TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Isnin, 28 Februari 2011

Rabu, 23 Februari 2011

Di Mana Serinya Serikaya

Sumber: Petikan dari akhbar Mingguan Malaysia
Bertarikh 6 hb Oktober 1974

Penulis rencana dan gambar: Puan Azah Aziz
Pantun-pantun: Allahyarham Dr Ishak Haji Mohammad (Pak Sako).



SERIKAYA – namanya ‘berseri’ – adalah suatu manisan yang digemari ramai di Malaysia.

Kuih yang sedap ini dibuat dengan empat jenis ramuan sahaja iaitu telur, gula Melaka, santan kelapa dan pewanginya, daun pandan.

Ramuan-ramuan itu dicampur, diramas, ditapis, dan kemudiannya dikukus hingga menjadi beku – itulah Serikaya.

Sebagaimana yang boleh dilihat dalam gambar-gambar yang tertera di halaman ini, adunan Serikaya itu boleh dikukus dalam sebuah labu, dalam sebuah kelapa muda, atau dalam mangkuk, samada mangkuk kecil seperti yang kelihatan dalam gambar, ataupun sebuah mangkuk besar yang tahan panas.


Untuk menambahkan variasi kepada manisan Serikaya, boleh dibubuh pula berbagai jenis ramuan lain seperti durian, nangka, nenas, jagung, atau keledek.

Menambahkan salah satu ramuan tersebut akan membawa rasa dan bau yang berbeza pula pada Serikaya.

Selain dihidangkan sebagai manisan, Serikaya juga biasa dihidangkan dengan pulut kukus. Ertinya, Serikaya itu menjadi pemanis pulut kukus yang lemak.

Suatu lagi kegunaan Serikaya ialah sebagai lapisan atas sejenis kuih Melayu asli yang diberi nama ‘Serimuka’.

Kuih ini dibuat dari pulut kukus yang ditetal di dalam Loyang, kemudian dituangkan Serikaya di atasnya.

Pulut berlapis Serikaya di atasnya itu dikukus hingga beku Serikayanya. Demikianlah datangnya nama ‘Serimuka’.

Selain dari orang Melayu, kaum Cina di Malaysia juga gemar memakan Serikaya, apa lagi di kalangan kaum Nyonya dan Baba. Serikaya itu dihidangkan sebagai manisan atau untuk disapukan kepada roti seperti jem.

Malah serikaya jenis ini – yang diberi nama ringkas ‘kaya’ saja – dijual dalam tin dan boleh dibeli di kedai-kedai ransom. Roti bersapu kaya pula boleh didapati di kedai-kedai kopi.

Agak sukar sukar hendak menetapkan dari negeri mana kuih Serikaya ini berasal kerana ia terdapat di beberapa buah negeri Asia dan Asia Tenggara, istimewanya di negeri Thai dan Indonesia.


Kuih ini amat terkenal dan digemari ramai di negeri Thai. Namanya dalam bahasa Thai berbunyi seakan-akan namanya dalam bahasa Malaysia.

Orang Thai menamakan kuih ini ‘Sangkaya’ ataupun meringkaskannya kepada ‘kaya’ saja.

Orang Thai menghidangkan Serikaya seperti kita di Malaysia. Ianya dimakan dengan pulut yang telah dikukus dengan santan, atau pun Serikaya itu dikukus dalam labu, kelapa muda atau pun mangkuk.

Kalau pembaca budiman dan budiwati ingin menjamu selera – salah satu indera dari pancaindera – silalah cuba membuat manisan yang lazat ini.

Hanya setelah merasanya baru boleh diketahui: dimana serinya Serikaya!

@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@

CARA MEMBUAT SERIKAYA:

Serikaya menggunakan empat jenis ramuan saja dan kesemuanya adalah bahan-bahan tempatan: santan kelapa, gula Melaka, telur dan daun pandan.

Untuk pembaca budiman dan budiwati yang ingin mencuba manisan lazat yang berseri ini, silalah ikuti resepinya seperti berikut:

Sukatan ramuan-ramuannya ialah:

- tujuh atau lapan butir telur ayam
- dua mangkuk-sukatan santan kelapa dari sebutir kelapa yang sedang
- lebihkurang semangkuk-sukatan gula Melaka yang telah dihiris, dan
- tiga helai daun pandan.

(Catatan: ‘mangkuk-sukatan’ yang digunakan dalam resepi ini ialah ‘measuring cup’ yang bersamaan dengan tin susu pekat manis.)

Cara membuatnya : Siatkan daun pandan memanjang, kemudian simpulkan.

Pecahkan telur ke dalam sebuah mangkuk besar, dan masukkan gula Melaka dan daun pandan. Ramas dengan tangan sehingga gula Melaka menjadi hancur dan bercampur rata dengan telur. Daun pandan hendaklah diramas bersama supaya keluar bau manginya.

Sekarang tuangkan santan dan kacau hinggá semuanya bercampur rata. Tapis dengan penapis santan.


Jerangkan mangkuk-mangkuk kecil (atau sebuah mangkuk kaca besar yang tahan panas) dalam tempat pengukus. Bila mangkuk-mangkuk itu telah panas, kacau adunan Serikaya tadi dan tuangkan ke dalam mangkuk-mangkuk itu.

Kukus dengan api yang sederhana hinggá Serikaya menjadi beku. Untuk mengetahui samada Serikaya itu sudah elok masaknya atau tidak, cucuk bahagian tengahnya dengan sebilah pisau. Kalau pisau itu kelihatan bersih bila dikeluarkan, bermakna Serikaya itu sudah masak. Tetapi kalau pisau itu basah dengan santan, kukuslah sebentar lagi, hinggá masak betul.



CARA MEMBUAT SERIKAYA LABU:

Cari sebutir labu yang bulat, cantik kulitnya dan leper sedikit pada bahagian bawahnya supaya ia boleh duduk dengan tegak.

Potong bahagian atas labu itu dalam bentuk siku keluang, kemudian cabut bahagian atasnya. Gunakan pisau kecil yang nipis mata pisaunya untuk memotong labu itu.


Kokot dan buang urat-urat serta biji-biji di dalam labu tersebut dengan menggunakan senduk.

Letakkan labu itu dalam pinggan atau bekas lain yang sesuai, kemudian letakkan di dalam tempat pengukus dan kukus dengan api yang sederhana. Bila labu itu mulai panas, tuangkan adunan Serikaya ke dalamnya.

Kalau menggunakan labu besar, tambahlah sukatan Serikayanya. Kalau labu itu nipis isinya, untuk memelihara supaya bekas labu itu tidak retak atau pecah ketika dikukus, suatu ikhtiar ialah mengikat di sekeliling labu itu dengan sekeping kain putih panjang selebar tiga inci (seperti kain bendej).

Serikaya labu perlu dikukus agak lama, Kira-kira dua jam atau lebih, kalau kita menggunakan labu yang besar. Oleh itu pada waktu mengukusnya, tambahkan airnya dengan menggunakan air panas. Jangan biarkan air dalam periuk pengukus menjadi kering.

Seperkara lagi yang patut diingatkan, bila adunan Serikaya yang masih cair di dalam labu menjadi panas, kacaulah supaya ianya tidak mendak dan berlapis-lapis bila masak nanti kerana jika tidak dikacau begitu, lemak santannya akan berkumpul naik ke atas.



SERIKAYA KELAPA MUDA:


Cari sebutir kelapa muda yang agak besar, buangkan sabutnya, kemudian potong bahagian atasnya dengan gergaji, dan buangkan airnya.

Masukkan kelapa ini di dalam tempat pengukus, dan bila menjadi panas, tuangkan adunan Serikaya yang telah disiapkan terlebih dahulu.

Kukuslah seperti mengukus Serikaya labu, dengan mengacaunya bila sudah mula panas.


@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@

Isnin, 21 Februari 2011

Iktibar kebangkitan rakyat Mesir

2011/02/20

Kemelut sosio-ekonomi, rasuah bagai ‘api dalam sekam’ punca kejatuhan Mubarak


SELEPAS berakhirnya kepemimpinan 30 tahun Presiden Hosni Mubarak, masa depan Mesir sebenarnya masih kabur dan keadaan belum reda sepenuhnya. Boleh dikatakan setiap hari demonstrasi kecil-kecilan diadakan di seluruh Mesir meskipun tentera sebelum mengambil alih pentadbiran buat sementara waktu sehingga pilihan raya September depan.

Apa pun, sebelum ini tumbangnya Presiden Tunisia, Zine al-Abidine Ben Ali ibarat sepotong api dicampakkan ke dalam sekam gandum bernama Mesir yang menyimpan api dalam diam.
Kekecewaan dan kemarahan rakyat Mesir boleh dianalogikan sebagai ‘api dalam sekam’ yang menjalar di kalangan masyarakat bawahan dan generasi muda serta tidak dapat dihidu oleh kerajaan pimpinan Mubarak.
Ia timbul kesan daripada kemiskinan dan kenaikan harga barang yang memburukkan lagi jurang perbezaan antara kelas, rasuah dan kekayaan peribadi yang berlegar di kalangan golongan atasan dan pengangguran di kalangan generasi muda.

Dalam senarai Indeks Persepsi Rasuah, Transparency International 2010, Mesir berada pada tangga ke-98, manakala kadar celik huruf pula rendah, iaitu 66 peratus menjadikannya sebagai negara terendah di Asia Barat selepas Yaman. Umur purata rakyat Mesir ialah 25 tahun tetapi pengangguran adalah masalah utama belia kerana kira-kira 43 peratus daripada mereka tidak mempunyai pekerjaan

Kemelut politik, sosial dan ekonomi inilah kemudian meletuskan kemarahan rakyat Mesir sehingga mereka tidak lagi dapat membendungnya daripada melimpah ke Dataran Tahrir, Kaherah pada 25 Januari lalu.

Puluhan ribu rakyat Mesir yang rata-ratanya generasi muda, menunjuk perasaan bermatlamat bagi mendesak Mubarak meletak jawatan yang membawa kepada Yaumul Ghadhab atau Hari Kemarahan pada Jumaat, iaitu 28 Januari.
Penunjuk perasaan bukan saja terpaksa berdepan dengan tindakan polis untuk menyuraikan mereka dengan peluru getah dan pancutan air, bahkan menghadapi kelompok pro-Mubarak sehingga tercetusnya pertempuran.

Pada 4 Februari pula, penunjuk perasaan mengadakan Yaum ar-Rahil atau Hari Pengunduran selepas mereka membina khemah dan mewujudkan sekatan di Dataran Tahrir tetapi Mubarak tetap berdegil dan enggan melepaskan jawatan.

Tunjuk perasaan bukan hanya terhad di sekitar Dataran Tahrir, bahkan merebak di bandar lain seperti Iskandariah, Mansurah dan Suez.

Kerajaan Mesir pada awalnya menganggap kebangkitan rakyat dapat dipadamkan dengan menggunakan instrumen dan modus operandi sedia ada termasuk menyekat capaian internet dengan harapan memutuskan hubungan penunjuk perasaan dengan masyarakat dan dunia luar.

Hal ini diakui pengeksport papyrus yang beribu pejabat di Tahrir, Omar Hashim, yang berkata kerajaan memandang rendah keupayaan gerakan pemuda apabila menganggap ia mudah dipatahkan.

“Bagaimanapun, penunjuk perasaan membuktikan iltizam mereka untuk tidak berganjak dari Dataran Tahrir sehingga tuntutan mereka ditunaikan. Rakyat sendiri dapat saksikan Mubarak yang memberikan kenyataan pada malam sebelum Yaum ar-Rahil kedua apabila beliau tidak banyak memandang kamera, sekali gus menunjukkan tanda kekalahan,” katanya.

