TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Selasa, 31 Julai 2012

IPT dikritik gagal laksanakan fungsinya


Oleh Ruhaiza Rusmin, ruhaizarusmin@hmetro.com.my

 
SEDIKIT sebanyak, isu membabitkan mahasiswa pasti mengganggu minda masyarakat, apatah lagi kebangkitan golongan itu kebelakangan ini agak ketara.

Kebangkitan itu juga ibarat isyarat mahasiswa hari ini lebih mudah dipengaruhi atau terpengaruh dengan sesuatu isu berbentuk provokasi berbanding perkara rasional.

Sedangkan antara matlamat utama institusi pengajian tinggi (IPT) ialah membantu mentransformasikan minda serta diri mahasiswa menjadi lebih terbuka, peka, dinamik dan berwibawa.

Namun, usaha itu tampak sukar dengan mentaliti mahasiswa sukar diubah. Apakah peningkatan nilai ilmiah di kalangan mereka masih lagi di takuk lama?

Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Datuk Dr Sahol Hamid Abu Bakar berkata, proses itu berdepan halangan kerana mereka sendiri membuat batasan terhadap perubahan ingin dilakukan.

Beliau berkata, transformasi mudah jika dilaksanakan melalui kata-kata, sebaliknya perubahan bagi menganjakkan nilai pemikiran serta perbuatan adalah cabaran terbesar.

“Semua boleh melakukan transformasi melalui kata-kata, tapi hakikatnya mereka akan gagal jika melaksanakannya melalui perbuatan.

“Ini menunjukkan transformasi bukan mudah kerana berkait rapat dengan cara berfikir, kesedaran dan motivasi melakukan perubahan.

“Masalahnya, cara pemikiran mahasiswa kita tidak sama serta ada pelbagai definisi. Itu menyebabkan proses perubahan yang ingin dilaksanakan sukar dan bersimpang-siur,” katanya.

Pembabitan mahasiswa yang lebih menjurus kepada perlakuan negatif kebelakangan ini cukup membimbangkan masyarakat, apatah lagi mereka mengharapkan golongan itu sebagai ejen perubahan masa depan.

Kegusaran semakin bertambah apabila melihat mudahnya mereka dipergunakan dalam ‘memanaskan’ sesuatu isu hingga menimbulkan tanggapan kurang menyenangkan.

Apatah lagi pencapaian sebahagian besarnya yang kurang cemerlang dalam akademik menjadikan mereka sasaran mudah untuk disalahkan.

Natijahnya, IPT sebagai tempat naungan turut menerima kritikan dengan tanggapan gagal melaksanakan fungsi sebenar memberi pendidikan.

“Mahasiswa yang menggunakan nama IPT sebagai tempat untuk meluahkan rasa tidak puas hati dianggap sebagai tidak tahu berterima kasih. Biarpun ia bukan kesalahan institusi itu, tapi kerana perlakuan mahasiswanya, ia turut mendapat nama busuk.


 “Bagaimanapun, masyarakat jangan membuta tuli membuat tanggapan, perlu mengakui bukan mudah membantu generasi muda ini melakukan transformasi.

“Melaksanakan transformasi perlu lahir daripada hati yang ikhlas serta pemikiran matang. Belajarlah di institusi terbaik di dunia sekali pun, jika mahasiswa enggan berubah, segala usaha menjadi sia-sia,” katanya.

Usaha tranformasi perlu memberi penekanan kepada mahasiswa Melayu kerana mereka mudah terpengaruh dengan isu di luar kampus sehingga membawa masalah kepada IPT.

Menurutnya, mereka yang tidak bertanggungjawab sering mengintai peluang di kalangan mahasiswa kerana tahu golongan itu ‘mempunyai kuasa untuk bersuara’.

“Jangan menafikan bahawa mahasiswa antara jentera paling berpengaruh di dunia, justeru pihak berkepentingan peribadi suka mengambil kesempatan.

“Mereka tahu sejauh mana kemampuan mahasiswa ini. Sebab itu pentingnya mereka mempunyai pengukuhan jati diri dengan melakukan transformasi minda dan diri bagi mengelak diperdaya.

“Malangnya, bukan semuanya dalam kategori ‘bijak’. Ramai yang pandai tapi ada pandai memanipulasi atau mudah dimanipulasi hingga menjejaskan keseluruhan sistem sedia ada,” katanya.

