TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Selasa, 30 November 2010

500 wanita usahawan Internet

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus, asmaini@nstp.com.my

CEKAP dan lebih menjimatkan masa, dua kriteria utama perniagaan dalam talian kini semakin berkembang pesat di negara ini.

Tambahan pula, faktor pertambahan jumlah pelayar Internet yang semakin meningkat setiap hari turut membuktikan penggunaan medium baru itu mampu menjana pendapatan lebih kepada mereka yang menggunakannya.


Apa jua perniagaan yang dijalankan tidak kira kecil atau besar, semuanya boleh dimajukan dengan penggunaan kedai dalam talian.

Justeru, kewujudan laman web www.1nita.my daripada usaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) antara perantara yang boleh dimanfaatkan sebaik mungkin bagi semua peniaga wanita di negara ini untuk memajukan lagi perniagaan masing-masing.

Dikendalikan .my Domain Registry, laman web berkenaan memberi peluang kepada usahawan wanita yang berdaftar ruang untuk memajukan lagi perniagaan mereka ke pasaran yang lebih luas.

Projek berkenaan membuka ruang kepada apa jenis perniagaan termasuk pakaian, makanan, aksesori dan kraf tangan.

Usahawan manik dari Sarawak, Florence Anak Sujang berkata, dia mengetahui mengenai projek berkenaan daripada pejabat Ketua Menteri Sarawak yang kemudian memilih beberapa syarikat untuk diketengahkan.

Pada awal diperkenalkan dengan projek berkenaan, Florence mengakui terpaksa mempelajari banyak benda baru termasuk menyiapkan laman web sendiri untuk perniagaan manik dan seramik Borneo yang diusahakannya.

Katanya, perniagaan dalam talian sememangnya sangat cekap kerana boleh menguruskan perniagaannya walau di mana saja dia berada.

“Sebelum ini skop pasaran saya hanyalah sekitar Sarawak, tetapi menerusi projek ini, saya berpeluang mendapatkan pelanggan dari seluruh dunia.

“Sejak produk manik seramik yang diusahakan dipaparkan di dalam talian, saya mendapat banyak pertanyaan daripada penggemar aksesori berkenaan termasuk dari Australia.

“Lebih menggembirakan, pendapatan juga semakin meningkat dan saya berpeluang mendapat ramai jaringan pelanggan baru,” katanya.

Bagi pereka grafik, Samsiah Jendol, 38, dia menyertai projek berkenaan selepas berhenti kerja dari sebuah syarikat swasta di ibu negara.

Selaku pereka grafik bebas, dia perlu rajin mencari pelanggan dan platform yang disediakan .my Domain Registry amat sesuai untuk wanita yang bekerja dari rumah seperti dirinya.

“Bukan mudah untuk bertapak dalam bidang yang kebanyakannya dimonopoli lelaki.
“Tetapi saya percaya, ruang yang diberikan untuk memperkenalkan perniagaan di dalam talian sedikit sebanyak dapat membantu untuk mendapatkan pelanggan yang mahu menggunakan khidmat yang diberikan.

“Saya amat berterima kasih kepada semua yang memperkenalkan projek 1nita kerana tanpa bantuan mereka, kami mungkin tidak dapat bertapak di alam maya ini,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Projek 1Nita, Mohammad Amri Ramli berkata, projek .my Domain Registry yang pada asalnya dikenali sebagai projek W-X adalah organisasi pendaftar dan pentadbir tunggal yang memperkenalkan usaha itu dengan menggabungkan konsep 1Malaysia bagi wanita.

Sehingga kini, terdapat lebih 500 usahawan wanita yang dilatih di bawah projek 1Nita yang dimulakan di kawasan Lembah Klang.

Untuk menjadi ahli, wanita disaran supaya mendaftarkan perniagaan mereka dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan penganjur akan menyediakan khidmat bimbingan pendaftaran secara dalam talian.

“Had umur yang ditetapkan adalah 18 tahun ke atas dan bakal ahli perlu menjalani kursus penuh serta seminar daripada projek 1Nita sebelum menerima pentauliahan sebagai peniaga projek dalam talian 1Nita.

“1Nita ini menggunakan Internet sebagai medium perantara untuk berurusan dengan pelanggan manakala laman web berfungsi sebagai kedai.

“Pengguna boleh memilih barangan yang dipaparkan dalam laman web dan membayarnya menerusi e-bayaran menggunakan akaun bank,” katanya pada satu majlis yang diadakan di ibu negara, baru-baru ini.

Hadir sama, Pengerusi .my Domain Registry, Datuk Noraini Ahmad; Pengarah .my Domain Registry, Shariya Haniz Zulkifli serta usahawan wanita berdaftar yang menggunakan laman web berkenaan.

Projek 1Nita itu mendapat sokongan daripada Multimedia Development Corporation (MDec), Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita, Pusat Kajian E-Komuniti, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Radical Box Sdn Bhd.