Namun, peletakan jawatan Mubarak tidak berlaku sehinggalah jutaan rakyat Mesir turun ke Dataran Tahrir dan Istana Presiden di Kaherah, selain bandar utama di seluruh Mesir termasuk Iskandariah, Mansurah, Suez, Damanhur dan Ismailiyah.

Pengumuman peletakan jawatan Mubarak itu dibuat oleh Timbalan Presiden, Omar Suleiman, mengelakkan keadaan tunjuk perasaan menjadi lebih buruk apabila rakyat Mesir seolah-olah mengambil sikap membujur lalu, melintang patah.

Peletakan jawatan Mubarak bererti kuasa diserahkan sepenuhnya kepada Majlis Tertinggi Angkatan Bersenjata di bawah kepemimpinan Muhammad Hussein Tantawi.
Sepanjang tunjuk perasaan, tentera mengawal keadaan tanpa mengambil tindakan yang terlalu memperlihatkan mereka berada di pihak mana.

Tidak hairanlah apabila berita peletakan jawatan itu disiarkan di televisyen, ada di kalangan tentera yang turut menyambutnya.

Malah, tentera juga lebih mesra pasca kejatuhan Mubarak apabila orang ramai mengunjungi Dataran Tahrir untuk meraikan ‘Mesir Baru’, sekali gus mengambil peluang untuk bergambar dengan tentera termasuk berlatarbelakangkan kereta kebal dan kereta perisai.

Tentera sebenarnya mempunyai kedudukan istimewa di sisi rakyat Mesir khususnya kejayaan mereka merampas kembali Semenanjung Sinai daripada Israel dalam Perang Oktober pada 1973.

Bagaimanapun, kedudukan istimewa tentera dalam sejarah dan sosio-politik tempatan itu tidak bermakna orang ramai khususnya mereka yang terbabit dalam tunjuk perasaan, mudah menerima situasi tentera yang berkuasa penuh.

Justeru, tidak hairanlah pemimpin muda di kalangan penunjuk perasaan membuat pertemuan dengan kepemimpinan tentera untuk menentukan sebahagian tuntutan berkaitan dengan revolusi. Rakyat masih kabur dengan masa depan Mesir walaupun mereka mengharapkan keadaan lebih baik, maju dan pengagihan kekayaan yang seimbang.

Pada masa sama, kejayaan ‘revolusi rakyat’ itu turut membuka pintu baru kepada masyarakat Mesir untuk mengadakan demonstrasi kecil-kecilan bagi mendesak kerajaan atau syarikat mendengar suara mereka serta memenuhi tuntutan yang dikeluarkan.

Boleh dikatakan setiap hari demonstrasi kecil-kecilan itu diadakan di seluruh Mesir yang sebenarnya menambahkan kekaburan terhadap masa depan Mesir.

Kini, rakyat Mesir kembali kepada kehidupan normal mereka tetapi berbekalkan semangat baru selepas menjatuhkan pemimpin yang memerintah tiga dekad dan semangat itu bergantung kepada komitmen dan istiqamah mereka untuk melakukan perubahan.

Source: Berita Minggu Malaysia Online.

Open University Malaysia

Makanan tidak dimasak secara gotong-royong

Teks dan gambar Kusyi Hirdan



TERUSKAN TRADISI...cucu Maznah antara yang meneruskan tradisi neneknya.

SETIAP tahun, Maulidur Rasul sentiasa dinanti terutama warga Kampung Kuala Sungai Baru, Melaka. Setiap tahun juga meja kecil ala Jepun yang berkaki pendek kembali popular.

Ini kerana di atas meja itu disusun pelbagai jenis makanan, lauk-pauk berwarna-warni dan enak rasanya. Mungkin mencecah lebih 30 jenis makanan bagi setiap meja. Hidangan disusun cantik bagai meraikan pengantin dan semua makanan itu akan dihantar secara kandar ke masjid Al-Hasaniah yang berdekatan laut membiru.

Bukan pengantin yang dirai kerana tiada siapa yang berkahwin waktu itu. Mereka yang dirai adalah jemaah masjid yang sama-sama menyambut Maulidur Rasul manakala jemaah pula makan hidangan yang dikandar itu bersama-sama.

SELESAI...Saliam selesai menyusun juadah.

PUAS HATI...Yusuf menyusun hidangan yang disediakan keluarga dan jirannya.

SEDAPNYA...jamu selera bersama-sama.


Unik. Itulah tradisi Kampung Kuala Sungai Baru yang masih dikekalkan sehingga kini.

Seingat ibu lima anak, Saliam Mahat, 76, Maulud Nabi sebegitu sudah disambut sejak zaman emak dan neneknya.

"Memang sejak dulu lagi masjid kami tidak mahu cara memasak gotong-royong diadakan sempena maulud nabi, tetapi ia perlu dimasak sendiri oleh orang kampung di rumah mereka, kemudian dihantar ke masjid," kata Saliam.


Cara begini memang bagus kerana setiap masyarakat kampung bergabung menghantar makanan ke masjid dan menunya pelbagai membuatkan semua orang dapat merasa air tangan orang kampung yang hebat memasak. Cara ini juga dapat mengeratkan silaturahim.

"Dahulu jumlah meja lebih banyak yang dihantar ke masjid dan membabitkan seluruh kampung, membuatkan ruang dalam masjid penuh dengan meja hidangan, tetapi sekarang jumlahnya semakin berkurangan.

"Kebanyakan orang tua yang meneruskan budaya ini pun tidak ada," kata Saliam yang sibuk menyusun pinggan di atas mejanya.

Setiap tahun sepanjang umurnya, Saliam tidak pernah ketinggalan turut serta dalam budaya murni ini kerana ia hari yang paling dinantinya setiap tahun. Selalunya lauk-pauk yang dihantar keluarga Saliam melebihi 30 jenis. Ada pelbagai lauk seperti ikan, ayam, udang, sotong dan ketam dengan pelbagai cara masakan.

"Jika tidak muat meja kami menyusunnya berlapis-lapis supaya ia muat. Kemudian, setelah semuanya selesai dan setiap satu dihias cantik baharu dihantar ke masjid," katanya.

Saliam dan keluarganya sudah memasak juadah sejak jam 7 pagi. Ada juga jiran tetangga yang turut menumpang lauk-pauk mereka di atas meja Saliam. Kerjasama sesama jiran tetangga terjalin erat.

"Nanti ada sambutan maulud di surau dan ketika itu kami menghantar mangkuk tingkat pula," katanya.

Mengakui kemeriahan sekarang semakin berkurangan kerana kurangnya orang kampung yang turut serta tetapi semangat Saliam tidak pernah berkurang. Malah saban tahun, dia sentiasa setia menjadi antara penyumbang yang memeriahkan sambutan maulud nabi. Hatinya masih terkenang kemeriahan dahulu kala apabila setiap orang yang menghantar juadah turut menyediakan bunga telur.

"Setiap tahun suasana maulud nabi ini yang paling menyeronokkan kami sekeluarga dan tidak sabar menunggu tarikhnya untuk menyambut bersama-sama begini. Anak lelaki saya dan isterinya awal-awal lagi membeli bahan untuk kami memasak," katanya.

Anak lelaki Saliam, Hasni Jalaluddin, 42, dan isterinya Melly Maria Abu Bakar, 28, turut sibuk membantu ibu mereka menyusun hidangan di atas meja. Biar ia kemas dan mudah dikandar ke masjid.

Hasni juga berasakan suasana sambutan maulud di kampung itu sebahagian daripada pengalaman hidupnya kerana sejak dia kecil lagi ia sudah disambut sedemikian dan dia tidak mahu ketinggalan untuk menyertainya.

Tentu saja tidak ramai yang berkongsi rasa sentimental ini sebagaimana Hasni kerana orang muda sepertinya ramai yang sudah berhijrah ke tempat lain. Mungkin ada juga yang semakin lupa pada tradisi unik ini.

Sebagaimana Saliam, Maznah Osman, 71, juga setiap tahun bertungkus-lumus bersama keluarga dan jiran terdekat memenuhkan meja mereka untuk dihantar ke masjid pada maulud nabi.

"Tahun ini kami sediakan 24 juadah semuanya yang istimewa untuk dijamu pada jemaah yang hadir ke masjid," cerita Maznah sambil menambah, jam 6 pagi lagi mereka sudah mula memasak.

"Setiap tahun saya mesti turut serta bersama keluarga. Ini yang saya mahu buat selagi hayat dikandung badan dan saya sudah memesan kepada anak supaya meneruskan tradisi sedekah ini walaupun saya sudah tiada kelak. Dulu arwah emak saya pun berpesan begini kepada saya begitu juga nenek saya," kata ibu kepada dua anak ini.

Budaya turun temurun ini sangat berbekas pada keluarga Maznah membuatkan mereka begitu teruja menyediakannya setiap kali sambutan.

Bagi Maznah, sukar menggambarkan kepuasan yang dirasanya dapat menyumbang juadah pada maulud nabi setiap tahun.

"Saya seronok sangat kerana ini tradisi kampung ini sejak sekian lama. Anak dan cucu pun suka dan mereka balik untuk sama-sama membantu saya," katanya.

Cucu Maznah seperti Hasni dan adiknya juga menjadi jurukandar bagi pihak keluarga mereka bagi membawa juadah ke masjid yang jauhnya lebih kurang 300 meter dari rumah mereka.

Memang seronok melihat pelbagai meja dikandar ke masjid menjelang Zuhur. Ia dikandar perlahan-lahan dan berhenti seketika untuk melepas lelah dan membetulkan kedudukan lauk. Beberapa minit kemudian perjalanan disambung kembali.

Keluarga Yusuf Kidam, 62, juga tidak pernah ketinggalan turut serta setiap tahun meraikan maulud nabi dengan cara menghantar meja berlauk ke masjid.

"Meja kami kali ini dikongsi bersama tujuh jiran sekali gus dan kami menghidangkan makanan yang dihias cantik untuk tetamu istimewa iaitu jemaah di masjid," kata Yusuf.

Suasana memasak dan menghidang di rumah keluarga Yusuf memang sangat meriah kerana semua peringkat usia turut menyertainya, daripada warga emas sehinggalah ke anak kecil. Kemeriahan ini seolah-olah melebihi suasana menyambut hari raya.

Menu keluarga Yusuf 25 jenis semuanya yang sudah siap terhidang menjelang jam 12.30 tengah hari.

Majlis maulidur rasul yang biasanya dimulakan dengan tazkirah, solat Zuhur berjemaah dan berselawat bersama-sama diakhiri dengan jamuan menjamu selera.

Tradisi unik ini mungkin akan hilang sekiranya generasi baru tidak mengambil inisiatif menyambung apa yang sudah dilakukan turun temurun oleh datuk nenek mereka di Kampung Kuala Sungai Baru.

Ia demi tujuan murni dan makanan yang disedekah ke masjid tidak langsung membazir malah sentiasa habis dinikmati jemaah masjid bersama-sama.

Source: Harian Metro Malaysia Online.

ADUN Endau taja Utusan Malaysia untuk 16 sekolah

19/02/2011

MERSING 18 Feb. - Keberkesanan sisipan pendidikan ADaP dalam akhbar Utusan Malaysia membantu meningkatkan proses pengajaran dan pembelajaran murid mendorong Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Endau, Datuk Zainal Abidin Osman menajanya untuk semua sekolah menengah dan rendah di kawasan yang diwakilinya.