“Transformasi adalah satu frasa perubahan dan menjadikan mereka lebih baik.
Jika tidak, frasa kehidupan akan mati.

“Transformasi juga boleh membantu menyelamatkan masa depan mereka daripada terus menjadi ‘hamba’ orang lain. Perubahan yang positif boleh melahirkan generasi terbilang,” katanya.

Beliau turut kesal kerana kebanyakannya sukar berubah hingga menyebabkan kualiti mahasiswa hari ini mudah dipersoalkan.

“Setiap IPT komited menjalankan tanggungjawabnya seperti menyediakan pensyarah
yang bagus dan kemudahan terbaik, namun berapa ramai yang nampak kelebihan ini?

“Betul mereka belajar tapi hanya ilmu yang sudah ada sedangkan banyak lagi boleh diterokai. Berapa ramai mahasiswa yang suka membuka mulut di dalam kuliah? Berapa ramai sanggup mengejar pensyarah hanya kerana ingin bertanyakan soalan?

“Saya percaya senario ini sama seperti 20 tahun dulu. Kebanyakannya pasif menjadikan institusi ‘terpaksa’ melahirkan mahasiswa bertaraf sederhana,” katanya.

Bagaimanapun, jika ada kemahuan, mahasiswa pasti mampu melonjakkan keupayaan dan meletakkan kemampuan pada tahap membanggakan.

“Bukankah universiti adalah gedung ilmu, mengapa tidak menggunakan peluang ini sebaiknya tanpa perlu ‘menambah’ perencah yang boleh memusnahkan diri sendiri?

“Malangnya kebanyakan mahasiswa lebih teruja ke arah itu, sekali gus terus meninggalkan persepsi serta pandangan skeptikal yang tidak berubah kepada masyarakat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/30.

Khairul Anuar wakil tunggal negara

Foto - ihsan Utusan Malaysia.

LONDON - Perjalanan ke penghujung saingan masih jauh tetapi bagi pemanah negara Khairul Anuar Mohamad ada sedikit keyakinan yang semakin menebal dalam dirinya selepas menjadi satu-satunya wakil negara dalam acara itu mara ke pusingan ketiga selepas melepasi dua ranjau Olimpik yang cukup mendebarkan dalam acara recurve individu di lapangan Lord's Cricket Ground di sini, semalam.

Selepas menewaskan rakan senegara, Cheng Chu Sian dengan kiraan set point 6-4 meskipun keadaan genting pada dua panahan terakhir. Chu Sian mencatat 26 untuk tiga panahan pertama dan seterusnya 28, 27, 27, 29 untuk mengumpul 137 mata manakala Khairul bermula agak baik untuk mencatat 29, 27, 25, 29, 30 sekali gus mengesahkan tempat ke pusingan kedua berbekalkan 140 mata terkumpul.

Khairul yang masih segar dengan kemenangan awal meneruskan rentak cemerlang untuk menewaskan pemanah China yang menduduki ranking ke-13 dunia, Xiang Yu 6-5 menerusi set penentuan selepas kedua-duanya terikat 4-4 selepas menyempurnakan lima pusingan wajib.

Kedua-duanya berkongsi sembilan mata tetapi Khairul diisytiharkan pemenang selepas anak panahnya lebih dekat dengan garisan lubang 10.

Khairul yang ditemui selepas itu berkata, dia sebenarnya berasa gugup ketika mula menentang Chu Sian sebab masing-masing mahu mencari kemenangan untuk mara ke peringkat seterusnya.

''Saya hormat pada Chu Sian tetapi pada masa yang sama saya tidak boleh memberikan dia kemenangan mudah. Saya bermain seperti biasa dan tidak mahu terlalu mahukan anak panah tepat ke dalam gelung 10. Saya hanya mahu bertahan dan mendapatkan markah purata.

''Selepas berjaya menewaskan Chu Sian, saya mendapat keyakinan untuk menewaskan pemain China walaupun menyedari di kelilingi ramai penyokong lawan. Selepas ini saya mahu melakukan yang terbaik dan kekal fokus," katanya.