Badan sokongan lain projek terbabit adalah Jabatan Pembangunan Wanita, SMECorp dan Sirim Berhad.

Source: Harian Metro Malaysia Online.

Kuasa Persekutuan, Raja-Raja dan agama

Oleh Shamrahayu A Aziz

Tarikh siar: 2010/11/30

Kedudukan Islam dalam Perlembagaan tak boleh dipertikai


KEDUDUKAN Islam dalam Perlembagaan Persekutuan tidak boleh dipertikaikan lagi. Islam adalah agama bagi Persekutuan dan juga agama bagi semua negeri (kecuali Sarawak). Islam adalah juga satu-satunya agama yang disebut dengan namanya sendiri dalam Perlembagaan – bukan saja Perlembagaan Persekutuan, malah perlembagaan negeri-negeri.
Atas alasan sejarah dan amalan yang menjadi tradisi dan warisan negara, Perlembagaan Persekutuan menyediakan kerangka tertentu mengenai pentadbiran Islam. Islam adalah urusan negeri yang dinaungi Raja-Raja Melayu. Perlembagaan Persekutuan mengiktiraf Raja-Raja sebagai Ketua Agama Islam bagi negeri masing-masing, manakala Yang di-Pertuan Agong pula adalah Ketua Agama negeri baginda dan negeri yang tidak mempunyai Raja.

Secara amalannya Majlis Raja-Raja (satu institusi yang ditubuhkan oleh Perlembagaan – lihat Perkara 38 dan Jadual Kelima Perlembagaan Persekutuan) adalah institusi yang sinonim dengan Islam. Banyak pihak sudah membuat pengaduan kepada Majlis Raja-Raja mengenai urusan Islam. Keadaan ini tidak dapat dielakkan kerana ketiadaan Ketua Agama Islam pada peringkat Persekutuan.

Selain alasan itu, ahli Majlis Raja-Raja yang terdiri daripada Raja-Raja Melayu adalah Ketua Agama Islam. Oleh yang demikian, ia amat tidak munasabah untuk Raja-Raja mengabaikan Islam, walaupun secara harfiahnya Majlis Raja-Raja tidak diberikan kuasa berkaitan agama Islam oleh Perlembagaan Persekutuan.

Berkaitan peranan Majlis Raja-Raja mengenai Islam mungkin saya boleh katakan bahawa Islam adalah termasuk di bawah perkara yang menyentuh keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Raja-Raja.
Hujah saya ialah, Islam (dan adat istiadat Melayu) adalah perkara yang secara nyata dan tidak pernah dipersoalkan, dikhaskan kepada Raja-Raja saja. Undang-undang dan amalan tidak pernah memisahkan Islam daripada Raja-Raja.

Selain Raja-Raja dan Majlis Raja-Raja, kita tidak mempunyai institusi lain yang ditubuhkan oleh Perlembagaan Persekutuan untuk mengendali urusan Islam. Pembahagian kuasa dalam sistem federalisme yang kita amalkan, Islam adalah urusan negeri.

Perlembagaan Persekutuan seolah-olah memberikan kuasa berkaitan Islam kepada negeri secara eksklusif. Ini juga sudah dibuktikan dalam keputusan majoriti kes Mamat bin Daud yang dibuat oleh Mahkamah Agong pada 1988.

Dalam kata lain, Perlembagaan Persekutuan cuba menerapkan kuasa autonomi berkaitan Islam kepada negeri. Namun ini tidak sepenuhnya benar. Adakalanya Perlembagaan memberi kuasa kepada Parlimen untuk membuat undang-undang berkaitan Islam.

Sebagai contoh, Butiran 1, Senarai Negeri, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan memberikan kuasa kepada Parlimen untuk menggubal undang-undang menentukan bidang kuasa berkaitan hukuman jenayah syariah.

Dalam aspek pentadbiran Islam di Malaysia, perkembangan semasa menyaksikan penubuhan beberapa institusi pentadbiran Islam pada peringkat Persekutuan seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM).

Penubuhan institusi ini bukanlah sesuatu yang bertentangan dengan pembahagian kuasa antara Persekutuan dan negeri. Dalam konteks ini, walaupun agama Islam adalah urusan negeri (yang dikatakan sebagai kuasa eksklusif negeri-negeri). Perlembagaan Persekutuan mempunyai beberapa peruntukan yang memberi ruang kepada Kerajaan Persekutuan untuk menjalankan urusan pentadbiran dan undang-undang bagi negeri berkaitan agama Islam – bukan saja bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Perkara 76(1)(b) yang menyebut mengenai kuasa Parlimen untuk membuat undang-undang bagi negeri dalam hal-hal tertentu, termasuk undang-undang bagi maksud menggalakkan keseragaman undang-undang antara dua negeri atau lebih. Peruntukan ini boleh ditafsirkan sebagai termasuk juga undang-undang berkaitan Islam.

