TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Sabtu, 25 Januari 2014

Pemimpin mesti berani


Mukadimah.


WALAUPUN usianya akan menjangkau ke angka 92 tahun pada 28 Januari ini tapi PROF. DIRAJA UNGKU ABDUL AZIZ UNGKU ABDUL HAMID masih sihat bukan saja secara fizikal tetapi masih lagi berupaya menulis dan mengeluarkan idea-idea bernas. Kehidupannya kini juga lebih ceria dengan kehadiran isteri baharu di sisi yang dikahwininya hampir setahun lalu.

Beliau yang mesra dengan panggilan Pak Ungku bertemu jodoh dengan Rahaiah Baheran yang merupakan bekas Senator Parlimen selama dua penggal mulai tahun 1991.

“Saya sudah mengenali dia hampir 20 tahun. Kami berdua sudah solo. Mungkin inilah dikatakan jodohnya," kata Pak Ungku sambil tersenyum.


Dalam wawancara bersama wartawan Mingguan Malaysia, AZMAN ANUAR, MARHAINI KAMARUDDIN, RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH dan jurugambar, ZAINI HUSIN di kediamannya, Astana Damansara, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini, Pak Engku turut berkongsi pelbagai isu mengenai bahasa Melayu, perpaduan kaum dan ekonomi.

 Prof. DiRaja Ungku Abdul Aziz
 - Foto Mingguan Malaysia.

MINGGUAN: Apakah pandangan Pak Ungku tentang perpaduan negara sekarang?



UNGKU AZIZ: Bahasa ialah penyatuan bangsa. Kita ada bahasa Melayu yang boleh menyatukan semua bangsa di negara kita. Dalam hal ini, pemimpin memainkan peranan penting. Mereka harus jelas tentang peranan dan apa yang dipimpin. Jangan terlalu mengutamakan pangkat dan duit. Kita harus hidup bersederhana, barulah kita boleh melaksanakan segala yang dirancang demi perpaduan.


Apakah yang perlu kita lakukan untuk mempertahankan apa yang kita ada sekarang termasuk Perlembagaan negara?


UNGKU AZIZ: Apa yang kita ada sekarang menunjukkan bahawa sistem yang kita ada itu betul. Tetapi apa yang kita mahu ialah keadaan sekarang ini jadi semakin baik. Bagi saya, Perlembagaan tidak perlu dicuit. Apa yang sedia ada cukup baik untuk perpaduan dan masa depan negara.


Bagaimana Pak Ungku melihat perpaduan dan perpecahan dalam kalangan orang Melayu sekarang?


UNGKU AZIZ: Pada pandangan saya, perpecahan bukan sahaja berlaku antara Melayu dengan Melayu, ini termasuklah Melayu kota dengan Melayu luar kota. Melayu dalam UMNO dengan Melayu dalam Pas dan PKR. Antara orang Melayu yang muda dengan tua.

Hal ini sama kalau dibuat perbandingan dengan Arab Spring yang tak akan terjadi sebab orang Melayu sendiri banyak masalah yang tidak diatasi.


Bukan saya nak komen tapi dalam kalangan pemimpin Melayu, siapa tokoh yang boleh kita ikut. Tokoh itu mesti garang dan bersemangat.


Pada hari ini tak ramai pemimpin Melayu yang garang. Banyak pemimpin yang kompromi sana, kompromi sini - tiada pendirian yang teguh.


Pemimpin macam Winston Churchill, dia tak suka kompromi. Pemimpin macam dia berpendirian tetap dan berani. Soalnya siapa berani korbankan diri?


Kalau pemimpin itu tegas, kalau dia kata jangan buang sampah di tepi jalan, orang suka atau tidak dia tidak peduli. Itu pendiriannya.


Orang Melayu kita sejak beratus tahun lalu ada yang suka tikam dari belakang. Ini diajarkan oleh penjajah kepada orang Melayu dan diamalkan sampai sekarang.




Foto - Mingguan Malaysia.

Bagaimana Pak Ungku melihat isu kenaikan harga barang ketika ini?


UNGKU AZIZ: Harga barang naik kerana kuasa pasaran. Kita tidak boleh menghalang keadaan ini. Tetapi apa yang lebih penting ialah sikap orang Melayu berhadapan dengan situasi ini.


Orang Melayu merupakan golongan yang paling banyak berhutang. Mengikut statistik Bank Negara, ada yang memiliki 15 kad kredit dan mereka dibelenggu hutang.


Saya dilatih oleh arwah bapa saya supaya tidak berhutang sejak usia saya tujuh tahun lagi.


Saya masih ingat ketika saya berusia 17 tahun, saya mahu membeli kamera tetapi duit saya tidak cukup. Apa yang saya lakukan ialah menyimpan duit dan akhirnya saya berjaya membeli kamera tersebut. Malah kereta pertama yang saya beli tunai ialah kereta terpakai jenis Ford lama.


