Sumber: Berita Harian Malaysia Online.
Tarikh: 2010/07/22
KESENGSARAAN penduduk Gaza sukar untuk digambarkan dalam dunia moden ini, namun itulah realiti yang terpaksa dihadapi di bawah sekatan rejim Zionis Yahudi di Palestin.
Penderitaan didedahkan media massa dan bantahan masyarakat antarabangsa yang menentang kekejaman tentera Yahudi tidak sedikit pun dapat meringankan penderitaan mereka, sebaliknya Yahudi semakin angkuh kerana mendapat sokongan negara sekutunya, Amerika Syarikat dan Britain.
Namun, keganasan Yahudi yang terus bertindak kejam ke atas rakyat Palestin tanpa belas kasihan, tidak akan mematah semangat rakyat Malaysia untuk terus menyokong dan menghantar misi bantuan bagi meringankan kesengsaraan mereka.
Kita yakin ramai rakyat Malaysia yang simpati dan sedia berkongsi penderitaan yang dialami kira-kira 1.5 juta rakyat Palestin di Gaza.
Ini dibuktikan dengan penghantaran pasukan sukarelawan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) yang membawa pelbagai bantuan kemanusiaan ke Gaza selama empat hari yang berakhir kelmarin.
Yang pasti, kehadiran PBSM dari Malaysia yang membawa pelbagai bantuan kemanusiaan ke Gaza itu dapat membuka mata masyarakat antarabangsa betapa penduduk Gaza sangat terdesak untuk mendapatkan bahan makanan, pakaian dan ubat-ubatan bagi meneruskan kehidupan yang serba kekurangan, angkara kekejaman rejim Yahudi yang tidak berperikemanusiaan.
Untuk keperluan kesihatan, membeli perkakasan baru serta meningkatkan kepakaran dalam bidang perubatan saja, mereka memerlukan RM16 juta. Justeru, rakyat Malaysia yang sentiasa mengikuti pergolakan di Palestin, wajar tampil untuk menyokong misi bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Ini termasuk Program Ramadan anjuran PBSM bagi mengumpulkan makanan untuk penduduk serta pakaian kanak-kanak Palestin menjelang Aidilfitri tidak lama lagi. Program ini memerlukan sumbangan individu, persatuan, badan bukan kerajaan (NGO) mahupun badan korporat.
Misi PBSM pastinya turut membawa pulang pelbagai fakta dan bukti baru mengenai kekejaman Yahudi yang mengenakan pelbagai sekatan ke atas penduduk Palestin. Sekurang-kurangnya anggota misi itu membawa pulang pengalaman untuk diceritakan dan digambarkan sebagai paparan rakyat di negara ini. Inilah hakikat yang tersingkap di sebalik runtuhan bangunan, kehancuran tamadun dan kesengsaraan penduduk Gaza.
Semua ini dapat dikongsi dan direnung bersama untuk dijadikan pedoman dan panduan. Selama ini, media pro Zionis atau yang dibiayai pemodal Yahudi sentiasa memutarbelitkan fakta mengenai kejadian yang berlaku di Palestin.
Kini, media laman sembang sosial adalah saluran terbaik menceritakan kepada dunia apa yang sebenarnya berlaku kepada penduduk Palestin sejak ditindas Yahudi lebih 60 tahun lalu.
Malaysia perlu terus mempelopori gerakan membantu penduduk Palestin dalam pelbagai aspek lain. Kita percaya cadangan PBSM mengadakan program pertukaran doktor dari Malaysia dan Gaza boleh membantu meningkatkan mutu perkhidmatan perubatan dan kesihatan di negara berkenaan pada masa depan.
Kita juga boleh menimbangkan membawa keluar kanak-kanak Palestin yang cedera untuk mendapatkan rawatan serta menjalani proses pemulihan fizikal dan trauma di negara ini.
Source: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/MindaPengarang_DuniaperlutahukisahsebenarpenderitaandiGaza/Article
Tiada ulasan:
Catat Ulasan