Isnin, 14 Disember 2009

Rakyat Indonesia paling ramai memohon kewarganegaraan Malaysia

Berita Sidang Parlimen

Courtesy: Utusan Malaysia Online.

KUALA LUMPUR 14 Dis. -
Seramai 11,770 rakyat asing mengemukakan permohonan status kerakyatan negara ini sejak 2005 hingga September lalu dengan jumlah paling ramai melibatkan rakyat Indonesia iaitu 3,405 orang.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Abu Seman Yusop berkata, ini diikuti warga Kemboja (1,115), Malaysia (855), China (501), India (494), Filipina (461), Thailand (392 ) dan negara lain (4,547).

Jelas beliau, permohonan taraf kewarganegaraan Malaysia dibuat berdasarkan peruntukan termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan di bawah perkara 15(1), 15(2), 15A, 16 dan Perkara 19(1).

"Tidak bermakna semuanya diluluskan dengan sewenang-wenangnya, sebaliknya pemohon perlu memenuhi pelbagai kriteria yang ditetapkan dan telah melalui banyak peringkat tapisan.

"Mereka yang benar-benar layak sahaja dianugerahkan taraf warganegara Malaysia," katanya.

Beliau menjawab soalan Datuk Mohd. Nasir Ibrahim Fikri (BN-Kuala Nerus) pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Kata Abu Seman, walaupun bilangan permohonan diterima agak tinggi, piagam pelanggan pihaknya menetapkan kes-kes diterima akan diselesaikan dalam tempoh tiga tahun.


"Bagi 2007, 1,547 permohonan akan diselesaikan pada 2010 manakala 2,878 permohonan pada 2008 akan diselesaikan pada tahun 2011.

"Sebanyak 4,885 permohonan pada 2009 akan diselesaikan pada 2012 dan permohonan pada tahun depan akan diselesaikan pada 2013," katanya.

Menurutnya, antara kriteria yang perlu dipenuhi adalah berkelakuan baik, tidak melanggar undang-undang negara, mempunyai pengetahuan memadai dalam bahasa Melayu dan menumpahkan taat setia kepada negara.

"Selain itu, kajian juga dijalankan kementerian untuk menentukan sama ada para pemohon mempunyai pertalian kekeluargaan atau akar umbi di negara ini sebelum sesuatu permohonan itu diputuskan," katanya.

Menjawab soalan tambahan Siti Zailah Mohd. Yusoff (Pas-Rantau Panjang), Abu Seman berkata, kerajaan memandang serius isu dua kewarganegaraan dan kerakyatan Malaysia mereka akan dibatalkan jika ada kes yang berjaya dikesan.

Courtesy: Utusan Malaysia Online.
Source:
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1215&pub=Utusan_Malaysia&sec=Parlimen&pg=pa_03.htm

Tiada ulasan:

Catat Ulasan