Khamis, 26 Ogos 2010

200 anak yatim diraikan

Sumber: Berita Harian Malaysia Online.

Oleh Nurhayati Abllah

Tarikh: 2010/08/25

IPOH: Program Semarak Ramadan Berita Harian diteruskan lagi ke Perak apabila tetamu termasuk 200 anak yatim diraikan pada majlis berbuka puasa di Surau Al-Hidayah, Taman Desa Indah, Ampang, di sini, malam semalam.

Program anjuran bersama Berita Harian, Kumpulan AmBank serta beberapa penaja seperti Padi Beras Nasional Bhd (BERNAS), Yusuf Taiyoob dan MKT Link Sdn Bhd dengan kerjasama Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) itu meraikan lebih 150 kariah surau berkenaan dan penduduk sekitar Taman Desa Indah selain kira-kira 15 anak yatim dari Rumah Anak Yatim Baitul Mubaroqah Rapat Setia.

Pada majlis itu wang tunai dan beras, kurma, sabun pencuci dan biskut disumbangkan kepada surau dan rumah anak yatim berkenaan.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Roshidi Hashim, berkata MBI berasa bertuah kerana terpilih untuk bersama Berita Harian dan AmBank menjayakan program Semarak Ramadan yang julung kali diadakan di Perak.

Katanya, sumbangan itu pastinya menggembirakan pihak surau dan anak yatim serta pengurusan rumah berkenaan kerana dapat meringankan beban mereka.

Saya mengharapkan lebih banyak sumbangan seumpama ini dapat diberikan pada masa depan, katanya berucap pada program berkenaan di surau itu, malam tadi.

Hadir sama Pengarah Hal Ehwal Kumpulan AmBank, Syed Anuar Syed Ali; Pengurus Besar AmIslamic Bank, Datuk Zainal Abidin Mohamed; Pengarang Berita, Berita Harian, Mutazar Abd Ghani; Ketua Biro Berita Harian Perak, Jalal Ali Abdul Rahim; Pengerusi Surau Al Hidayah, Zulkifli Ahmad dan Pengurus Rumah Anak Yatim Baitul Mubaroqah Rapat Setia, Norhayati Saad.

Sempena program itu, Kumpulan AmBank memberi sumbangan RM3,000 kepada Surau Al Hidayah dan RM1,000 kepada Rumah Anak Yatim Baitul Mubaroqah Rapat Setia yang disampaikan oleh Syed Anuar.

BERNAS pula menyumbang 50 kampit beras, Yusuf Taiyoob menyumbang kurma, MKT Link menyumbang sabun pencuci dan Hotel Heritage Ipoh menyumbang biskut kepada surau dan anak yatim.

MBI pula menyediakan jamuan berbuka puasa dan memberikan duit raya kepada kesemua anak yatim yang disampaikan Roshidi yang turut mengumumkan sumbangan MBI sebanyak RM10,000 kepada pengurusan Surau Al Hidayah.

Terdahulu pada sebelah petangnya, Roshidi bersama Syed Anuar, Mutazar serta kakitangan Kumpulan AmBank mengadakan lawatan ke tapak Bazar Ramadan Rapat Setia dan mengagihkan apron sumbangan Petronas Gas Bhd serta topi dan barangan daripada Kumpulan AmBank kepada peniaga bazar Ramadan itu.

Source: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/200anakyatimdiraikan/Article/index_html

Tiada ulasan:

Catat Ulasan