Tajaan akhbar berjumlah RM9,468 itu bermula dari bulan ini hingga Oktober depan diberikan kepada 16 sekolah di DUN berkenaan untuk kegunaan dalam sesi pembelajaran yang akan disusun oleh pihak sekolah atau Pejabat Pelajaran Daerah.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri berkata, para pelajar yang bakal menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berpeluang memanfaatkan sisipan ADaP dalam pembelajaran mereka.

"Saya dapati sisipan ADaP dalam Utusan Malaysia banyak membantu para pelajar untuk memperoleh bahan tambahan yang boleh membantu meningkatkan pencapaian mereka dalam peperiksaan awam.

"Justeru, saya sangat berbesar hati untuk menaja akhbar tersebut kepada semua sekolah rendah dan menengah yang terdapat di DUN Endau ini," katanya pada majlis penyerahan tajaan akhbar Utusan Malaysia dan sisipan ADaP kepada pengetua dan guru besar sekolah di DUN Endau di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ungku Husin, dekat sini semalam.

Turut hadir Penolong Pegawai Pelajaran Daerah (Pembangunan Kemanusiaan), Murthazar Mohamad dan Eksekutif Kanan Pemasaran Utusan Melayu (M) Berhad Zon Selatan, Mohd. Asri Jantan.

Zainal Abidin berkata, ini merupakan tahun pertama beliau menaja sisipan ADaP pada setiap hari Rabu dan Khamis untuk digunakan di semua sekolah di DUN tersebut.

"Ini adalah satu pelaburan yang tidak ternilai harganya kerana masa depan negara terletak pada murid-murid ini dan mereka bakal menjadi pelapis kepada pemimpin negara yang sedia ada.

"Saya sangat berharap agar semua pelajar yang akan menduduki peperiksaan awam pada tahun ini memperoleh banyak manfaat daripada penajaan ini," katanya.

Source: Utusan Malaysia Online

Ikuti jejak adik Wee Soo Yen

Oleh DR.MOHD RIDHUAN TEE


Sejuk hati apabila melihat penerima tokoh Maulidur Rasul, Wee Soo Yen, 16, pelajar Cina dari Kelantan kerana mendapat A subjek Bahasa Arab Komunikasi dan semua A subjek yang lain dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) lalu. Apabila diwawancara, cara beliau berbahasa Melayu begitu fasih sekali.

Bertambah manis dan anggun berbaju kurung berselendang bersama ahli keluarganya. Langsung tidak kekok berakulturasi dengan budaya Melayu. Malangnya, ada segelintir daripada kita, mungkin ramai, apabila yang syorkan memakai songkok ketika pembukaan parlimen di hadapan sultan, melakukan protes tidak tentu pasal kerana takut diasimilasikan.

Sedangkan kita tahu ketika Tahun Baru Cina, pemimpin Melayulah yang paling hebat menyepit, mengacau dan menghayun tinggi Yee Sang sehingga kelihatan lebih Cina daripada Cina. Maaf, saya gunakan istilah ini kerana ada yang menuduh saya lebih Melayu daripada Melayu, terutama pemimpin Pas Shah Alam yang sanggup merakamkan sidang video khas dalam Youtube untuk mematahkan hujah artikel saya sebelum ini. Terima kasih atas publisiti itu.

Apa yang dilakukan Soo Yen, pada saya, langsung tidak menggugat identiti kecinaannya. Soo Yen tetap kaum Cina, seperti saya. Saya tidak pasti beliau boleh berbahasa Mandarin atau tidak, tetapi saya yakin, majoriti masyarakat kita amat selesa dengan penampilannya. Inilah yang dikatakan 1Malaysia.

Walaupun saya tidak mengenai Soo Yen, dalam hati saya berkata jika ramailah rakyat Malaysia seperti beliau, sudah pasti kesepaduan sosial mudah terjalin. Ini tidak, kita asyik berpolitik tidak pernah habis, mendesak dan menuntut dan seperti apa yang dibuat oleh persatuan Dong Zong minggu lalu.

Persatuan ini mengancam akan mengadakan protes dengan menggantung banner atau mungkin berdemonstrasi jika Kementerian Pelajaran terus menghantar guru kaunselor dan guru Bahasa Melayu ke Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), tanpa boleh berbahasa Mandarin. Jika saya berada di kementerian, memang sukar sekali memenuhi tuntutan sebegini. Berapa ramai guru dan kaunselor Melayu yang boleh berbahasa Mandarin.

Dalam kata lain, kaunselor dan guru Bahasa Melayu tidak layak berada di SKJC jika tidak menguasai dwibahasa. Inilah dilema sistem pendidikan kita sejak dari dahulu. Akta demi akta diwujudkan dan dipinda, untuk meraikan orang lain. Tetapi, langsung tidak dihargai dan mereka tidak pernah bersyukur. Sekian lama merdeka, kita asyik terus bermain tarik tali. Tidak ada ketegasan dalam memperkasakan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan. Kedudukan bahasa Melayu terus terumbang-ambing, ibarat diluah mati bapa, ditelan mati emak. Lihatlah sekeliling adakah martabat bahasa kebangsaan terangkat?

Ada yang mengatakan kelunakan dasar kerajaan ada kaitannya dengan soal undi dan pilihan raya. Kerajaan takut kehilangan undi bukan Melayu. Suka atau tidak, terima sahaja apa jua tuntutannya. Pegawai yang berada di kementerian berkaitan menjadi mangsa dan tertekan. Dari satu segi, memang ada kebenarannya, tetapi ditinjau dari sudut lain, inilah yang dikatakan keterbukaan kepimpinan negara untuk mencapai kesepaduan sosial.

Pada saya, apa pun yang dilakukan, jangan sampai perlembagaan diketepikan, terutama soal bahasa kebangsaan. Jika Soo Yen boleh membuktikannya, saya tidak fikir orang lain tidak boleh atau terlalu sukar melaluinya. Tidakkah sepatutnya ia merupakan satu kebanggaan bangsa Malaysia?

Source: Mingguan Malaysia Online.

Ungguli peribadi Rasulullah

Oleh HARUSSANI ZAKARIA

Hari Selasa yang lalu bersempena dengan 12 Rabi'ul Awal 1431 hijriah, umat Islam di seluruh Malaysia dan barangkali di serata dunia meraikan hari kelahiran Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW atau lebih sinonim dengan Sambutan Maulidur Rasul SAW. Ketika melihat suasana sambutan di kebanyakan negeri di tanah air ini, saya dapat mengagak bahawa betapa masyarakat Islam masih punyai kasih sayang dan kecintaan kepada Nabi Muhammad SAW. Biarpun sambutannya tidaklah sehebat mana-mana perayaan yang disambut di negara lain namun, setidak-tidaknya kesedaran bahawa dengan mengenang kelahiran seorang cahaya mata bernama Muhammad bin Abdullah ini, maka sinar Islam makin berserakan di dalam diri apatahlagi keadaan bangsa kita yang terlalu memerlukan bimbingan Ilahi bagi menjamin kebahagian dunia dan akhirat.

Baginda SAW bukan sekadar manusia seperti kita, malah lebih dari itu sebagai pembimbing yang amat berwibawa hingga seluruh makhluk merasai rahmat dan kasih sayangnya. Sebagai manusia yang beriman, sudah pasti kita sentiasa merasai kehadiran Baginda SAW biarpun pada hakikatnya Baginda SAW sudah lama meninggalkan kita. Saban waktu, namanya tak lekang dari bibir dan tak lapuk dari hati kita disebabkan begitu hampirnya Rasulullah SAW dalam kehidupan kita ini.

Al Imam Muhammad Syarbini al Khatib menukilkan di awal kitab karangannya Al Iqna' bahawa, datuk Baginda SAW pernah ditanya mengapakah beliau menamakan cucu kesayangannya dengan "Muhammad" sedangkan ia bukan daripada rangkaian nama-nama generasi sebelumnya mahupun nama yang digunapakai bagi kaumnya. Lantas, datuknya Abdul Mutalib menjawab bahawa dengan nama tersebut adalah diharapkan supaya beliau dipuji oleh penduduk langit dan bumi.

Lihatlah betapa nama punyai peranan dan nilai tersendiri kepada seseorang individu dalam membentuk identiti diri dan bukan hanya sekadar pengenalan bagi sekujur batang tubuh sahaja. Perlu diperingat selalu ketikamana melihat "trend" masakini terdapat segelintir masyarakat lebih berminat dengan meletakkan nama-nama yang kekadang tidak punyai makna serta terdapat juga nama yang mempunyai makna yang tidak baik terhadap anak cucu mereka. Agaknya bagi golongan ini, yang penting adalah sedap untuk disebut atau punyai ciri ala kebaratan.

Di sudut yang lain pula, kelahiran Baginda SAW dalam keadaan yatim bukanlah secara kebetulan, tetapi mengikut takdir Ilahi dan hikmahNya sepertimana yang dijelaskan oleh Syeikh Ramadhan Al Buthi. Disamping itu, Dr 'Aid Al Qarni menyatakan bahawa Rasulullah SAW dilahirkan dalam keadaan yatim untuk menjadi suri teladan dan contoh bagi anak-anak yatim yang lain sehingga mereka yakin bahawa keadaan yatim bukanlah suatu keaiban, bukan juga kecacatan serta kemurkaan dari Allah SWT. Saya lebih cenderung untuk menerima pandangan bahawa status sebagai anak yatim merupakan suatu ketentuan Ilahi agar tidak berlaku campurtangan manusia dalam mendidik dan mentarbiah Baginda SAW. Hal ini bertepatan dengan sabda Baginda SAW yang bermaksud "Aku dididik oleh Tuhanku, yang mendidikku dengan sempurna".

Bila menelusuri sirah perjalanan hidup Rasulullah SAW bermula dari sebelum kelahiran hinggalah Baginda SAW menemui Allah SWT, maka kita pastinya akan melihat bahawa seluruh tindak tanduknya menjadi panduan, ikutan dan contoh yang tiada taranya. Hal ini selaras dengan firman Allah SWT dalam surah al-Ahzab ayat 21 yang bermaksud "Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, Iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)".

Kecintaan kepada Rasulullah SAW

Kecintaan kepada Rasulullah SAW merupakan suatu sifat orang yang beriman sepertimana firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 31 yang bermaksud "Katakanlah (Wahai Muhammad) Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani".

Imam al-Syaukani dalam tafsirnya menyebutkan bahawa kecintaan adalah neraca kecenderungan terhadap sesuatu. Kecintaanlah yang menyebabkan seseorang membenarkan dan mengikuti sesuatu yang dicintainya. Sementara itu, Imam al-Azhari menyatakan bahawa kecintaan seorang hamba kepada Allah SWT dan Rasul SAW adalah dengan mengikuti segala arahan dan perintahnya. Manakala kecintaan Allah SWT kepada para hambanya dengan memberikan limpahan keampunan kepada mereka.

Al Imam Ibnu Kathir di dalam tafsirnya pula menyatakan bahawa sesungguhnya bagi mereka yang mendakwa mencintai Allah SWT maka satu ketatapan di dalam ayat ini, mereka perlulah juga mencintai Rasul SAW. Maka bagi mereka itu Allah SWT akan melimpahkan kepadanya keampunan. Imam Al Bukhari dan Imam Muslim meriwayatkan hadis dari Anas ibn Malik r.a bahawa Rasul SAW bersabda: "Demi jiwa ku yang berada ditangannya, tidak beriman seseorang dari kamu hinggalah diriku ini dicintai olehnya lebih dari ibubapanya, anak-anaknya dan manusia sekaliannya".