Hujah ini saya tegaskan dengan kehendak Perlembagaan bahawa, apa juga undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen hendaklah mendapat persetujuan negeri menerusi suatu undang-undang yang dibuat oleh Badan Perundangan Negeri.

Ini menjadikan urusan berkaitan Islam kekal sebagai urusan negeri (lihat Perkara 76(3)), walaupun mungkin inisiatif asal penggubalan undang-undang itu adalah daripada Persekutuan.

Dalam menjalankan urusan pentadbiran, Perkara 133 Perlembagaan Persekutuan pula memberikan kuasa kepada Parlimen untuk menggubal undang-undang yang membenarkan perkhidmatan bersama sama ada atas inisiatif Kerajaan Persekutuan atau atas permintaan negeri.

Maksud perkhidmatan bersama ini ialah penjawat awam yang dilantik untuk menggerakkan institusi ini boleh dilantik untuk memberi perkhidmatan secara bersama kepada Kerajaan Persekutuan dan negeri atau kepada satu negeri dan negeri yang lain.

Sehubungan dengan peruntukan Perkara 133 ini Parlimen meluluskan Akta Perkhidmatan Bersama (Pegawai-Pegawai Hal-Ehwal Islam) 1997. Tujuan akta ini adalah untuk menubuhkan satu pentadbiran hal-ehwal Islam yang bersepadu antara negeri bagi memudahkan urusan pentadbiran agama Islam.

Di dalam bahagian pengenalannya Akta 1997 ini menyatakan bahawa penggubalan akta ini adalah berdasarkan kepada permintaan sesetengah negeri. Kesan daripada peruntukan akta ini, pihak Persekutuan dan negeri boleh mempunyai penjawat awam di dalam perkhidmatan bersama yang mentadbir urusan Islam di negeri-negeri.

Dalam konteks federalisme, keadaan ini mungkin boleh dikatakan sebagai sesuatu yang berat sebelah dan menyokong Kerajaan Persekutuan. Tetapi alasan saya mudah – ini dibenarkan oleh Perlembagaan dan ia adalah ciri sistem federalisme kita. Sama ada ia adalah peruntukan yang berat sebelah atau pun tidak, tidak harus menjadi persoalan.

Amat benar bagi kita untuk menyatakan bahawa urusan berkaitan Islam adalah urusan negeri di bawah naungan Raja-Raja, namun Perlembagaan tidak menafikan sepenuhnya kuasa Persekutuan berkaitan undang-undang dan pentadbiran Islam.
Namun, kuasa Persekutuan harus dijalankan atas permintaan atau kebenaran negeri. Ini menjadikan Raja-Raja sebagai berkuasa penuh mengenai urusan Islam dan seterusnya kuasa negeri tidak diketepikan begitu saja.

Penulis ialah Penolong Profesor Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Source: Berita Harian Malaysia Online

MAHA boleh dijadikan medan majukan industri pertanian negara

Tarikh siar: 2010/11/30

PAMERAN Pertanian, Hortikultur dan Agro Pertanian (MAHA) 2010 yang berlangsung hingga 5 Disember ini mesti dilihat sebagai medan ilmu, maklumat serta peluang perniagaan yang harus direbut orang ramai. Tidak semua negara berkemampuan menganjurkan acara yang begitu banyak mempamerkan pelbagai produk serta teknologi pertanian yang dihasilkan menerusi inovasi terbaru.

Adalah merugikan sekiranya orang ramai sekadar datang menyaksikan apa yang dipamerkan tanpa memanfaatkan maklumat serta mengambil tahu mengenai teknologi dan inovasi pertanian yang ada di sebahagian daripada 2,500 gerai pada pameran itu. MAHA mempamerkan hasil kejayaan teknologi dan inovasi pertanian yang boleh dimanfaatkan individu atau syarikat yang sudah terbabit, dalam proses menceburi atau mahu mengembangkan bidang masing-masing.

Setiap kaunter menampilkan produk atau peluang berbeza. Banyak produk, benih, baka dan pelbagai maklumat lain boleh dimanfaatkan untuk memajukan kegiatan ekonomi dalam bidang berasaskan pertanian. Memang tepat apabila kerajaan menggunakan slogan ‘Pertanian Adalah Perniagaan’ kerana majoriti penduduk perlu membeli keperluan dan bekalan makanan mereka. Industri kecil berasaskan hasil pertanian adalah bidang yang kian berkembang dan perlu diterokai petani. Jika mereka selama ini menjual terus hasil tanaman atau ternakan, kini sudah tiba masanya mereka memberi nilai tambah atau memproses hasil menjadi produk baru.