Khairul selepas ini akan bertarung dengan pemanah tuan rumah berpengalaman dalam dua Sukan Olimpik, Larry Godfrey yang menduduki No. 4 dalam saingan kedudukan ranking, Jumaat lalu.

Sementara itu, jurulatih memanah negara, Lee Jae Hyung berkata, beliau melihat Chu Sian dan Khairul memiliki kemampuan yang sama tetapi nasib Khairul lebih baik berbanding rakan sepasukannya yang agak gementar semasa ketika bertarung pada pusingan pertama.

''Khairul nampak OK tapi Chu Sian ada menggigil, namun saya lihat kemampuan mereka hampir sama," katanya. – UTUSAN

Berbuka Puasa di Rehat dan Rawat Bukit Gantang


إدريس تالو
Idris Talu

 Gerai @ Warung Makanan di kawasan Rehat dan Rawat Bukit Gantang.

Selepas berbuka - licin pinggannya.

Waktu iftar (berbuka puasa Ramadhan) di Taiping pada hari ini  ialah jam 7:36 petang. Kami tiba di kawasan Rehat dan Rawat Bukit Gantang sekitar jam 7:37 petang – terlewat satu minit.

Anak-anak serta cucu-cucu penulis terus memasuki gerai makanan yang memang dibuka 24 jam setiap hari itu. Kami pun berbuka puasalah di situ dengan ala qadarnya sahaja.

Selepas berbuka puasa, kami beredar ke surau di dalam kawasan Rehat dan Rawat juga. Suraunya amat bersih cuma agak gelap – tidak cukup cahaya lampu. 

Mungkin selepas ini pihak PLUS (Projek Lebuhraya Utara Selatan) yang bertanggungjawab menguruskan tempat ini boleh membuat sedikit perubahan untuk keselesaan pengguna lebuhraya beribadah di surau ini.

Antara gerai yang menjual buah-buahan di  Rehat dan Rawat  Bukit Gantang ini.

Enam rengget? Tanya sahabat saya.
Faham-faham sajalah orang mana itu.

 Durian Bukit Gantang - buahnya besar, sebesar gantang.


Selepas menunaikan shalat, kami berehat sebentar di pondok-pondok atau disebut juga sebagai wakaf-wakaf, untuk meluruskan kaki dan tangan setelah lama berada dalam kenderaan dalam perjalanan dari Utara tadi.

Kawasan Rehat dan Rawat  Bukit Gantang agak luas – lengkap dengan gerai makanan dan minuman, gerai menjual buah-buahan, bilik air dan tandas (toilet) yang agak lapang. 

Kawasan letak keretanya agak luas – dibahagi kepada dua bahagian  - untuk kenderaan ringan dan berat.

 Mempelam atau mangga cokanan - kurang pasti lokal atau import.

Buah Dokong sekitar RM6.00 sekilogram.

Di sini juga terdapat tempat untuk mandi dan pondok-pondok untuk para pengguna lebuhraya berehat. Paip-paip air bersih juga disediakan.

 Perfume bilik mandi yang terkenal.

Buah-buahan yang siap dipotong juga ada dijual di sini.

Suasana di kawasan Rehat dan Rawat Bukit Gantang di waktu malam.


Gerai atau warung yang berjual aneka jenis buah.

Stesen petrol dengan kemudahan membeli-belah barangan keperluan di lebuhraya juga tersedia di kedua-dua belah lebuhraya.

Akhirnya sekitar jam 9:00 lebih, kami pun bertolak ke Ipoh.


Majikan dinasihat periksa ijazah pekerja


Mutakhir

17:19:12 PM

PETALING JAYA: Majikan dinasihat membuat pemeriksaan terhadap latar belakang bakal pekerja mereka bagi mengelak daripada mengambil kerja mereka yang memiliki ijazah palsu.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Hou Kok Chung, menegaskan terdapat laporan mengenai kes penjualan ijazah palsu termasuk yang dikeluarkan oleh universiti asing yang tidak wujud serta ijazah palsu yang kononnya dikeluarkan oleh universiti tempatan.

"Saya nasihatkan majikan supaya melakukan pemeriksaan terhadap latar belakang pekerja jika mempunyai alasan kukuh yang mereka mungkin memiliki ijazah palsu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri satu majlis di Bandar Sunway di sini hari ini.