Apabila kita menelaah rangkaian hadis tentang kecintaan kepada Rasulullah SAW, pastinya kita akan menemui saranan agung dari Baginda SAW antaranya hadis yang diriwayatkan oleh Imam At- Tabrani dari saidina Ali r.a menyatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud "Didiklah anakmu dengan 3 sifat, cintakan Nabimu, cintakan keluarganya dan membaca al-Quran."

Sambutan dan perpaduan

Saya diberi peluang untuk menyampaikan ceramah berkisar tentang hal ini sewaktu sambutan peringkat Negeri Perak baru-baru ini. Saya menyedari dan menginsafi bahawa apa yang saya dan para pendakwah lain sampaikan itu adalah rentetan daripada kerja buat yang diwarisi daripada tugas para nabi dan rasul. Memperingatkan seluruh manusia yang beriman agar sentiasa melakukan yang maaruf dan meninggalkan kemungkaran. Disamping itu, mengajak semua peringkat manusia yang beriman agar meningkatkan komitmen menyeru rakan-rakan yang bukan Islam agar menerima Islam dengan cara hikmah, mau'izah hasanah dan perdebatan yang bersopan.

Sebagai orang yang beriman sepatutnya kita mendahului rakan-rakan kita yang bukan Islam dalam kesemua hal dan perkara yang baik. Amat perlu bagi seluruh umat Islam menunjukkan kebijaksanaan dalam berfikir, tindakan kita perlu berprinsipkan keadilan, perbuatan kita perlu selari dengan akhlak yang diajari oleh Allah SWT dan Rasul SAW. Ini selaras dengan firman Allah SWT dalam surah al-Qalam ayat 4 yang bermaksud "dan Bahawa Sesungguhnya Engkau mempunyai akhlak Yang amat mulia"

Qadhi al-'Iyad menukilkan bahawa Baginda SAW merupakan seorang yang sangat tabah dan cekal, seorang yang pemaaf walaupun berupaya membalas, sabar menghadapi segala yang tidak disenanganinya. Ianya adalah sifat-sifat luhur yang dengan sifat itu Allah mendidiknya. Semua orang yang tabah, sebelumnya pernah diketahui ada kegelinciran dan pernah terbabas daripada tindakan yang betul. Akan tetapi, Rasul SAW tidak begitu. Semakin bertambah gangguan dan penyakit, maka bertambahlah kesabarannya.

Realiti yang berlaku sekarang ini kekadang amat mendukacitakan. Terdapat penceramah yang dijemput menggunakan kesempatan berceramah dengan ungkapan-ungkapan yang tidak lunak didengar. Apatah lagi ungkapan tersebut dikumandangkan di dalam rumah Allah SWT. Apakah mereka tidak sedar bahawa cacian, makian serta melaknat individu lain merupakan larangan keras yang kita sama-sama memperolehinya dari ajaran Nabi SAW.

Al Imam Al Tirmizi, Ahmad, Ibnu Hibban, Al Hakim dan Al Bukhari dalam Adabul Mufrad menyatakan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud "Orang Mukmin itu bukanlah orang yang suka mencemarkan kehormatan, bukan pula orang yang suka mengutuk, berkata keji dan mengumpat". Dalam suatu hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Hibban, Ahmad dan Al Bukhari dalam Adabul Mufrad juga, Rasulullah SAW memperingatkan bahawa "Jauhilah perkataan keji, kerana Allah SWT tidak menyukai perkataan keji, kata mengata dengan perkataan keji"

Di mana kekuatan umat Islam sekiranya hal ini berleluasa dalam masyarakat. Sekiranya ia dibiarkan nescaya kerukunan dan perpaduan umat Islam akan runtuh. Teringat saya ungkapan Saidina Umar r.a yang bermaksud "Tiada kemenangan melainkan dengan kekuatan, tiada kekuatan melainkan dengan kesatuan, tiada kesatuan melainkan dengan keutamaan budi, tiada keutamaan budi melainkan dengan agama dan tiada agama melainkan dengan dakwah". Akhir kata marilah kita menyahut saranan Allah SWT sepertimana dalam firmanNya dalam surah al-Ahzab ayat 56 yang bermaksud "Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi Segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad saw); Wahai orang-orang Yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta Ucapkanlah salam sejahtera Dengan penghormatan Yang sepenuhnya."

Source: Mingguan Malaysia Online.

Industri pembinaan dijangka terus berkembang

INDUSTRI pembinaan negara dijangka terus berkembang secara positif tahun ini didorong pelaksanaan projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) sekali gus membuka peluang pekerjaan dan perniagaan lebih luas membabitkan sektor itu.

Presiden Persatuan Pemborong Binaan Malaysia (MBAM), Kwan Foh Kwai berkata, perkembangan itu bagaimanapun bergantung kepada kadar kecepatan projek terbabit dilaksanakan.

“Pelaksanaan besar-besaran projek yang dirancang kerajaan antaranya MRT (Transit Aliran Massa) dan Greater KL memerlukan banyak pekerja berkemahiran dalam industri baik dari dalam mahupun luar negara.

“Dijangkakan, pelbagai projek ini akan melonjakkan industri tahun ini, bagaimanapun bergantung kepada berapa cepat ia dilaksanakan,” katanya selepas sidang media sempena memorandum persefahaman (MoU) antara MBAM dengan Universiti Terbuka Malaysia (OUM) di Kuala Lumpur, semalam.

MoU itu ditandatangani Kwan yang mewakili MBAM dan Naib Canselor OUM, Prof Emeritus Tan Sri Anuwar Ali.

Source: Harian Metro Malaysia Online.

‘Mahasitua’ tetap gigih tuntut ilmu

Tarikh siar: 2011/02/08

Usia 76 tahun tak halang belajar di OUM


KOTA BHARU: Walaupun digelar mahasitua oleh rakan sepengajian, Awang Yusoff, 76, tidak berasa malu untuk bersaing dengan pelajar lebih muda daripadanya dalam menuntut ilmu di Universiti Terbuka Malaysia (OUM) cawangan Kelantan.

Beliau dapat mengharungi semester pertama dalam bidang Pengajian Islam dan kini berada di semester kedua.

“Alhamdulillah, setakat ini dari segi fizikal saya masih sihat. Saya masih boleh berfikir dengan tenang dan tak ada halangan untuk belajar.

“Pelajaran ini kalau kata tak sukar sebenarnya ada jugak sukarnya sebab kita orang tua. Tetapi kerana cabaran dan cita-cita nak pegang ijazah, saya akan cuba untuk habiskan pengajian ini,” katanya kepada BERNAMA, semalam.

Awang dari Beris Kubor Besar, Bachok mengikuti pengajian selama lima tahun peringkat Sarjana Muda bermula September tahun lalu.

Beliau yang mempunyai tiga anak berusia 27 hingga 46 tahun mengakui sedikit sukar menyiapkan tugasannya kerana tidak mahir menggunakan komputer.
“Kalau untuk baca buku dan faham memang tak ada masalah. Cuma saya tak cekap menaip di komputer untuk cari bahan buat tugasan. Memang agak sukar tetapi dengan sokongan moral dan bantuan pensyarah, kawan-kawan dan keluarga, boleh juga disiapkan tugasan tepat pada masanya,” katanya.

Pengarah OUM Kelantan, Prof Datuk Nik Najib Nik Abdul Rahman, berkata Awang adalah golongan veteran yang wajar dijadikan contoh dalam menuntut ilmu.

“Saya bersyukur, Awang walaupun umurnya sudah 76 tahun, tetapi sanggup pikul beban sebagai seorang pelajar. Saya sentiasa memantau pergerakan Awang dan pelajar lain yang umurnya hampir sebaya mengenai pembelajaran mereka.

“Saya nampak sebenarnya untuk cari ilmu tidak kira tua atau muda dan saya lihat kemampuan mereka dalam kelas dan keputusan peperiksaan yang mereka peroleh ada kalanya cemerlang mengatasi pelajar lebih muda,” katanya.

Nik Najib berkata sehingga kini Pusat Pembelajaran OUM Kelantan memiliki hampir 2,500 orang pelajar dengan lebih lima peratus terdiri dari pelajar berusia melebihi 50 tahun.

Source: Berita Harian Malaysia Online.

Rabu, 16 Februari 2011

Dua fungsi dunia

Oleh Hayati Ibrahim, ya_t@hmetro.com.my

PUTRAJAYA:
Penerima Anugerah Perdana Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1432H/2011M, bekas Prof Madya Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Dr Abdul Hayei Abd Shukor, 64, percaya dunia adalah tempat bekerja dan tempat Allah SWT menguji manusia dengan pelbagai ujian.

Bapa kepada tujuh anak itu berkata, ujian yang diturunkan Allah adalah satu cara untuk menilai tahap kesabaran setiap umatnya.

“Itulah prinsip hidup saya... dunia tempat bekerja dan tempat Allah menguji kita, dengan ujian itu menjadikan kita lebih tabah dan sabar.

“Bagi saya, kesabaran dalam menjalani ujian adalah perkara biasa dalam hidup ini. Jadi, sementara hayat masih ada...menjadi satu kewajipan bagi kita sebagai khalifah Allah untuk meneruskan tanggungjawab kita dalam apa jua lapangan,” katanya selepas menerima anugerah sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1432H/2011M di Dewan Solat Utama Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, semalam.

Penyampaian anugerah disempurnakan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin. Hadir sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Norainee Abdul Rahman serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Muhammad Sheikh Abdul Aziz.

Abdul Hayei menerima hadiah wang tunai RM50,000, sijil penghargaan, plak dan terjemahaan al-Quran bernilai RM3,000.

Anak jati Pasir Mas, Kelantan ini memberi sumbangan besar dalam penulisan karya ilmiah termasuk penulisan artikel ilmiah dalam jurnal, akhbar dan majalah.

Antara karya beliau adalah ‘Hadith 40 Al-Nawawi, Tafsir dan Ulasan terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP); Hadis Maudhu’, Sejarah dan Konsep terbitan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Islam Dalam Sabda Jilid 1 terbitan Al-Amani Publisher dan Imam Malik, Sejarah dan Pemikiran terbitan Yayasan Islam Negeri Terengganu.

Sementara penerima lain, Tan Sri Hasmah Abdullah, 60, berkata anugerah itu adalah satu pengiktirafan kepada kaum wanita yang banyak menyumbang kepada pembangunan negara.

“Saya tidak sangka dipilih sebagai penerima anugerah. Ia menjadi pencetus semangat kepada saya untuk terus berkhidmat kepada negara,” kata bekas Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) itu.

Source: Harian Metro Malaysia Online

KTMB nafi anjur sambutan Valentine

Oleh MOHAMAD SHOFI MAT ISA, shofi.isa@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 15 Feb. - Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menafikan program Retro Love Coach yang diadakan syarikat itu semalam bertujuan meraikan Hari Valentine.

Pengurus Pemasaran KTMB, Mohd. Noordin Kimi sebaliknya berkata, program itu diadakan bagi meraikan 20 pasangan warga tua dalam kereta api milik syarikat tersebut.

Program Retro Love Coach itu katanya, sebagai prapelancaran sempena program khas yang akan diadakan syarikat itu 16 Mei ini.

"Retro Love Coach bukan sempena Hari Valentine yang disambut semalam tetapi diadakan sebagai program prapelancaran sempena program khas yang akan diadakan 16 Mei ini," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris semalam yang seolah-olah menggambarkan program Retro Love Coach yang diadakan itu sebagai sambutan Hari Valentine.