Hasil tanaman mentah lazimnya dijual dengan harga jauh lebih murah. Tetapi jika petani membuat sedikit inovasi dan pelaburan untuk memproses, membungkus dan memasarkan sendiri, mereka akan memperoleh pulangan lebih lumayan. Petani mesti kreatif dan berani meneroka satu lagi bidang, iaitu memproses hasil menjadi pelbagai produk hiliran kerana langkah itu menjamin mereka menikmati pendapatan berganda.

Oleh itu, apabila matlamat sebenar MAHA difahami dan dipraktikkan, kita yakin petani hari ini mampu keluar daripada kepompong kemiskinan, tetapi mampu hidup senang seperti petani di beberapa negara maju. Dengan penyertaan 22 negara dalam pameran MAHA kali ini, petani dan pemain sektor dalam bidang ini di Malaysia boleh mendapat pelbagai faedah untuk memperkukuhkan industri pertanian negara.

Selain itu, inilah peluang kita menjalin hubungan dengan syarikat asing yang mungkin boleh mengembangkan ruang untuk produk kita memasuki pasaran di luar negara. Mereka juga berpotensi menjadi rakan kongsi untuk kegiatan berskala besar dalam negara. MAHA mungkin boleh dikembangkan sebagai wadah untuk mengumpulkan kalangan ahli ilmiah dan strategik, pemain industri serta penyelidik bagi mencerna kepakaran untuk memajukan sektor pertanian negara.

Memandangkan hasil pertanian adalah keperluan dalam kehidupan manusia, menceburi sektor itu tetap memberi pulangan lumayan. Tamadun manusia di serata dunia bermula dengan pertanian dan ia kekal relevan sehingga kini, walaupun dunia semakin maju sehingga manusia mampu meneroka angkasa lepas. Sebagai komponen strategi dalam membina kekuatan dan survival negara, sektor pertanian kita perlu dimajukan seiring dengan kepesatan industri dan tidak boleh diabaikan sama sekali.

Justeru, penting bagi petani menggerakkan sektor itu menggunakan inovasi serta teknologi terkini bagi menghasilkan produk secara optimum dan berkualiti. Institusi berkaitan pertanian juga harus memperhebatkan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) agar bidang ini menjadi lebih berdaya saing.

Source: Berita Harian Malaysia Online

Isnin, 29 November 2010

Ambil manfaat daripada penganjuran MAHA 2010

PAMERAN Antarabangsa Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2010 yang diadakan dari 26 November hingga 5 Disember ini bukan sekadar pameran yang menonjolkan hasil-hasil pertanian dan ternakan negara.


Ia lebih kepada itu memandangkan ia turut melibatkan penyertaan peserta dari luar negara. Kita berharap sebanyak 15 memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara usahawan tempatan dan luar negara sempena MAHA 2010 ini dapat dimanfaatkan oleh mereka yang menceburi bidang-bidang berkaitan.

Inilah yang kita mahu iaitu wujudnya kerjasama antarabangsa dalam membangunkan industri asas tani melalui penyertaan kira-kira 200 usahawan dari luar negara, selain 2,000 syarikat termasuk dari 22 negara yang mewakili benua Eropah, Afrika, Asia dan Asia Barat pada pameran tersebut.

Pameran yang diadakan dua tahun sekali ini juga jika dimanfaatkan sepenuhnya dapat membantu orang ramai memahami betapa pentingnya sektor pertanian dan penternakan kepada negara. Pemahaman itu perlu kerana dari situ akan terbit minat dan tanggungjawab untuk merancakkan kedua-dua sektor berkenaan demi kelangsungan hidup yang sejahtera rakyat negara ini.

Kita tahu betapa krisis makanan yang melanda dunia boleh mencetuskan pelbagai masalah seperti kekurangan bekalan makanan dan air bersih sekali gus menerbitkan pula masalah kesihatan ekoran kekurangan zat makanan terutama dalam kalangan kanak-kanak. Lihat sahaja contoh yang pernah dan sedang berlaku di beberapa negara di benua Afrika. Betapa sengsara dan menderitanya penduduk yang kelaparan, kurus kering dan berpenyakit.

Kesemua itu menyumbang kepada penurunan produktiviti apabila tidak banyak sumber-sumber yang boleh dimanfaatkan untuk keperluan negara terutama sumber tenaga manusia mahir.

Menyedari itulah, kita faham kenapa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucapan perasmian MAHA 2010 di Serdang, Selangor, kelmarin, berkata, kerajaan akan mengadakan kerjasama strategik untuk mewujudkan tapak pengeluaran makanan di luar negara sebagai salah satu usaha meningkatkan bekalan makanan di negara ini.

Mungkin ramai beranggapan kenapa perlunya mewujudkan tapak di luar negara, sedangkan masih banyak tapak di dalam negara yang boleh dibangunkan untuk tujuan tersebut.

