Selasa, 8 Disember 2009

Malaysia-Indonesia bersahabat

Courtesy: BERNAMA/Utusan Malaysia Online.

PADANG, Sumatera Barat 7 Dis. – Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim menyifatkan kunjungannya ke sini bagi menghadiri majlis pelantikan Gabenor Sumatera Barat yang baru menunjukkan Malaysia dan Indonesia sentiasa ingin berbaik sangka dan bersahabat.


Photo - Courtesy BERNAMA/Utusan Malaysia Online.



Beliau berkata, kedatangannya itu juga adalah dengan galakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang sentiasa inginkan sebuah persahabatan yang bukan sahaja formal tetapi tidak formal dengan pemimpin dan rakyat Indonesia.

“Perkara yang menjadi keutamaan ialah bagi masyarakat kedua-dua negara merasakan kita tiada halangan atau perkara yang menjadi hadangan kepada hubungan harmonis ini.

“Sedangkan mungkin ada pihak yang cuba keruhkan suasana tetapi nampaknya tidak berjaya kerana Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah pun merapatkan banyak hal yang membawa kepada kesatuan pemikiran dan kejituan kepentingan kebudayaan serta sosial kedua-dua masyarakat itu diletakkan pada tahap tertinggi,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menjadi tetamu sempena majlis pelantikan Marlis Rahman sebagai Gabenor Sumatera Barat menggantikan Gamawan Fauzi yang dilantik Menteri Dalam Negeri dalam kabinet Susilo. Rais diiringi isterinya, Datin Seri Masnah Rais.

Rais berkata, Malaysia sentiasa ingin menjalin persahabatan yang baik dengan Indonesia dan lawatannya ke sini telah mencapai matlamat ke arah tersebut.
“Kita bertuah dapat saksikan peristiwa bersejarah di Padang hari ini dalam konteks persahabatan antara Malaysia dan Indonesia.

“Dapatlah kita mendaftar bahawa keinginan kedua-dua negara untuk berbaik sangka dan bersahabat telah pun tercapai dan Malaysia akan terus mewujudkan satu rantaian dan Indonesia pun sedemikian,” katanya.

Rais berkata, pihaknya juga akan memastikan kedatangan sekumpulan wartawan Indonesia ke Kuala Lumpur esok akan dilayan dengan baik.

Beliau berkata, hubungan dengan kumpulan wartawan Indonesia itu akan menjadikan media di kedua-dua negara mempunyai nilai persahabatan yang mendalam dan tidak cetek mengenai sesuatu perkara.

Rais juga berkata, perkara-perkara berkaitan dengan penyelidikan adat atau kebudayaan akan terus dilakukan oleh kementerian dengan pihak berkuasa Sumatera Barat.

“Justeru kita akan berusaha untuk objektif tersebut dan dipupuk terus-menerus langkah-langkah harmonis, diplomasi dan menerusi budaya dalam tahun-tahun akan datang khususnya tahun depan,” katanya.

Courtesy: BERNAMA/Utusan Malaysia Online.

Source: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1208&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_08.htm



Tiada ulasan:

Catat Ulasan