Saya juga telah melakukan penyelidikan sendiri untuk melihat dan memahami gaya hidup masyarakat Melayu yang tinggal di desa yang dibelenggu kemiskinan.


Saya lihat orang kampung akan menjual kambing, kerbau atau tanah mereka untuk menunaikan haji. Sekembalinya mereka dari sana, mereka tiada ternakan dan sumber rezeki lagi. Sebab itu, saya cetuskan idea penubuhan Lembaga Urusan dan Tabung Haji (LUTH).


LUTH sebenarnya membantu ekonomi orang Melayu untuk jangka masa yang panjang.



Bagaimana Pak Ungku melihat penggunaan bahasa Melayu sekarang?


UNGKU AZIZ: Bahasa rasmi negara ialah bahasa Melayu. Sayang sekali bahasa Melayu ketika ini dikira bahasa rojak. Seolah-olah tidak mempunyai keperibadian sendiri sama seperti budaya kita.


Ada perkataan bahasa Melayu yang ditokok tambah dan lebih menyedihkan apabila bahasa Inggeris dijadikan bahasa Melayu.


Saya tahu bahawa bahasa Inggeris sebagai bahasa kemajuan tidak dapat disangkal. Itu tidak bermakna masyarakat perlu mengabaikan penggunaan bahasa Melayu yang betul.


Saya tidak nafikan bahasa Cina (Mandarin) bakal menguasai global dalam masa 10 hingga 15 tahun akan datang.


Apakah yang perlu dilakukan bagi memastikan bahasa Melayu terus kekal sebagai bahasa kebangsaan? Ini kerana ada kaum yang langsung tidak mahu mempelajari bahasa Melayu.


UNGKU AZIZ: DI Amerika Syarikat kaum imigran berlumba-lumba belajar bahasa Inggeris untuk berkomunikasi atau mencari pekerjaan. Yang dimaksudkan dengan bahasa Inggeris ialah bahasa Inggeris Amerika.


Bukan bahasa Inggeris England. Para pelajar baik muda atau tua termasuk kanak-kanak meskipun yang sememangnya boleh berbahasa Inggeris (England) diadun dan dilentur supaya bertutur dan menulis dalam loghat bahasa Inggeris Amerika.


Berbagai kemudahan disediakan kerajaan dan pihak berkuasa tempatan, termasuk institusi-institusi pelajaran untuk orang dewasa.


Namun tidak ada kaum imigran yang protes. Tidak ada yang mendesak supaya bahasa etnik mereka diterima sebagai bahasa rasmi.


Sebaliknya rakyat Amerika amat bangga dengan bahasa Inggeris Amerika.


Keadaan berbeza dengan Malaysia, kita tidak ada kelas khas untuk mereka yang tidak tahu menggunakan bahasa Melayu.


Apa salahnya kita wujudkan kelas atau kursus bagi orang dewasa yang berumur 20-an ke atas khususnya orang luar yang mendapat status kewarganegaraan tetapi tidak tahu berbahasa Melayu. Kita juga boleh mengadakan kelas melalui internet dan lama-kelamaan bahasa Melayu akan terus kekal sebagai Bahasa Kebangsaan.


Kita mesti ada satu bahasa untuk semua orang sebagai simbol perpaduan.


Bagaimana Pak Ungku melihat peranan Dewan Bahasa Pustaka (DBP) dalam usaha mendaulatkan bahasa Melayu?


UNGKU AZIZ: Masalah paling utama ialah kita tiada penguasaan. Lama-kelamaan semangat cintakan bahasa Melayu akan hilang. Kita ada banyak rancangan tetapi pelaksanaan kurang. Itulah yang patut dilakukan oleh pihak berkuasa. Mereka harus melaksanakan kuasa, kalau tidak, semuanya akan terlepas.



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140126/re_01/Pemimpin-mesti-berani#ixzz2rTw0agu9



Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140126/re_01/Pemimpin-mesti-berani


Mingguan Malaysia 26 Januari 2014.




Khamis, 16 Januari 2014

Keistimewaan makanan tradisi Lenggong



Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my


LENGGONG 15 Jan. - Siapa sangka Lembah Lenggong yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) tahun lalu sebenarnya bukan sahaja mempunyai tapak arkeologi prasejarah, malah turut memiliki warisan masakannya yang tersendiri.

Lenggong yang terletak di Hulu Perak begitu sinonim dengan topografi Sungai Perak yang membawa kepada pembentukan tasik seperti Tasik Raban.