Mohd. Noordin berkata, KTMB pada 16 Mei ini akan mengadakan program perjalanan khas ke Singapura untuk pasangan suami isteri tidak kira tua atau muda serta kaum untuk sama-sama berkongsi rahsia kehidupan rumah tangga masing-masing.

Melalui program itu, KTMB katanya, menyediakan tempat untuk 300 pasangan suami isteri dengan bayaran sebanyak RM300 seorang yang mana setiap pasangan akan dibawa melawat Singapura termasuk ke Stesen KTMB di Tanjong Pagar.

Sementara itu, katanya, mulai semalam, KTMB melancarkan satu pakej menarik iaitu 1Malaysia Couples Trains dalam usaha menggalakkan rakyat pelbagai kaum di negara ini melancong secara berkumpulan.

Melalui pakej tersebut, katanya, KTMB akan memberikan diskaun tambang konsesi sebanyak 25 peratus untuk perjalanan pergi dan balik kepada enam pasangan yang terdiri daripada tiga kaum iaitu Melayu, Cina dan India.

Beliau berkata, untuk mendapatkan diskaun tersebut, enam pasangan melibatkan tiga kaum itu juga perlu bergerak secara berkumpulan dan memilih destinasi pelancongan yang sama.

"Pakej menarik 1Malaysia Couples Trains yang dilancarkan bermula semalam akan berterusan dan kemuncaknya akan diadakan satu program khas pada 16 Mei ini.

"Selain untuk menjayakan konsep 1Malaysia, pakej istimewa ini juga bertujuan menggalakkan rakyat pelbagai kaum di negara ini melancong secara bersama dalam satu kumpulan," katanya.

Source: Utusan Malaysia Online.

Akhbar bahasa Inggeris dibidas kerana mendakwa orang Islam raikan valentine

KUALA LUMPUR 15 Feb. - Sebuah akhbar bahasa Inggeris di negara ini dibidas ekoran artikel yang disiarkan dalam akhbar itu semalam yang seolah-olah cuba membabitkan orang Islam dengan perayaan Hari Valentine.

Sebuah blog yang membidas akhbar tersebut berkata, selain menyiarkan artikel, akhbar itu turut memaparkan beberapa pasangan warga emas Melayu yang lengkap berkopiah putih dan bertudung labuh merayakan Hari Valentine dalam koc Keretapi Tanah Melayu (KTMB).

Menurut blog itu, pasangan yang termasuk pasangan cacat penglihatan itu digambarkan menghadiahkan bunga, menyuap makanan ke mulut suami dan berpeluk antara satu sama lain.

"Kita tidak tahu siapa pasangan orang Islam ini, tetapi senario yang dipaparkan jelas menunjukkan ia sengaja dilakonkan bagi melihatkan subjek merayakan kasih sayang mereka bersempena Hari Valentine.

"Dalam konteks artikel itu, Hari Valentine digunakan sebagai deskripsi hari berkenaan kerana jika diterjemahkan kepada Hari Kekasih, ia sebenarnya lari daripada konteks budaya Melayu dan pegangan Islam yang sebenarnya tidak mempunyai satu hari bagi episod sedemikian.

"Pasangan warga emas itu sebenarnya penumpang yang hadir sempena pelancaran pakej 1Malaysia Couples Trains KTMB yang secara kebetulan jatuh pada Hari Valentine," kata blog itu di http://malaysiaaktif.com.

Blog tersebut dalam pada itu turut mempersoalkan idea siapakah untuk menunjukkan pasangan warga emas Melayu ini sebagai merayakan Hari Valentine.


Source: Utusan Malaysia Online.

Kenyataan menghina tidak pengaruhi pengguna

KUALA TERENGGANU 15 Feb. - Persatuan Pembatik Terengganu (Pembatik) yang memayungi pengusaha tekstil tradisi di negeri ini tidak berasa terancam mengenai tohmahan kononnya batik tempatan rendah mutunya berbanding batik luar seperti Indonesia.

Yang Dipertuanya, Wan Noordiran Wan Long percaya kenyataan yang menghina atau mempersendakan itu tidak akan mempengaruhi pandangan umum kerana ia jelas bertentangan dengan realiti serta perkembangan industri batik yang sebenar.

Katanya, sepanjang bergiat dalam industri ini, tidak pernah mendengar orang tempatan atau asing mengatakan batik Malaysia berkualiti rendah apatah lagi memuji batik Indonesia lebih bagus.

"Beberapa kali saya dan ahli Pembatik berkunjung ke Indonesia, orang di sana boleh kenal dan bertanya tentang harganya.

"Segelintir tidak membelinya bukan kerana kualiti, tetapi kerana harga. Harga batik kita lebih mahal kerana kulaliti yang dihasilkan lebih tinggi," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di pejabatnya, dekat sini, hari ini.

Kata Wan Noordiran, kenyataan Anwar itu memperlihatkan pemimpin yang berkata demikian sebagai orang yang jahil tentang seni batik dan perkembangan industri ini tidak boleh dinilai dengan hanya membaca sekeping kertas.

"Beberapa pengusaha di Indonesia juga turut memuji batik Malaysia kerana lebih berani melakukan inovasi dari segi warna, corak dan kehalusan kain bagi memenuhi cita rasa semasa di samping masih mampu mengekalkan tradisi yang ada," katanya.

Katanya, pengusaha di Indonesia berkenaan terlalu menjaga warisan negara itu sehingga tidak berani mengubah corak dan warna batik yang dihasilkan.

"Sebab itulah jika berkunjung ke negara itu, produk batik yang dijual tidak banyak bezanya antara penjual-penjual di negara berkenaan," katanya.

''Semasa cuti Tahun Baru Cina baru-baru ini, pengusaha di sini banyak menerima rombongan bas pelancong dari Singapura dan Thailand yang berkunjung untuk membeli batik.

"Walaupun mereka boleh dapatkan batik dari Indonesia dengan banyak dan murah, kita berbangga batik Malaysia menjadi pilihan," katanya.

Source: Utusan Malaysia Online.

Wee Soo Yen terkejut terima anugerah Maulidur Rasul

PUTRAJAYA 15 Feb. - Wee Soo Yen, 16, pelajar Cina tunggal yang mendapat A bagi subjek Bahasa Arab Komunikasi dalam Penilaian Menegah Rendah (PMR) lalu dan mendapat liputan muka depan Utusan Malaysia menerima satu kejutan hari ini di atas kecemerlangan tersebut.

Dia dipilih sebagai salah seorang daripada tujuh penerima anugerah Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan tahun ini.

Mengakui dirinya masih terkejut, pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan Bachok, Kelantan itu memberitahu, beliau mengambil masa selama tiga tahun untuk mempelajari bahasa itu sebelum meraih gred A subjek itu dalam kesemua lapan matapelajaran Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun lepas.

Mengimbas cabaran yang dihadapinya pada peringkat awal, Soo Yen yang mengenakan tudung litup berwarna jingga ketika ditemui di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini berkata, keluarga membantah pada mulanya kerana tidak percaya kemampuannya mendalami bahasa tersebut.

Namun, berkat kesungguhan dan keazaman yang tinggi membuatkan ibu bapanya mengalah sebaliknya memberi semangat kepadanya mempelajari bahasa itu bermula tingkatan satu.

"Ibu tidak setuju kerana dia takut saya tidak boleh buat tetapi saya janji kepadanya bahawa saya akan lulus dalam peperiksaan kertas bahasa Arab.

"Jadi, ibu benarkan. Sebenarnya saya mahukan cabaran pada diri saya dan tidak sangka dapat anugerah ini, terima kasih kepada semua yang mengiktiraf diri ini," kata Soo Yen yang fasih berbahasa Melayu itu.

Pelajar itu menerima anugerah daripada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin sempena sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan di sini.

Beliau menerima wang tunai RM20,000, sebuah plak, sijil penghargaan serta Kitab Terjemahan Fi Zilal Al-Quran (17 Jilid) bernilai RM3,000.

Soo Yen memberitahu, walaupun mengalami kesukaran untuk mempraktikkan bahasa Arab dalam kehidupan seharian, dorongan kuat ahli keluarga serta guru di sekolah membolehkannya berjaya menguasai bahasa itu.

"Ahli keluarga dan adik beradik merupakan sumber inspirasi saya termasuk cikgu-cikgu yang bagi dorongan untuk berjaya.

"Saya memang tidak boleh komunikasi bahasa ini di rumah, jadi saya gunakan sepenuhya peluang di sekolah untuk bincang dengan kawan dan guru," katanya yang mengenakan baju kurung bercorak bunga.

Source: Utusan Malaysia Online.

Abdul Hayei terima Anugerah Perdana Maulidur Rasul

Oleh Azrina Ahzan dan Siti A'isyah Sukaimi, bhnews@bharian.com.my

2011/02/16

Pelajar Cina cemerlang Bahasa Arab dalam PMR antara diiktiraf

PUTRAJAYA: Bekas Prof Madya Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM), Dr Abdul Hayei Abdul Sukor, 64, menerima Anugerah Perdana Maulidur Rasul peringkat kebangsaan semalam, berdasarkan sumbangannya dalam penghasilan karya ilmiah Islam termasuk penerbitan Tafsir Pedoman Muttaqin iaitu kitab tafsir al-Quran versi Melayu.

Abdul Hayei yang juga Ahli Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan, menerima hadiah wang tunai RM50,000, sijil, plak dan set tafsir al-Quran bernilai RM3,000 daripada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin pada majlis sambutan Maulidur Rasul peringkat kebangsaan di sini, semalam.

Turut menerima anugerah pada majlis sama ialah bekas Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Engku Tan Sri Ibrahim Engku Ngah; bekas Ketua Pegawai Eksekutif, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Tan Sri Hasmah Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Jantung Negara (IJN), Tan Sri Dr Robaayah Zambahari.

Selain itu, Prof Kulliyah Senibina dan Rekabentuk Alam Sekitar, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Ismawi Zen; Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (SPPM), Datuk Dangiran Mustapha dan pelajar Tingkatan Empat, Sekolah Menengah Kebangsaan Bachok, Kelantan, Wee Soo Yen.

Abdul Hayei berkata, anugerah diterimanya itu sebagai pengiktirafan kepada umat Islam dan mendorongnya untuk terus berusaha menunaikan tanggungjawab sebagai khalifah Allah di bumi ini.

“Anugerah ini petanda baik bagi umat Islam dan menunjukkan kebaikan masih wujud di kalangan umat Islam,” katanya.

Sementara itu, Robaayah berkata, anugerah ini memberi semangat kepadanya untuk terus memberi khidmat terbaik kepada pesakit, khususnya yang mendapat rawatan di IJN.

Bagi Soo Yen, 14, pengiktirafan yang diberi itu berdasarkan keupayaannya menguasai bahasa Arab dan ia detik bersejarah dalam hidupnya.

"Saya mengambil Bahasa Arab kerana suka belajar bahasa asing dan menganggapnya satu cabaran peribadi untuk mencuba perkara baru," katanya yang menjadi pelajar berbangsa Cina tunggal dan bukan Islam yang berjaya memperoleh pangkat A dalam subjek Bahasa Arab pada peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun lalu.

Kontinjen Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan pula menjuarai kategori jabatan kerajaan pada sesi perarakan sempena sambutan Maulidur Rasul peringkat kebangsaan.

Kategori badan berkanun pula dimenangi kontinjen Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), manakala kategori swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dijuarai kontinjen Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).

