TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Jumaat, 25 Januari 2013

Prof Korea Mahu Popularkan Tulisan Jaw

Khamis Januari 17, 2013 


KUALA LUMPUR: "Saya akan pertahankan warisan bahasa Melayu dan tulisan jawi yang amat saya cintai ini hingga ke hembusan nafas saya yang terakhir," demikian tekad Prof Dr Kang Kyoung Seok, seorang profesor berbangsa Korea.

Itulah antara kata-kata terakhir beliau setelah menamatkan tugas sebagai Profesor Tamu di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, pada 3 Jan lepas dan akan pulang ke negaranya malam ini bagi meneruskan tugas sebagai Ketua Pengajian Malaysia di Busan University of Foreign Studies, Korea Selatan.

"Saya mahu pulang ke Korea Selatan kerana di sana sekarang bahasa dan budaya Malaysia semakin kurang dikenali berbanding tahun 80an dan 90an dulu, terutama di kalangan pelajar kami yang sedang belajar dan mengkaji budaya dan bahasa Melayu. "Pelajar mahu belajar dan kaji ini semua, tetapi kebanyakan mereka menyangka bahasa dan budaya Indonesia itu sama dengan Melayu, jadi mereka hanya belajar bahasa Indonesia. Ini perlu diperbetul, pelajar mesti belajar bahasa Melayu dan tulisan jawi jika mahu mendalami Malaysia," katanya.

Buku "Gaya Bahasa Sejarah Melayu" yang ditulis oleh
Prof Dr Kang Kyoung Seok


Kang berkata demikian dalam temu bual eksklusif dengan Bernama setelah menerima Anugerah Pakar Penyelidik Tulisan Jawi daripada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) disampaikan Ketua Pengarahnya Dr Awang Sariyan di sini, pada Khamis.

Pada Januari tahun lepas, Kang yang bertugas di UPSI sejak 2010, melahirkan kebimbangan bahawa tulisan jawi semakin dilupakan terutama dalam kalangan generasi muda di Malaysia.

Mengulas perkara itu, beliau berkata tindakan masyarakat Melayu yang meletakkan tulisan jawi eksklusif kepada perkara berunsur Islam perlu dihindari bagi memastikan tulisan itu sesuatu yang lebih universal.

"Tulisan ini perlu digunakan untuk berbagai perkara, antaranya sebagai satu daripada teks utama universiti yang membolehkan generasi baharu Malaysia mempelajarinya lebih mendalam," katanya.

Ditanya apa yang perlu dilakukan bagi mempopularkan kembali tulisan jawi di kalangan generasi muda Malaysia, Kang berkata inisiatif luar biasa seperti dilakukan penyanyi Korea Selatan, PSY yang mempopularkan budaya Korea melalui lagu 'Gangnam Style' boleh dilakukan. "Gangnam Style ini memang sesuatu yang luar biasa kerana mengambil kuda, iaitu sesuatu yang dilihat biasa di Korea dan jadikan sesuatu di luar kebiasaan. Di Malaysia juga ada kuda, saya percaya kita boleh lakukan sesuatu yang serupa," katanya.

Bercerita tentang kajian terbaharunya, Kang berkata beliau sedang mengusahakan teori 'Jawiology', sebuah teori yang mampu memperkenalkan tulisan jawi itu kepada masyarakat dunia.

"Melalui teori ini saya mahu menerangkan tentang perkembangan tulisan jawi daripada sebuah tulisan dalam Al-Quran disesuaikan menjadi tulisan yang melambangkan Melayu itu sendiri. Teori saya juga memastikan tulisan jawi mudah difahami dan dipelajari masyarakat bukan Melayu seluruh dunia," katanya.

Bercakap mengenai kajian tulisan jawi yang amat dekat dihatinya, Kang memberikan contoh kajian batu bersurat di Terengganu yang dilakukannya sejak pertengahan tahun 80an.

"Saya masih mengkaji tulisan pada batu bersurat itu. Sukar memastikan apa yang dimaksudkan kerana tulisan itu ada sedikit kerosakan seperti hilang titik yang membezakan huruf seperti 'ba' dan 'nun'. "Setakat ini tiada tafsiran yang benar-benar tepat, hanya agak-agak sahaja. Saya sendiri mahu lakukan kajian lebih dalam lagi," katanya. Mengakhiri temu bual, Kang melahirkan azamnya untuk menjadi jambatan penghubung di antara masyarakat Korea dengan Malaysia terutama bagi generasi muda melalui perkongsian bahasa dan budaya. "Saya mahu kita menjadi rakan karib. Orang muda Malaysia amat minat dengan budaya K-Pop Korea jadi saya juga mahu orang muda Korea minat bahasa dan budaya Malaysia," katanya.

Sementara itu, Awang berkata DBP akan meneruskan kerjasama dengan Kang bagi mengkaji lebih 200 manuskrip Melayu lama yang kini berada dalam simpanan dewan itu.

"Walaupun Kang kini jauh, kita akan tetap bekerjasama dengan beliau. Melalui beliau juga kita akan bertindak sebagai penghubung melakukan pelbagai program bersama dengan Busan University of Foreign Studies bagi memperkenal bahasa dan budaya Malaysia di Korea Selatan," katanya. -BERNAMA

Source: MStar




Rabu, 2 Januari 2013

Sepanjang Pertemuan Hadiah Sastera Perdana Malaysia

Penulis sempat beramah mesra dengan YAB Timbalan Perdana Menteri Malaysia,
Tan Sri Dato' Muhyiddin bin Haji Mohd Yassin dan Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka, Prof. Dato' Dr. Md Salleh bin Yaapar.
Foto ihsan Puan Lily Siti Multatuliana Sutan Iskandar

Antara tetamu yang hadir.

Bersama sahabat-sahabat termasuk Puan Lily Siti Multatuliana Sutan Iskandardari Melaka.

 Antara rakan lama, Sdr Zainal Abas.
Foto ihsan Puan Lily Siti Multatuliana Sutan Iskandar.

Pertemuan para penulis/penyair yang cukup bermakna.


CLICK NOW

Tajuk Kegemaran