Namun, itulah pemikiran jauh ke hadapan Najib yang melihat usaha membangunkan tapak pertanian di dalam negara lebih mahal, berbanding dengan luar negara. Ini kerana keluasan tanah pertanian dalam negara kita tidak boleh diharap kerana banyak kawasan pertanian kini telah bertukar status menjadi kawasan perumahan dan kilang. Keluasan yang terhad itu memaksa kerajaan memikirkan alternatif lain yang lebih murah untuk dijadikan tapak pertanian. Lihat saja betapa luasnya kawasan sawah padi di Kedah yang merupakan Jelapang Padi Negara telah dibangunkan dengan projek perumahan.

Selain itu, usaha tersebut juga dapat memberi manfaat kepada negara kerana sudah tentu akan wujud pertukaran idea antara negara-negara yang terlibat. Manfaatnya tentulah akan berbalik kepada rakyat negara ini.

MAHA 2010 yang diadakan selama 10 hari ini juga seharusnya digunakan oleh ibu bapa untuk membawa anak-anak melawat tapak pameran. Sempena cuti sekolah sekarang, apa kata masukkan tapak pameran MAHA 2010 ke dalam kalendar percutian keluarga.

Memandangkan semakin banyak anak generasi sekarang tidak pernah melihat sawah padi, ayam, itik, kambing atau lembu kerana mereka membesar di bandar, maka inilah peluang terbaik untuk ibu bapa membawa anak-anak mengenali semua itu. Pasti anak-anak teruja melihat sesuatu yang tidak pernah dilihat walhal, setiap hari mereka makan nasi di rumah. Pada pameran ini juga, anak-anak akan diperkenalkan dengan varieti padi MR253 dan MR263 yang dilancarkan oleh Najib, kelmarin.

Lebih daripada itu, inilah juga peluang untuk kita mengenali teknologi terkini yang digunakan dalam sektor pertanian dan penternakan. Bagi golongan petani dan penternak, inilah juga peluang untuk mereka berkongsi idea dalam meningkatkan produktiviti melalui penggunaan benih, teknologi dan infrastruktur baru.

Justeru, sebanyak 15 penemuan baru daripada Jabatan Perikanan yang turut dipamerkan boleh diguna pakai oleh mereka sekali gus memberi pulangan lumayan dalam industri perikanan.

Source: Utusan Malaysia Online.

Ambil manfaat daripada penganjuran MAHA 2010

Sultan Selangor dukacita institusi raja Melayu dipertikai

29/11/2010 1:27pm

DYMM Sultan Selangor.


SHAH ALAM 29 Nov. - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dukacita dengan sikap orang Melayu yang mempertikaikan kerelevanan institusi raja Melayu dan peranannya dalam sistem pemerintahan negara.

Baginda mendedahkan, matlamat golongan berkenaan adalah agar sistem Raja Berperlembagaan disemak dan dikaji semula.

Sedangkan, titah baginda, alasan golongan terbabit bahawa ia perlu dilakukan kerana negara telah menjalani arus pemodenan dan sistem yang diamalkan sekarang sudah tidak bersesuaian adalah amat tidak tepat.

"Sehingga ada suara yang lantang daripada orang Melayu sendiri yang meminta perkataan 'Melayu' yang ada pada ungkapan 'Raja-raja Melayu' hendaklah dihapuskan.

"Beta percaya perbuatan ini adalah untuk kepentingan mereka sendiri ataupun kepentingan politik mereka," titah baginda sewaktu merasmikan wacana Raja Berperlembagaan-Perspektif Sejarah, Kini dan Masa Depan, di sini pagi ini. – Utusan

Source: Utusan Malaysia Online.

Ahad, 28 November 2010

Pendaftaran Baru Ambilan Semester Januari 2011 di OUM Perak

Pendaftaran untuk ambilan Semester Januari 2011 dibuka sekarang untuk umum yang berumur tidak kurang dari 21 tahun pada 1 Januari 2011 dan memiliki sekurang-kurangnya sijil PMR atau SPM (melalui kemasukan fleksibel ke program Ijazah Sarjana Muda), atau sijil STPM (2P) atau Diploma yang diiktiraf MQA (untuk kemasukan langsung).

Pusat Pembelajaran Greenhill, Ipoh.

Mereka yang berminat untuk mengikuti program Ijazah MBA atau MEd di Pusat Pembelajaran Perak (Ipoh) mestilah memeliki sekurang-kurangnya STPM (2P) atau Diploma dan berumur tidak kurang dari 35 tahun pada 1 Januari 2011 (melalui kemasukan fleksibel) atau Ijazah Sarjana Muda yang diiktiraf MQA (untuk kemasukan secara langsung).

Bangunan OUM di Greenhill, Ipoh.

Pendaftaran boleh dibuat secara online melalui laman web http://www.oum.edu.my/ atau klik di sini (untuk program Diploma dan Ijazah Sarjana Muda) dan di sini (untuk program Pasca Ijazah)

Tarikh tutup permohonan ialah: 31 Disember 2010.