Sementara itu, Timbalan Pendaftar Unit Perhubungan Awam Universiti Sains Malaysia (USM), Mohamad Abdullah, berkata universiti itu sentiasa menjalin hubungan baik dengan majikan.

"Terdapat majikan yang menghubungi kami untuk mendapatkan maklumat mengenai bakal pekerja mereka tetapi kebanyakannya ialah syarikat Singapura. Syarikat tempatan ada berbuat demikian tetapi tidak banyak," katanya.

Katanya, majikan boleh menghubunginya di talian 04-6532193 atau menerusi e-mel di pro@usm.my untuk bertanyakan mengenai ketulenan ijazah yang dikeluarkan oleh universiti.

Mohamad berkata, proses pengesahan akan mengambil masa kurang seminggu. – BERNAMA


Surau Rehat dan Rawat Gunung Semanggol Selatan


إدريس تالو
Idris Talu
Surau Rehat dan Rawat  Gunung Semanggol Selatan
 
 
Dalam perjalanan pulang dari Utara, penulis dan keluarga singgah untuk shalat di surau di kawasan Rehat dan Rawat Gunung Semanggol arah Selatan.

Semasa mengambil wudhuk di surau tersebut, terasa segar sedikit badan yang kepenatan di waktu petang dalam bulan Ramadhan yang panas membahang. 

Seorang cucu, Deqna yang baru berumur empat tahun lebih sedikit,  nampak benar keletihan kerana mengikuti perjalanan yang agak jauh itu tetapi apabila dicadangkan supaya dia berbuka puasa, dia tetap menggelengkan kepalanya, tanda mahu meneruskan  puasanya.

 
Surau di R dan R ini seperti juga surau-surau lain, amat bersih dan menyejukkan mata memandangnya. Selepas berwudhuk, penulis dan keluarga menjalankan suruhan Allah Taala di surau yang nyaman ini.

 Ruang shalat surau R dan R Gunung Semanggol arah Selatan.


Halaman di tepi surau.

Berehat di R dan R Gunung Semanggol arah Selatan.

Selepas berehat sebentar, kami pun bertolak ke Selatan. Insya Allah akan berbuka puasa di mana-mana R dan R yang akan dilalui lagi.


Ahad, 29 Julai 2012

Peniaga tepi jalan masih trauma


Wartawan Sinar Harian
30 Julai 2012 

RANTAU PANJANG - Rakan kepada peniaga yang maut dirempuh lori ketika berniaga di laluan Rantau Panjang-Pasir Mas dekat Gual Tinggi Jumaat lalu, masih trauma.

Rata-rata masih teringat kejadian menimpa Allahyarham Nik Mariam Nik Ya, 52, yang sama-sama berniaga sejak 10 tahun lalu.

Kejadian kali pertama sejak mereka berniaga di situ lebih 10 tahun lalu sememangnya tidak diduga.

Peniaga dikenali sebagai Sabariah, 58, berkata, dia masih terkejut dengan kemalangan menimpa Allahyarham.

Menurutnya selepas kejadian, matanya lebih tertumpu ke arah jalan kerana takut peristiwa sama berulang.

“Kalau ikutkan hati memang saya takut untuk berniaga lagi.

“Jika tidak berniaga, buah akan rosak, bagi mengelaknya, saya terpaksa berniaga,” katanya.

Sabariah berkata, dia kerap terkejut bila terdengar bunyi kuat datang dari arah jalan.

Rakannya dikenali Kak Dah, 49, berkata, dia masih trauma dan takut selepas kemalangan meragut nyawa rakannya.

Menurutnya, dia takut melihat kenderaan dipandu laju dan kemalangan tengah hari Jumaat itu benar-benar meninggalkan kesan padanya.

“Bila tengok atau dengar kenderaan dipandu laju, saya kerap terkejut,” katanya semalam.

Tinjauan Sinar Harian di tempat kejadian mendapati, keluarga Allahyarham masih belum berniaga.

Jumaat lalu, mangsa yang berniaga buah di Gual Tinggi mati di tempat kejadian setelah terlibat kemalangan dengan sebuah lori muatan tanah biji besi.

Pemandu lori berkenaan pula hanya mengalami cedera ringan.

CLICK NOW

ANDA TETAMU BLOG SAYA

Tajuk Kegemaran