Selasa, 6 April 2010

Lambuk atau Kemumu

By Idris Ismail Talu

Nama saintifiknya ialah Colocasia gigantea cv. Tumbuhan ini ialah dari keluarga keladi. Terdapat beberapa perbezaan antara keladi biasa dan lambuk. Dari segi warnanya, hijau lambuk agak kebiruan, sedangkan hijau keladi biasa benar-benar hijau terang.

Kepada yang belum kenal betul dengan lambuk, jangan mudah keliru. Banyak lambuk liar yang terdapat di tepi bukit batu kapur, atau di dalam hutan, jangan diambil untuk dibuat sayur – gatalnya bukan kepalang.

Kalau hendak merasakan keenakan lambuk, carilah atau belilah di pasar-pasar tani yang dijual seperti di dalam gambar di bawah.




Gambar di atas, penulis ambil baru-baru ini di Pasar Tani di Tepi Stadium Perak, Ipoh.

Seperkara lagi yang membezakan keladi dengan lambuk ialah, lambuk boleh dibuat ulam mantah – tidak gatal. Sedangkan keladi perlu dimasak dahulu untuk menghilangkan rasa gatalnya.

Ulam lambuk biasa dipasangkan dengan sambal kelapa campur buah belimbing buluh. Memang cukup meyelerakan.

Pokok lambuk ini tidak ada kena mengena dengan bubur lambuk Kampung Baru.

Kepada orang Melayu, kemumu atau lambuk ini dijadikan pantun nasihat yang berbunyi:-

Kemumu tidak keladi pun tidak,
Kelopak seperti ranting ketapang;
Berilmu tidak berbudi pun tidak,
Lonjaknya seperti kambing tempang.

Lambuk juga sedap dibuat masak lemak dengan daun kunyit atau dicampurkan dengan siput sedut atau siput sungai.

Biasanya bila tiba bulan Ramadhan, penulis selalu mencari gulai lambuk masak kuning di Pasar Ramadhan di Tebing, Kuala Kangsar. Masakan orang Kuala memang cukup sedap.

©idrisismailtalu@2010.

4 ulasan:

  1. kemumu tidak keladipun tidak
    kalau bukan pastilah kemahang
    kalau nak tau sedap ke tidak
    rasa sekali pasti berulang.

    buat kata orang Lepis ini Tuan Haji, kalau tak gatal bukan keladi namanya.

    BalasPadam
  2. Tuan Haji Hashim,

    Kemumu ni bahasa jiran seberang kita, Tuan Haji. Keh ingat orang Lepih tak tahu.

    Memang kemumu@lambuk ni sedap, buat masak lemak cili api, campur dengan daging ayam kampung, campur buah belimbing buluh.

    Dulu keh dok ambik kemahang di tepi Sungai Lipis - selepas Batu Dua? (sebelah kubur ada rumah tokeh Taman Paris). La ni tak tahulah macam mana rupa tempat tu.

    Kalu Tuan Haji boleh bukak facebook, boleh tengok "perbincangan" keh dengan sahabat dari seberang tentang kemumu@lambuk.
    http://www.facebook.com/home.php?#!/photo.php?pid=271115&id=100000078138248

    BalasPadam
  3. SALAM IDRIS,

    Terima kasih singgah di blog saya. harap singgah lagi la ni saya bz skikit tak dapat nak update blog.

    BalasPadam
  4. W'salam Ayah Zain,

    Bussy tu maknanya ada kerja. Elok begitu.
    Terima kasih, sudi singgah tengok lambuk teman.

    BalasPadam