Untuk maklumat selanjutnya, sila hubungi:

En. Ahmad Fahmi (019-4618519)

Open University Malaysia
Perak Regional Learning Center
71, Jln Lim Bo Seng, 30300 Ipoh, Perak
Tel: 05-2546006

Atau:

Puan Siti Norjalilah (012-6638327)

Greenhill Learning Centre
No. 55-57, Persiaran Greenhill
Ipoh, Perak
Tel: 05-2490920/05-2490922

Maklumat lanjut boleh diperolehi dari:

OUM Perak Online Community

9 emas aksi terbaik di arena antarabangsa

Oleh Suhaidi Mohamed Amin, bhsukan@bharian.com.my

Tarikh siar: 2010/11/28



MENTERI Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, berkata kejayaan kontinjen negara merangkul sembilan pingat emas dalam temasya Sukan Asia di Ghuangzhou yang berakhir semalam, adalah pencapaian terbaik negara di pentas sukan antarabangsa.


Datuk Nicol David


Azizulhasni

Alex Liew dan rakan-rakan.


Ia juga kejayaan cemerlang dan rekod terbaik diraih kontinjen negara dalam sejarah Sukan Asia. Bagaimanapun katanya, prestasi sebenar pasukan negara hanya akan diketahui sedikit masa lagi selepas kontinjen negara tiba dari China esok, dan hasil laporan diterima daripada ketua kontinjen negara.

“Untuk mengetahui prestasi sebenar kita harus menunggu kepulangan kontinjen negara yang akan tiba di Kuala Lumpur esok (hari ini) dan selepas itu barulah boleh kita membincangkan mengenai kejuaraan yang dicapai Malaysia pada tahun ini,” katanya selepas menyampaikan bayaran elaun sara hidup nelayan Kemaman di Kampung Tengah, Kuala Kemaman, Terengganu, semalam.

Ibrahim Amir

Puvaneswaran

Nur Suryani


Kementerian juga akan melakukan bedah siasat bagi mendapatkan laporan terperinci kekalahan beberapa acara sukan yang dijangkakan mendapat pingat emas seperti bowling dan hoki.

“Pada tahun ini kami tidak menjangka dapat meraih emas dalam beberapa acara sukan yang dipertandingkan termasuk menembak dan akan melipatgandakan pelbagai usaha serta latihan bagi meningkatkan prestasi atlit untuk menuju ‘Road To London’, katanya.

Source: Berita Minggu Malaysia Online

12 cawangan UiTM diberi autonomi urus pentadbiran

Prof Datuk Dr. Sahol Hamid Abu Bakar.


Langkah kembangkan daya kreatif tingkat pencapaian pelajar

Oleh Mohd Idris Sulaiman, edisimingguan@bharian.com.my

Tarikh siar: 2010/11/28


SERI ISKANDAR: Universiti Teknologi MARA (UiTM) akan memberi kuasa autonomi kepada semua 12 cawangannya di seluruh negara untuk mengurus dan mentadbir kampus masing-masing sebelum akhir tahun depan, kata Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Sahol Hamid Abu Bakar.
Dr Sahol Hamid berkata, kertas cadangan mengenai perkara itu kini pada peringkat semakan terakhir dan akan diserahkan kepada Kementerian Pengajian Tinggi bulan depan untuk kelulusan. “Menerusi pemberian kuasa autonomi ini, kami yakin ia dapat mengembangkan lagi daya kreativiti pihak pentadbir kampus sekali gus meningkatkan lagi pencapaian kampus cawangan dan pelajar dalam segenap sudut.

"Ketika ini, setiap tindakan seperti pengurusan, kewangan, pentadbiran dan sistem peperiksaan masih di bawah bidang kuasa kampus induk di Shah Alam. Kami mahu kuasa itu ‘diturunkan' ke setiap kampus cawangan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Istiadat Konvokesyen Ke-73 UiTM Perak di sini, semalam.



Hadir Pengarah Kampus UiTM Perak, Prof Zainab Mohamed.

UiTM kini mempunyai 12 kampus cawangan di seluruh negara selain kampus induknya di Shah Alam dengan jumlah pelajar melebihi 180,000 orang.
Sahol Hamid berkata, semua cawangan bagaimanapun masih kekal diletakkan di bawah Lembaga Pengarah dan Senat yang berpusat di kampus induk.

Beliau percaya pengagihan kuasa autonomi itu tidak akan menjejaskan kualiti dan pencapaian UiTM.

Sahol Hamid berkata, empat kampus iaitu Perlis, Terengganu, Sarawak dan Perak memecah tradisi dengan mengadakan konvokesyennya sendiri bermula tahun ini sebagai usaha memberi kuasa autonomi.