Source: Berita Harian Malaysia Online

Ahad, 13 Februari 2011

“Kotorkan” tangan untuk berjaya

Oleh HAFIZAHRIL HAMID

MEMANG kagum melihat kesungguhan dan kecekalan wanita yang memiliki sentuhan emas ini. Walaupun dilahir dan dibesarkan serba kekurangan malah boleh saja dikategorikan miskin tegar katanya namun pengasas dan pemilik syarikat kecantikan dan kesihatan Leesa Formula, Mona Din berjaya menggagahi hidupnya daripada serba kekurangan menjadi antara ikon wanita berjaya dalam perniagaan.

Ketika ditemui di pejabatnya di Shah Alam, nyata berkat kesungguhan dan perancangan yang teliti telah membantunya berjaya dalam perniagaan walaupun pada awalnya ramai yang menganggap apa yang dilakukan adalah satu kerja gila.

Malah Mona sendiri berpandangan sama jika mengenang kembali pada peringkat awal penglibatannya dalam perniagaan tersebut. Mana tidaknya sebelum menceburi bidang perniagaan beliau sudah pun memegang jawatan tinggi sebagai pengurus besar pengiklanan di sebuah syarikat penerbitan majalah terkemuka.

Begitu juga suaminya, Zulkefli Mohd Ali yang memegang jawatan tinggi di sebuah syarikat media turut sama mengikut jejak langkahnya malah lebih awal berhenti kerja kerana mendambakan cabaran membina perniagaan sendiri.

Apatah lagi ketika itu tidak ada mana-mana bank mahu memberikan pinjaman memaksa mereka menggunakan wang simpanan sebanyak RM50,000 yang disimpan untuk perbelanjaan rawatan anak sulungnya yang mengidap sindrom Down serta masalah jantung dan injap berlubang yang kronik sebagai modal perniagaan.

Namun jumlah itu tidak mencukupi memaksa kedua mereka menjual pula kereta mewah yang dimiliki kerana bagi mereka tidak ada istilah berundur memandangkan segala perancangan dan strategi yang dirancang sudah cukup cantik untuk diusahakan.

Memang jika dilihat ia umpama kerja gila kerana semuanya sudah cukup jika mengukur pada jawatan dan pangkat namun ia tidak menjamin kepuasan kerana ia sekadar makan gaji.

Ahli keluarga dan saudara mara menganggap apa yang dilakukan sebagai tindakan tidak waras apatah lagi ketika Leesa Formula ditubuhkan pada Mei 2003 Mona sedang mengandung anak bongsu.

Memang tragis, namun demi membuktikan bahawa orang Melayu juga boleh Berjaya dalam perniagaan segala pengorbanannya berbaloi malah diluar jangkaan apabila bulan pertama perniagaannya berjaya mengaut jualan sebanyak RM300,000, melebihi dari modal yang terpaksa dikeluarkan pada awalnya.

Itu adalah antara rentetan awal pasangan suami isteri romantis ini dalam meniti kejayaan dalam perniagaan. Kini produk keluaran Leesa Formula merupakan antara produk kecantikan yang tidak perlu diperkenalkan lagi.

Setelah berjaya dalam perniagaan kecantikan setahun kemudian mereka membeli bangunan yang menjadi ibu pejabatnya sekarang namun sebagai ahli perniagaan yang berpandangan jauh tingkat atas bangunan dua tingkat itu diubahsuai untuk dijadikan pusat spa yang dikenali Serenity Spa.

Sekali lagi sentuhan emas Mona Din menjadi dan menerima sambutan hangat. Tulang empat kerat mereka dikerah sepenuhnya bermula dari reka bentuk hinggalah tugasan mengecat dan apa yang dilakukan ini berbaloi kerana dalam tempoh setahun lapan lagi cawangan Serenity Spa dibuka. Lebih menakjubkan beberapa hotel bertaraf empat dan lima bintang menawarkan kepada mereka untuk dibuka cawangan spa berkenaan di hotel mereka.

Kejayaan mereka ini walaupun tidak ada pengetahuan dan pengalaman dalam bidang spa semakin membuahkan kejayaan berganda apabila diiktiraf sebagai salah satu syarikat spa tempatan terbaik di negara ini.

Malah Mona diiktiraf melalui pelbagai anugerah antaranya Best Spa Design for Hotel and Resort 2007 dan Spa Personality of the Year 2008 yang sehingga kini hanya diberikan kepada Mona dan tokoh perniagaan terkenal Tan Sri Francis Yeoh.

Tidak berpuas hati dengan pencapaian yang diperolehi, pasangan ini menceburi pula perniagaan fesyen dengan tertubuhnya butik pakaian muslimah di bawah jenama Hajaba.

Merupakan antara jenama Muslimah pertama di pasaran yang menawarkan fesyen terkini, moden dan paling penting menutup aurat. Mengakui tidak ada pengetahuan langsung tentang industri fesyen, namun beliau mereka sendiri pakaian yang dijual di butiknya. Semua ini direncanakan melalui pengalaman dan eksplorasi ketika berada di luar negara mahu pun di dalam negara.

Dan dalam tempoh hanya empat bulan sebanyak enam butik berjaya dibuka membuktikan perancangan yang mantap dan kesungguhan yang serius antara resipi kejayaan Mona dalam menceburi bidang perniagaan baru.

Itu antara kisah kejayaan wanita besi berusia 45 tahun ini yang mengakui sangat bertuah dikurniakan suami yang sangat memahami dan mampu bertoleransi antara satu sama lain.

“Saya sangat bersyukur dengan anugerah tuhan yang memberikan suami yang tiada tandingannya. Suami saya bukan seorang yang suka melepak pada waktu malam dan masanya dihabiskan di pejabat dan bersama keluarga.

“Kami juga mempunyai peranan masing-masing iaitu saya terlibat dalam hal seperti pengiklanan, perhubungan awam dan promosi manakala suami saya lebih menumpukan perhatian dalam pengurusan kewangan dan pentadbiran,” katanya.

Itu antara kisah kejayaan yang dikongsi bersama penulis dalam pertemuan yang berlangsung pada Jumaat lepas. Namun di sebalik semua kisah kejayaan ini nyata pengalaman pahit akibat hidup dalam kemiskinan dan hidup dalam keluarga yang berantakan banyak memberi pengajaran dan pedoman untuk melalui hidup yang lebih bermakna pada masa hadapan.

Anak kepada penoreh getah ini yang dilahirkan di Kampung Carok Mokkan di Jitra Kedah pada Julai 1966 mengakui hidupnya sangat susah apabila terpaksa tinggal di pondok buruk tanpa bilik mahupun tandas yang hanya berlantaikan buluh.

Apatah lagi dengan adik beradik yang ramai, 12 orang semuanya dan beliau anak kelapan ia menambahkan lagi kesengsaraan ibarat kais pagi makan pagi hanya sekadar untuk melapik perut.

Terbantut

Namun kemiskinan memberinya keinsafan untuk belajar bersungguh-sungguh dan berjaya diterima masuk ke sekolah berasrama penuh di Sekolah Sultan Abdul Halim

Sebelum meneruskan pengajian kursus intensif bahasa Inggeris di Sekolah Tun Fatimah, Johor Bahru sebagai persediaan ke luar negara atas kejayaan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Malangnya kerana gagal mendapat kepujian dalam subjek matematik hasratnya untuk menuntut di Amerika Syarikat terbantut namun diterima melanjutkan pelajaran di Universiti Teknologi Mara (UiTM) sehingga berjaya memperoleh diploma dalam pentadbiran awam.

Bagi ibu kepada enam anak ini antara pengalaman paling manis dalam hidupnya adalah pertemuan dan jodoh bersama suaminya ketika bekerja bersama di sebuah syarikat penerbitan.

“Saya sering berdoa kepada tuhan supaya mengurniakan seorang suami yang baik dan tidak kaya pun tidak mengapa. Apabila di pejabat saya tidak pernah bertegur dengannya dan pada suatu hari saya bertanya kepada seorang rakan sekerja apakah lelaki yang duduk di hadapan saya ini (suaminya) sudah mempunyai kekasih.

“Beliau kemudiannya menoleh sambil ketawa dan bermulalah kisah percintaan kami. Selang beberapa bulan kemudian saya pun berkahwin pada usia 25 tahun,” katanya.

Namun untuk berkahwin katanya mereka terpaksa membuat pinjaman peribadi ketika itu di sebuah syarikat yang dikenali dengan Cempaka Finance sebanyak RM4,000.

“Dengan duit itu kami berjaya melangsungkan perkahwinan di kedua-dua belah pihak dan kebanyakan persiapan dan hantaran kami lakukan sendiri untuk menjimatkan kos,” katanya sambil tersenyum

Namun kisah menyayat hati yang melanda keluarga ini apabila anak sulungnya yang juga pengidap sindrom Down pergi meninggalkan mereka tujuh tahun lepas.

Bagi beliau saat kelahiran Nur Salima, mereka pada awalnya terkejut dengan keadaan dirinya namun tetap menerimanya dengan positif dan membesarkannya seolah-olah dia anak yang normal tanpa ada perbezaan dengan anak-anak yang lain.

“Doktor telah membuat jangkaan bahawa Nur Salima hanya boleh hidup untuk tempoh masa 12 tahun kerana komplikasi akibat jantung dan injap berlubang dan ternyata jangkaan itu tepat.

“Perkara yang tidak boleh saya lupakan adalah di saat-saat akhir sebelum pemergiannya mengadap Ilahi, Nur Salima sempat berkata kepadanya, mama Kak Ma nak pergi jalan dan dengan deraian air mata saya memberitahu kepadanya, pergilah Kak Ma, mama izinkan,” katanya dalam nada yang sebak.

Akhirnya Nur Salima meninggalkan mereka sekeluarga buat selama-lamanya pada Disember 2003 dan antara perkara yang masih meninggalkan kesan di hati Mona adalah tidak sempat berkongsi kejayaan mereka bersama anaknya itu.

Akhirnya mereka sekeluarga reda dengan pemergian Nur Salima dan senantiasa menganggap kehadirannya dalam hidup mereka umpama cahaya yang memberikan sinar bahagia buat mereka walaupun ia cuma untuk seketika.

Kini pasangan bahagia ini semakin mencipta nama dalam bidang perniagaan butik pakaian Muslimah melalui jenama Hajaba apabila diterima sebagai satu-satunya syarikat bumiputera yang membuka outlet di pusat membeli belah Pavilion.

Perniagaan ini yang diceburi setelah Mona mula memakai tudung untuk menutup auratnya dan di peringkat awal ia kelihatan agak sukar untuk menggayakan fesyen yang sesuai namun pada masa yang sama tetap mengikut peredaran masa sebagai seorang muslimah.

Ideanya ini dikembangkan dari coretan tangan dan lakaran fesyen hasil ilhamnya sendiri sehingga tertubuhnya outlet Hajaba di Setiawangsa dan Shah Alam sebelum ia mendapat sambutan termasuklah dari pelancong luar negara. Malah kini Hajaba juga mendapat tawaran dari pusat membeli belah Suria KLCC untuk membuka outlet terbaru berdasarkan banyak permintaan pengunjung.

“Insya-Allah jika tidak ada halangan pada bulan April depan butik Hajaba akan di buka di Suria KLCC dan kami menganggap ia sebagai satu penghormatan kepada peniaga bumiputera seperti kami yang diterima kehadirannya di samping pelbagai jenama antarabangsa lain.

“Sehingga kini keuntungan utama Hajaba disumbangkan oleh outlet kami di pusat membeli belah seperti di Pavilion dan Alamanda sekaligus membuktikan orang Melayu boleh berjaya jika ada kemahuan.

“Dari situ kami sedar perlu ubah pemikiran masyarakat tentang fesyen Muslimah bahawa perniagaan ini tidak lagi sekadar di kawasan seperti Jalan Tuanku Abdul Rahman, Masjid India dan di Kompleks PKNS.

