembeli, dia mengambil kesempatan menawarkan pelbagai jenis corak baju Melayu daripada fabrik kapas bagi menambat hati pembeli.
“Fabrik kapas menjadi pilihan pengunjung sama ada bagi baju Melayu atau baju kurung. Warnanya yang pelbagai dan selesa dipakai sepanjang hari menjadi sebab utama permintaannya meningkat,” katanya.
Menurut Haizirul, permintaan baju Melayu akan meningkat terutama seminggu sebelum Hari Raya Aidilfitri.
Setiap kali menjelangnya hari raya, jualan baju Melayu lebih-lebih lagi rekaan baru seperti fabrik kapas pasti mendapat sambutan menggalakkan.
“Justeru, kami menyediakan baju Melayu fabrik kapas dalam kuantiti yang banyak agar pelanggan tidak terlepas peluang untuk membelinya,” jelasnya.
Haizirul berkata, harga bagi sepasang baju Melayu adalah dalam lingkungan RM98 dan pelanggan boleh tawar-menawar bagi mendapatkan harga terbaik.
Sementara itu penjual songkok, Rizwan Jaswar, 19, berkata, songkok pilihan pembeli tahun ini adalah jenis tinggi diperbuat daripada baldu halus rekaan dari Johor.
“Selain harga yang berpatutan, ia juga tahan lama dan rekaannya klasik. Selain menjadi salah satu kelengkapan pakaian hari raya, pemakaian songkok bercorak Jalur Gemilang juga boleh dipakai sempena meraikan Hari Kemerdekaan ke-53 ini,” jelasnya.
Penjual tudung, Sheik Mazlan Omar, 28, yang sudah tujuh tahun berniaga di Bazar Jalan Masjid India berkata, tudung yang menjadi rebutan pengunjung pada tahun ini adalah tudung Nur Kasih.
“Tudung ini unik kerana fabriknya yang lembut dan apabila dipakai ia akan membuatkan pemakainya selesa dan kelihatan menarik. Ia mendapat sambutan yang menggalakkan sejak awal Ramadan lagi,” katanya.
Seorang pengunjung, Suzana Abdullah, 40, berkata, bazar itu menyediakan pilihan yang pelbagai di samping boleh mendapatkan barangan dengan harga yang rendah.
“Bazar ini menawarkan segala keperluan persiapan bagi sesebuah keluarga. Selain boleh tawar-menawar, kawasannya juga strategik dan mudah untuk dikunjungi,” katanya.
Source: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0824&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_11.htm
Tiada ulasan:
Catat Ulasan