By Idris Ismail Talu.
Kita adalah dipertanggungjawabkan keatas setiap patah perkataan yang kita sampaikan atau tuliskan atau sebarkan. Dalam hubungan ini, Baginda Rasulullah S.A.W. sangat berhati-hati kerana amat takutkan kepada Allah S.W.T. tentang bahayanya berkata-kata yang tidak sepatutnya kita lakukan.
Menurut buku ini lagi, Anas menceritakan bahawa seorang pemuda dari golongan Ansar telah gugur syahid pada hari Perang Uhud. Kami dapati di atas perutnya terikat batu kerana lapar. Maka ibunya menyapu tanah pada mukanya sambil berkata: “Selamat! Syurga bagimu wahai anakku!” Maka Nabi Muhammad S.A.W. pun menjawab kata-kata ibu tadi dengan sabdanya: "Dari mana engkau tahu? Mungkin ia (si mati) ada berkata-kata perkara yang tidak perlu, dan ia tidak berkata-kata perkara yang tidak mendatangkan mudarat baginya!” – (Hadith riwayat at-Tarmizi daripada Anas).
Kepada yang ingin tahu selanjutnya, tentang bahayanya berkata-kata yang tidak perlu, anda boleh membaca buku “Mengawal Tutur Kata” tulisan Tuan Haji Johari bin Haji Alias yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka edisi 1997 ini.
Menurut buku ini, kita dilarang membuat pertanyaan-pertanyaan yang boleh membawa kepada bahaya. Contohnya, kita bertanya tentang ibadat seseorang sahabat, “Anda berpuasakah?” Jika sahabat kita menjawab, “Ya,” maka sahabat kita tersebut telah menonjolkan ibadahnya dan tumbuhlah riak di hatinya. Jika sahabat kita itu menjawab “Tidak”, maka nyatalah sahabat kita itu telah berbohong. Apatah lagi kalau sahabat kita itu berdiam diri, tidak mahu menjawab pertanyaan kita, dia sudah dianggap menghina kita. Kita akan berasa sakit hati kepadanya.
Begitulah jadinya jika kita bertanya tentang sesuatu yang tidak perlu. Kita akan mendapat dosa dan orang kita tanyai pun bertambah dosanya kerana lidah kita yang suka bertanya tentang sesuatu yang tidak perlu.
Selamat membaca.
©idrisismailtalu@2010
Tiada ulasan:
Catat Ulasan