“Kami cuba membuktikan dengan wujudnya outlet Hajabadi pusat membeli belah ternama ia meningkatkan lagi kesedaran bahawa fesyen Muslimah sebegini juga boleh bersaing dengan jenama-jenama antarabangsa. Selain itu ia juga mampu menarik minat masyarakat Islam di negara ini untuk berpakaian menutup aurat bukan sekadar ia satu tuntutan agama tapi pada masa yang sama menunjukkan kita boleh berpakaian cantik dan mengikut peredaran zaman.

Melihat kepada kejayaan pasangan ini nyata rahsia mereka adalah kerjasama dan sifat toleransi sebagai suami isteri selain percaya kepada kuasa pengiklanan yang dikuasai oleh Mona dan pengurusan kewangan dan perancangan yang betul diterajui Zulkefli.

Namun mereka juga percaya bahawa masa itu adalah emas dan setiap detik bersama akan dihabiskan sebaik mungkin. Oleh itu setiap masa terluang mereka sekeluarga akan menghabiskan masa dengan melancong sama ada keluar negara mahupun dalam negara.

Namun bagi Mona kejayaan ini tidak akan berlaku jika tidak ada usaha untuk mengotorkan tangan sendiri dengan sanggup melakukan semua kerja-kerja sendiri. Ini katanya mampu memberi contoh dan teladan kepada pekerja-pekerja bahawa tidak ada jalan senang untuk berjaya.

Source: Mingguan Malaysia Online

'Dilema Melayu belum berakhir'

Oleh Norakmah Mat Youb , norakmah@bharian.com.my

2011/02/13


Kedudukan, hak istimewa terhakis jika tidak berani bersuara: Dr Mahathir

KUALA LUMPUR: Orang Melayu kini berada dalam dilema apabila mereka tidak lagi boleh bercakap mengenai kepentingan dan hak Melayu kerana boleh dianggap sebagai rasis. Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, lebih malang lagi, orang Melayu pula tidak mampu mempertahankan diri sendiri kerana lebih banyak mengalah dan berundur demi keamanan. “Kita selalunya berdiam diri dan malu alah pada bangsa lain dan tidak berani menyebut perkara yang benar. Ini merugikan kerana kita bukan merampas hak orang lain.

“Jika kita terus berpegang kepada nilai itu, maka semakin lama kedudukan kita akan terhakis. Selalunya hendak cakap malu, tidak cakap kalah.

“Akan tiba pada satu tahap nanti kita juga tidak lagi boleh mengatakan bahawa negara ini adalah tanah air bagi orang Melayu dan seolah-olah adalah pendatang sama seperti pendatang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada majlis Simposium Dilema Melayu anjuran Persatuan Alumni Aspirasi Semalaysia (ASPIRASI) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, semalam.
Dr Mahathir turut mengingatkan, masa depan orang Melayu di negara ini boleh menjadi buruk sekiranya masalah perpecahan berikutan perbezaan fahaman politik tidak dapat diselesaikan.

“Hakikatnya perpecahan orang Melayu kepada tiga kumpulan hanya akan menjadikan kaum itu kian lemah sehinggakan ada pada satu peringkat kaum Melayu sanggup memberi apa saja sama ada hak atau tidak kepada pihak lain bagi meraih sokongan.

“Lebih malang lagi, orang Melayu terpaksa berhadapan dengan risiko kehilangan kuasa mereka kerana pada masa itu pihak lain akan menguasai negara walaupun jawatan Perdana Menteri serta menteri masih berada di tangan kaum itu,” katanya.

Dr Mahathir turut mengakui ada orang Melayu yang sengaja menyalahgunakan Dasar Ekonomi Baru (DEB) bagi mendapatkan kekayaan dan kemewahan segera tetapi mahu supaya dasar itu tetap diteruskan.

Beliau berkata, tindak tanduk golongan itu menyebabkan sasaran Bumiputera mendapat 30 peratus daripada hasil kekayaan negara tidak akan tercapai sebaliknya memusnahkan segala usaha kerajaan memajukan Melayu.

“Saya malu...saya sering mempertahankan DEB tetapi jika Melayu menggunakan segala peluang yang diwujudkan dalam DEB, hari ini kita bukan saja mendapat 30 peratus kekayaan negara, malah, lebih dari itu.

“Masalahnya bukan polisi tetapi pelaksanaan. Sepatutnya jika mereka salah guna, mereka tidak boleh mendapatkan bantuan lagi,” katanya.

Source: Berita Minggu Malaysia Online

Agenda Melayu tetap relevan

Oleh MOHD KHUZAIRI ISMAIL dan MUHAMAD ZAID ADNAN
pengarang@utusan.com.my



KUALA LUMPUR 12 Feb.
- Kerajaan tidak akan berhenti daripada memperjuangkan agenda Melayu di sebalik pelbagai fitnah dan tohmahan yang dilemparkan oleh pelbagai pihak.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, agenda perjuangan itu masih lagi relevan kerana pada hakikatnya kaum Melayu masih lagi ketinggalan berbanding kaum lain di Malaysia.

"Walaupun kerajaan memperkenalkan pelbagai program pembangunan ekonomi seperti Model Baru Ekonomi, agenda perjuangan Melayu masih lagi relevan dan akan terus diperjuangkan," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis makan tengah hari sempena Simposium Dilema Melayu anjuran Persatuan Alumni Aspirasi Semalaysia (Aspirasi) di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.

Simposium itu dirasmikan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Mustapa menambah, program pembangunan ekonomi yang dilaksanakan kerajaan ketika ini akan menambah lebih banyak peluang pekerjaan sekali gus mampu meningkatkan pendapatan orang Melayu.

Katanya, ia sekali gus mampu membantu kerajaan menangani isu bumiputera yang masih lagi dihimpit dengan kemiskinan, ekuiti yang rendah dan kurang kompetitif.

"Dalam masa sama, orang Melayu juga akan mendapat faedah daripada pertumbuhan ekonomi negara menerusi agihan kekayaan yang dinikmati oleh semua rakyat," katanya.

Source: Mingguan Malaysia Online

Sabtu, 12 Februari 2011

Melayu dalam dilema besar – Dr. M

Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL,dan MUHAMAD ZAID ADNAN

KUALA LUMPUR 12 Feb. – Orang Melayu
hari ini berada dalam dilema besar apabila tidak lagi boleh bercakap mengenai kepentingan Melayu kerana akan dikatakan rasis.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, lebih malang lagi orang Melayu tidak mampu mempertahankan diri sendiri kerana lebih banyak mengalah dan mengundur diri kononnya dengan cara itu mudah untuk mendapatkan keamanan.

Malah katanya, sehingga pada satu tahap mereka tidak lagi boleh mengatakan bahawa negara ini adalah tanah air bagi orang Melayu.

Menurutnya, beliau sendiri menjadi sasaran kritikan termasuk oleh akhbar-akhbar bahasa ibunda walaupun apa yang dinyatakannya mengenai orang Melayu adalah benar.

“Kita selalunya malu alah kepada bangsa lain dan tidak berani menyebut perkara yang benar dan ini merugikan kerana kita tidak berniat untuk merampas hak mereka.

“Jika kita terus berpegang kepada nilai ini, maka kedudukan kita akan terhakis,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Simposium Dilema Melayu anjuran Persatuan Alumni Aspirasi Semalaysia (Aspirasi) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali dan Presiden Aspirasi, Mohd. Shahar Abdullah.

Dr. Mahathir berkata, dilema yang dihadapi itu berpunca daripada sikap orang Melayu sendiri yang tidak menggunakan peluang yang ada untuk mencapai kemajuan.

Beliau memberi contoh, sekiranya orang Melayu benar-benar menggunakan peluang daripada Dasar Ekonomi Baru (DEB), kedudukan ekonomi mereka sebenarnya boleh melebihi 30 peratus seperti yang diperuntukkan.

Tambahnya, orang Melayu juga terlalu mengikut nafsu sehingga ada yang sanggup memecahbelahkan kaum sendiri dan menggadai maruah bangsa semata-mata sikap tamak dan gila untuk berkuasa.

Keadaan itu kata beliau, menyebabkan orang Melayu menjadi lemah dan terpaksa bergantung kepada kaum minoriti walaupun pada hakikatnya Melayu merupakan kaum majoriti di negara ini.

“Apabila orang Melayu mula bergantung kepada kaum minoriti, maka kita terpaksa menyerahkan apa yang sepatutnya menjadi hak orang Melayu. Inilah sebenarnya dilema kita,” katanya.

Dr. Mahathir menambah, sekiranya orang Melayu tidak sanggup menukar nilai hidup yang dipegang ketika ini, mereka tidak mungkin mencapai apa jua matlamat dan menjadi bangsa termundur di negara ini.

Kerana itu kata beliau, untuk menjadi ‘tuan’ dalam erti kata sebenar, orang Melayu perlu menukar nilai hidup yang tidak sesuai dengan kemajuan, menguasai ilmu dan kemahiran serta berkuasa dari sudut ekonomi.

Source: Mingguan Malaysia Online

Jangan menang sorak

Oleh Dr. Mohd Ridhuan Tee

UNITY in diversity memang sedap disebut dan asyik didengar. Bagi yang berkepentingan, kata-kata ini dijaja merata-rata. Namun, bagi yang mengkaji, pahit untuk dibicara, jika fakta akademik terus disembunyikan demi kepentingan politik.

Lihatlah keberanian Perdana Menteri Britain, David Cameron minggu lalu, kenyataannya mengenai multi-culturalism yang selama ini menjadi polisi negara itu telah gagal dalam pembinaan negara bangsa. Katanya, kebebasan keterlaluan mengikut budaya dan cara hidup masing-masing secara berasingan tidak berjaya membentuk rakyat Britain yang diidamkan. Budaya yang dimaksudkan itu termasuk undang-undang dan peraturan peraturan yang sedia ada.

Kini, mereka yang ingin tinggal di Britian didesak supaya menghormati budaya British (majoriti), yang dikenali dalam sejarah sebagai "luas pemandangan" atau liberal. Kerajaan Britain bertindak mengejar mereka yang tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan kerana menimbulkan banyak masalah.

Walaupun ucapan tersebut dirujuk kepada orang Islam, tetapi implementasinya adalah untuk semua yang ingin mendiami di sana. Dalam kata lain, gesaan Cameron itu tidak banyak bezanya dengan kenyataan Tun Mahathir baru-baru ini yang berbunyi "Tanah Melayu adalah milik orang Melayu". "Negara British adalah untuk orang British". Justeru, budaya dan bahasa majoriti mesti didaulatkan dan diterima bagi mereka yang ingin hidup bersama dalam sebuah negara.

Secara kebetulan pula, saya baru sahaja menonton cerita Shaolin yang sedang hangat ditayangkan di pawagam. Kata-kata "negara China milik orang Cina" begitu jelas sekali diungkapkan oleh hero filem Shaolin, Andy Lau. Babak tersebut langsung tidak dipotong oleh Lembaga Penapis Filem Malaysia, walaupun dari sudut pembinaan jati diri, babak tersebut sepatutnya boleh dipotong. Begitulah liberalnya kita hidup dalam negara berbilang kaum. Saling hormat-menghormati.

Justeru, apakah salah jika Tun Dr Mahathir berkata "Tanah Melayu adalah milik orang Melayu" dari segi fakta akademik? Sama ada Mahathir Melayu tulin atau tidak, serangan peribadi yang selalu dilakukan, itu bukanlah persoalan utama. Sejarah memang tidak boleh dipadamkan, walaupun diungkap oleh sesiapapun. Ia mesti diperakui seperti kata Einstein. Itulah hakikat kejadian manusia yang dijadikan oleh Allah SWT.