“Kuasa autonomi itu membolehkan setiap kampus mengadakan istiadat konvokesyen sendiri. Ini kerana pihak pengurusan memikir-kan tiba masanya mengambil langkah itu dengan kampus cawangan lain dijangka turut memulakan sesi istiadat konvokesyen masing-masing mulai Mei tahun depan,” katanya.

Mengenai pencapaian program ‘Mengubah Destini Anak Bangsa’ iaitu peluang diberikan kepada belia Bumiputera miskin menyambung pelajaran di UiTM, Sahol Hamid berkata, sebanyak 80 peratus daripada 5,000 pelajar terbabit sudah lulus pengajian.

Source: Berita Minggu Malaysia Online

Dua Korea tingkat perang propaganda

Tarikh siar: 2010/11/28

Pyongyang dakwa Seoul guna perisai manusia

YEONPYEONG: Korea Utara menuduh Korea Selatan menggunakan orang awam sebagai perisai manusia di kawasan sekitar lokasi artileri di sebuah pulau yang diserang Pyongyang minggu ini. Ia menggunakan alasan itu untuk mempertahankan tindakannya melakukan bedilan yang membunuh empat rakyat Korea Selatan dan mencetuskan ketegangan di Semenanjung Korea. Kenyataan semalam dibuat ketika Amerika Syarikat dan Korea Selatan melakukan latihan perang di Laut Kuning.

Latihan itu mencetuskan kemarahan Korea Utara dan menimbulkan kebimbangan negara jiran China selepas komander marin Korea Selatan berikrar untuk membalas dendam pada satu majlis pengebumian dua marin yang terbunuh dalam kejadian terbabit.

Serangan pada Selasa lalu terhadap Pulau Yeonpyeong, yang menempatkan kem tentera dan penduduk nelayan, juga membunuh dua orang awam dalam serangan terburuk di wilayah Korea Selatan sejak Perang Korea 1950-53.

Agensi berita tempatan Korea Utara dalam satu kenyataan berkata, Korea Selatan perlu bertanggungjawab kerana ia mengambil tindakan tidak berperikemanusiaan dengan mewujudkan perisai manusia apabila meletakkan penduduk awam di sekitar lokasi artilerinya.
Korea Utara juga menuduh Korea Selatan kini bekerja keras untuk memperbesar-besarkan drama kematian penduduk awam sebagai sebahagian kempen propaganda supaya dapat mencetuskan tanggapan bahawa penduduk awam terdedah kepada ancaman Korea Utara.

Korea Selatan menjalankan latihan artileri sejak Selasa lalu dari pulau terbabit yang hanya 11 kilometer dari tanah besar Korea Utara tetapi melepaskan bedilan tidak ke arah jirannya.

Korea Utara juga berkata, mereka memaklumkan Korea Selatan supaya tidak melakukan latihan ketika serangan pagi itu, menyifatkannya sebagai sebahagian daripada usaha untuk menghalang pertempuran hingga saat akhir.

Ketika tetamu dan saudara mara menaburkan bunga putih di sebuah majlis pengebumian mangsa serangan jirannya, Komander Korea Selatan, Mejar Jeneral You Nak-jun berkata Korea Selatan akan meningkat tindak balas terhadap Pyongyang.

Source: Berita Minggu Online

Perkembangan Islam di seluruh dunia








Oleh Mazlan Nordin

TERNYATA kini banyaknya buku-buku mengenai Islam dalam bahasa Inggeris. Lalu dicatat oleh Profesor John Esposito: "Ramai percaya bahawa pada peringkat pertengahan pertama abad ke-21 Islam akan menjadi agama kedua terbesar di Amerika.

Beliau ialah Ketua Editor Oxford Encylopedia of the Modern Islamic World dan The Oxford History of Islam. Menurutnya kira-kira enam juta warga Islam di Amerika kini lebih ramai dari golongan Episcopalian.

Lebih 2,100 masjid dan pusat-pusat Islam telah dibina di serata tempat di Amerika di pekan-pekan kecil dan perkampungan serta bandar-bandar besar. Ini kerana warga Islam telah berada di Amerika sejak abad ke-19 lagi.

Kedatangan mereka dari waktu Columbus termasuk golongan Moriscos (Islam Sepanyol) selain dari hampir 20 peratus hamba abdi Afrika walaupun ada yang kemudian dipaksa masuk agama Kristian. Yang lain ialah warga India dan Arab.

Masyarakat Islam paling ramai kini ialah di New York, Boston, Chicago, Los Angeles, Houston, Detroit dan Toledo. Pelbagai hal mengenai kehadiran mereka kian terserlah berikutan peristiwa-peristiwa termasuk revolusi Iran, Perang Teluk Parsi dan peristiwa-peristiwa di Pakistan.

Sementara itu bilangan warga Islam di Eropah Barat telah meningkat daripada 10 hingga 15 juta. Paling ramai ialah di negara Perancis, Jerman dan Britain. Bilangan kecil ialah di negeri Sepanyol, Belanda, Sweden, Denmark, Norway dan Austria.