Ikan loma

Maka, tidak hairanlah sekiranya ikan air tawar seperti loma, tilan, baung, keli, kaloi, lampam, sepat, tengalan, puyu, belida, temoleh, kelah dan sebarau mudah didapati di sini.

Bahan aslinya seperti pucuk paku, keladi, ulam-ulaman serta pucuk-pucuk kayu seperti salang dan cemperai pula boleh dipetik pucuknya untuk dijadikan sayur.


Pada asasnya, warisan masakan Lenggong banyak dipengaruhi oleh penggunaan bahan-bahan tempatan daripada tumbuh-tumbuhan, hasil sungai serta hutan seperti rebung dan umbut rotan, yang boleh didapati di sekitar kampung.

Difahamkan, terdapat 25 jenis masakan asli warisan Lenggong yang diwarisi dan begitu dikenali dalam kalangan masyarakat di sini.

Antaranya termasuklah masak lemak pekasam loma, gulai daging Patani, gulai umbut pisang hutan, ikan pindang, pais ikan keramat, belotak, ikan sungai bakar cicah air kerabu, kerabu umbut rotan bakar, kerabu umbut tepus gajah dan rendang daging masak hitam.


Penulis berpeluang menghadiri Pesta Makanan Lenggong yang masuk kali kedua penganjurannya Pesta itu telah dirasmikan oleh Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abd Aziz .

Yang turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan Ahli Parlimen Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Shamsul Anuar Nasarah.

Kesempatan mengunjungi pesta itu orang ramai berpeluang mengenali dua jenis masakan warisan di sini yang dikenali sebagai kebebe dan cara memasak nasi di dalam buluh.

Nama kebebe cukup janggal sekali didengar, namun sebenarnya, menu berkenaan merupakan makanan tradisi masyarakat Patani di Lenggong atau mungkin lebih sesuai dikenali sebagai 'rojak'.

Seorang penduduk, Tayibah Ismail, 59, dari Kampung Teluk Batu berkata, makanan tradisional itu begitu mudah untuk dihasilkan kerana bahan-bahannya boleh didapati di tepi rumah mahupun kebun di sini.

Menurut Tayibah, bahan-bahan yang digunakan merangkumi cili padi, belacan, garam, gula, jantung pisang, putik nangka, buah nenas, cermai, belimbing, kelempong, cedong, dan jambu batu yang telah dipotong kecil.

"Caranya ialah kita masukkan cili padi, garam dan belacan di dalam lesung kayu dan ditumbuk sehingga lumat. Kemudian, masukkan bahan-bahan lain dan akhir sekali bubuh gula secukup rasa.

"Kebebe boleh dihidang dalam kelopak jantung atau daun pisang. Masukkan dalam polisterin pun tak mengapa kerana boleh dimakan pada bila-bila ketika bersantai," katanya.

Tayibah berkata, kebebe seringkali dibuat ketika terdapatnya majlis kenduri sewaktu penduduk kampung bergotong-royong menumbuk kerisik kerana penghasilannya boleh menghilangkan minyak yang terdapat di dalam lesung.

"Rasa kebebe ini semuanya ada. Ada rasa manis, masin, masam, kelat dan masin. Saya pun tak tahu kenapa dipanggil kebebe, namun, hidangan ini berkhasiat kerana kaya dengan vitamin C," katanya.

Sementara itu, seorang lagi penduduk Kampung Chain di sini, Ahmad Yusof Yahya, 48, pula memperkenalkan cara memasak nasi dalam buluh.

Ahmad Yusof yang juga seorang bekas tentera berkata, stail masakan itu sangat sesuai dipraktikkan sekiranya masuk ke dalam hutan kerana tidak perlu membawa sebarang peralatan memasak seperti periuk.

"Hanya perlukan beras dan mungkin sedikit garam. Setelah beras itu dibasuh dan dimasukkan ke dalam buluh dengan dibungkus daun lerek yang boleh didapati di lembah sungai di hutan. Saiz buluh berbeza-beza tetapi sebatang buluh itu mungkin boleh memuatkan dalam lima ke enam bungkus nasi dan dapat dimakan kira-kira 10 orang.

"Tempoh masaknya adalah dua jam, namun ikut juga kepada ketebalan buluh. Apa pun, yang penting, pastikan tiada kebocoran pada buluh ketika mengisi air," katanya.

Menurut Ahmad Yusof, perbezaan ketara antara nasi yang ditanak di dalam buluh berbanding periuk adalah dari segi keharuman baunya.

"Sebenarnya, masak tom yam pun boleh dibuat dalam buluh kerana sememangnya fungsinya sama seolah-olah sebagai sebuah periuk," katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Utara/20140116/wu_01/Keistimewaan-makanan-Lenggong#ixzz2qc4AjpW5
 

CLICK NOW

ANDA TETAMU BLOG SAYA

Tajuk Kegemaran