Setiap negara ada sejarahnya sendiri. Rakyat Malaysia mesti mengakui negara ini adalah asal usulnya milik orang Melayu, termasuk Singapura. Sepatutnya, kita hendaklah berlapang dada menerima budaya dan bahasa masyarakat yang mendominasi itu.

Berbilang bangsa bukan berlaku secara semulajadi atau telah wujud berbilang bangsa sejak dunia ini diciptakan. Kajilah negara mana sekalipun yang berbilang bangsa, semuanya berlaku disebabkan oleh migrasi. Dengan makna, setiap negara atau sesebuah kepulauan, ada penunggunya. Persoalannya, kenapa setiap kenyataan atau ungkapan hendak dipolitikkan?

Mual

Saya berada begitu mual apabila pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat menggesa Perdana Menteri agar memberi reaksi kepada kenyataan Mahathir mendakwa Malaysia hanya milik orang Melayu dan kaum-kaum lain perlu menghormati kedaulatan orang Melayu negara ini. Pendapat David Cameron pun hampir sama dengan Mahathir. Kenapa Cameron tidak dipertikaikan oleh mereka yang tinggal di sana? Saya yakin, pemimpin Britain berjaya melahirkan rakyat yang bersyukur.

Perdana Menteri tidak perlu memberi reaksi, kerana itu bukan pendapatnya? Ia datang daripada bekas Perdana Menteri, pendapat peribadi seorang negarawan. Mahathir bebas memberikan pendapat dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi, seperti mana pembangkang dan orang lain memberikan pendapat.

Bacalah pendapat dan komen-komen dalam laman web Malaysian Insider, Malaysiakini, Malaysia Today, cpiasia dan sebagainya. Pendapat mereka langsung tidak bertamadun. Tetapi ia terus disiarkan dengan megah oleh laman web tersebut dan diberi markah yang tinggi. Tiada tindakan diambil. Saya yakin jika mereka berada di Singapura, sudah lama dihumbankan dalam penjara. Kenapa mereka bebas menulis, orang seperti Mahathir tidak boleh?

Inilah nasib yang menimpa penulis seperti kami. Setiap kali menulis, keturunan kami dihina dan diungkit. Cacian dan makian yang kotor dihemburkan tanpa meneliti fakta terlebih dahulu. Saya tidak hairan, sebab masyarakat kita telah ditanam dengan pemikiran etnosentrik, prejudis dan stereotaip, yakni memandang rendah kepada cara hidup atau budaya orang lain. Pada segelintir golongan ini, budaya mereka sahaja yang baik, orang lain tidak.

Yang lebih memelikkan, kenapa bila DAP (termasuk PAP) mempertikaikan tentang kedudukan Islam dan menghina Islam, pemimpin Pakatan Rakyat tidak ditanya supaya memberi reaksi akan pendapat sekutunya itu? Malah dipuji pula pendapatnya.

Lebih menjijikkan, bila ada sahaja pendapat yang agak kontroversi, gagasan 1Malaysia dijadikan batu loncatan untuk mematahkan apa juga perkara yang dikira bertentangan dengan pendirian ultra kiasu ini. Tidakkah gagasan 1Malaysia mesti difahami dalam konteks sejarah negara ini dan perlembagaan yang telah dipersetujui bersama?

Saya boleh bayangkan jika tiadalah idea gagasan 1Malaysia, mereka akan cari seribu satu alasan untuk menghalalkan tindakan mereka.

Bukankah lebih baik kata-kata Mahathir itu dikaji dan hujahkan dari sudut akademik daripada memaki dan mencaci? Sekurang-kurangnya berlaku percambahan ilmu. Ini tidak, mereka seolah-olah tiada kerja lain, hanya mencari kesalahan dan kelemahan orang lain.

Saya ingin mencadangkan, selain daripada mengkaji sejarah asal-usul Tanah Melayu, pada masa sama, perbandingan sejarah hendaklah juga dibuat dengan negara lain.

Jika tidak mahu lihat negara jiran yang berdekatan, cuba tinjau negara yang berjauhan seperti New Zealand, Fiji, Australia dan sebagainya. Adakah negara ini berbilang bangsa dari segi asal-usul. Saya tidak perlu ulang lagi akan sejarah asal-usul Tanah Melayu, kerana nanti pembaca akan mengatakan seolah-olah saya sudah tidak ada idea lagi untuk menulis.

Di New Zealand, pribumi Maori tidak memerintah, tetapi diperintah oleh Pakeha, imigran kulit putih. Begitu juga di Fiji. Pribumi Fijian diperintah oleh imigran India. Namun, hak-hak pribumi tetap dijaga dan dipelihara, supaya tidak timbul konflik.

Malangnya, Maori dan Fijian telah terlambat, kerana mereka tidak memerintah tetapi telah diperintah. Apalah erti hak terjaga, jika kampung telah tergadai. Iktibar di dua negara ini perlu dijadikan teladan. Inilah yang menjadi ketakutan orang Melayu, setelah terlepasnya Singapura.

Nenek moyang

Saya yakin selepas ini, pihak ultra kiasu akan berhujah, pribumi Tanah Melayu adalah orang Asli, sama seperti Maori di New Zealand. Jika itulah hujahnya, maka saya berani mengatakan semua negara ada Orang Asli.

Mahathir berkata lagi, nenek moyang negara ini memberikan orang Cina dan India taraf kewarganegaraan sebab mereka mengharapkan kedua-dua komuniti itu akan menghormati kedaulatan orang Melayu.

Kenyataan tersebut adalah benar berasaskan fakta sejarah. Ia tidak boleh diubah. Mahathir juga menekankan, bukan Melayu mesti menerima konsep Bangsa Malaysia untuk membantu memperkukuhkan perpaduan nasional. Jika orang Cina dan India terus melihat diri mereka berdasarkan negara asal mereka, maka ia bermakna mereka adalah imigran ke negara ini.

Dalam konteks politik, kenyataan ini memang tidak boleh dinafikan. Kiblat kita mesti Malaysia, bukan lagi negara lain jika benar-benar gagasan 1Malaysia hendaklah direalisasikan dengan jayanya.

Source: Mingguan Malaysia Online

Ribuan penunjuk perasaan berpesta rai kejatuhan Mubarak

Daripada Nazmi Yaakub di Kaherah

2011/02/13


KAHERAH bertukar menjadi pesta paling meriah dalam sejarah moden Mesir dengan penunjuk perasaan dan rakyatnya melimpah ke seluruh jalan raya kota raya itu, sepanjang malam kelmarin hingga berterusan semalam selepas Presiden Hosni Mubarak, akhirnya tumbang.

Ketegangan selama 18 hari yang kemuncaknya pada Yaumul Rahil selepas solat Jumaat kelmarin, kini berubah kepada keadaan yang begitu ceria dengan rakyatnya yang memberontak sebelum ini, menyanyi sambil mengibarkan bendera tanda ‘kemenangan’. ‘Revolusi putih’ yang mengorbankan kira-kira 300 jiwa itu, akhirnya berjaya menyingkirkan Mubarak, sekali gus menjadi pemimpin utama Arab yang kedua tumbang selepas Presiden Tunisia, Zine al-Abidine Ben Ali. Meskipun pengumuman dibuat Naib Presidennya, Omar Suleiman itu hanya mengandungi lima ayat, ia mengubah kota raya yang sarat dengan kemarahan dan kekecewaan kepada kemeriahan dan kegembiraan yang berterusan, mungkin untuk beberapa hari lagi.

Ia sudah cukup untuk menjadi pembuka tirai kepada jalur sejarah baru Mesir yang diberikan sambutan meriah.

Penunjuk perasaan yang berhimpun di seluruh Kaherah dan bandar lain di Mesir sejak Jumaat, menari, menyanyi, bersiul dan memalu gendang serta mengibarkan bendera dan berarak dengan bendera gergasi di bawah limpahan sinaran lampu serta tembakan bunga api.

Mereka turut menyalakan bunga api dan mercun sambil mengucapkan tahniah serta bersalaman sesama sendiri bagi meraikan perjuangan mereka sejak tunjuk perasaan tercetus pada 25 Januari lalu.
Mereka turut berkongsi cerita dan pengalaman sambil ketawa kerana tuntutan utama mereka untuk melihat Mubarak berundur tercapai.

Dataran Tahrir yang menjadi nadi gerakan revolusi rakyat Mesir tidak terlepas daripada kegembiraan yang diluahkan penunjuk perasaan, apatah lagi penunjuk perasaan di Dataran Tahrir yang menjadi abtal atau wira kerana bertahan di dataran yang bermaksud pembebasan sehingga akhirnya memaksa Mubarak berundur.

Jalan raya menjadi sesak, tetapi ia disambut dengan gembira oleh pengguna jalan raya apabila kebanyakannya membunyikan hon dengan nada yang selalunya dimainkan kenderaan membawa pengantin atau penyokong bola sepak, selain menyalakan lampu kecemasan.

Pemandu turut mengibarkan bendera, selain memberikan halawah atau manisan kepada penunjuk perasaan dan orang ramai yang biasanya dihidangkan pada hari kebesaran seperti Aidilfitri.

Ini berbeza dengan keadaan sepanjang tunjuk perasaan apabila kenderaan kurang di jalan raya kerana perintah berkurung dan sekatan jalan raya yang diadakan oleh tentera atau penduduk setempat.

Sambutan itu turut dirayakan di seluruh bandar di Mesir khususnya lokasi tercetusnya tunjuk perasaan besar-besaran seperti Iskandariah, Mansurah, Damanhur, Suez, Ismailiyah, Dumyat, Mahala dan Kafr Sheikh.

Jurutera, Fuad Amin, berkata kejayaan menjatuhkan Mubarak adalah kejayaan semua penunjuk perasaan dan rakyat Mesir yang bertahan serta tidak berganjak dalam menyatakan pandangan, termasuk tentera yang menjalankan tanggungjawab dengan profesional.

“Kejatuhan Mubarak membuka lembaran baru dalam sejarah moden Mesir dan mengingatkan kami terhadap kejayaan rakyat Mesir di bawah pimpinan Presiden Jamal Abdul Naseer menggulingkan Raja Farouq.

“Kami harap peluang untuk mengembalikan demokrasi dalam negara ini dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya dan tidak ada pihak yang mengambil kesempatan untuk ‘mencuri’ kejayaan bersama,” katanya kepada Berita Harian.

Pemilik kedai cenderamata, Vgar Andil, berkata perasaan gembiranya bercampur lega kerana tunjuk perasaan berakhir dengan pengunduran Mubarak.

“Saya harap keadaan akan kembali seperti biasa secepat mungkin meskipun ia mungkin mengambil masa untuk pulih semula terutama industri pelancongan. Tentera mengambil alih mungkin sehingga pilihan raya pada September nanti dan saya yakin angkatan tentera yang sangat dihormati rakyat Mesir akan menjalankan tanggungjawab mereka," katanya yang dilahirkan di Mesir, tetapi berasal Armenia.

Tamatnya episod panjang pemerintahan Mubarak dan fragmen tegang tunjuk perasaan itu, turut disambut lega oleh 300 rakyat Malaysia termasuk 244 pelajar yang masih berada di Mesir kerana sekurang-kurangnya mereka tidak perlu dipindahkan selepas ada ura-ura untuk berbuat demikian.

Source: Berita Minggu Malaysia Online

CLICK NOW

Tajuk Kegemaran