Paling ramai warga Islam di Eropah ialah di negeri Perancis sejumlah lima juta. Masjid-masjid besar telah dibina di Paris dan Lyons.

Bilangan warga Islam di Britain pula hampir dua juta dan lebih 600 masjid telah pun dibina. Berbanding keadaan di Perancis dan Jerman yang ramai warga Islam tidak berhak mengundi dalam pilihan raya, warga Islam dari negara-negara Komanwel mendapat kerakyatan British.

Profesor Esposito ialah sarjana pengajian Islam dari pengarah pusat persefahaman Islam- Kristian di Universiti Georgetown. Beliau juga mendalami perbezaan di antara golongan Sunni dan Syiah dengan beberapa mazhab imam-imamnya.

PentafsirDisiarkan dalam akhbar Times, London baru-baru ini ialah iklan jualan apartmen di Mekah dari satu hingga tiga bilik yang darinya bilik boleh dilihat ke Kaabah. Iklan tersebut untuk makluman warga Islam di Britian, antara lainnya.

Menyertai Profesor Esposito sebagai pakar Islam ialah T.B Irving (Haji Ta'Lin Ali), pentafsir Quran dan Gai Eaton, lulusan Universiti Cambridge dengan bukunya berjudul Islam and the Destiny of Man.

Dari dunia timur pula ialah Historical Developments of Islam in China. Antara lain catatan mengenai 35,000 masjid di serata negara China. Di ibu kota Beijing saja terdapat 64 masjid.

Antara masjid paling tua ialah di Guangzhou, selatan China yang dibina pada abad ketujuh. Menurut banci 1990, jumlah warga Islam China lebih 17 juta, tetapi punca-punca lain menyebut jumlah mereka sebenarnya antara 30 hingga 50 juta.

Menurut laporan Wikipedia, agama Islam tiba di negara China melalui seorang yang dihantar oleh Saidina Othman. Perkampungan Islam pertama wujud terdiri dari warga Arab dan para peniaga Parsi.

Warga Islam menduduki pelbagai wilayah. Sebilangan kemudiannya menunaikan fardu haji antara abad ke-15 hingga abad ke-18. Bilangan mereka meningkat hingga 10,700 pada tahun 2007.

Menurut laporan pada bulan April 2001, kerajaan menubuhkan Persatuan Islam China untuk membantu menggalakkan pelajaran membaca al-Quran". Ia dikendalikan oleh 16 pemimpin Islam yang ditugas mengawasi pelaksanaan syariah-syariah Islam. Antara keistimewaan yang diluluskan bagi warga Islam ialah yang berikut:

# Di daerah-daerah yang warga Islam majoriti, pemeliharaan babi tidak diizinkan.

# Tanah-tanah perkuburan khas bagi warga Islam.

# Perkahwinan melalui imam dan cuti bagi para pekerja pada hari-hari kebesaran Islam.

# Izin untuk menunaikan haji ke Mekah.

Dalam pada itu banyak restoran mengadakan hidangan makanan halal. Dalam bahasa Cina terjemahan perkataan halal ialah qingzhen cai.

Laporan-laporan yang terbit ialah mengenai warga Islam yang minoriti di dunia Barat dan Timur iaitu sebahagian dari para ummah. Jelas bahawa mereka menghadapi ujian, cabaran dan ada kalanya penindasan dengan keteguhan iman.

Source: Mingguan Malaysia Online.

Fahami erti sebenar patriotisme








Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah.

SETELAH membaca berita terbaharu buletin parti-parti politik bukan Melayu, Malaysiakini dan MalaysianInsider mengenai patriotisme, saya fikir kita sudah tidak rasional dan profesional dalam membincangkan isu ini.

Niat tersembunyi mereka semakin terserlah, termasuk menemubual bekas tentera bukan Melayu yang telah bersara, dengan provokasi tertentu, agar individu tertentu menjadi sasaran bagi mendapatkan political mileage. Apakah perancangan halus sebegini masih tidak dapat membuka mata hati kita?

Ternyata pemahaman mereka terhadap makna patriotisme tersasar jauh. Mereka begitu beriya-iya menonjolkan Malayan People's Anti Japanese Army (MPAJA) sebagai ikon dan hujah kuat patriotisme. Hujah ini bukan sahaja tidak tepat, malah menyimpang dari sejarah sama sekali. Penubuhan MPAJA bukan untuk mempertahankan tanahair tetapi disebabkan oleh dendam dan permusuhan antara China dengan Jepun.

Fakta ini sepatutnya telah jelas, tetapi sengaja dimanipulasikan. MPAJA tidak ada kaitan dengan semangat patriotisme. MPAJA adalah komunis. Begitu juga dengan memberi nama muzium Sun Yat Sen oleh kerajaan Pulau Pinang. Apa kaitan Sun Yat Sen sejarah negara dan patriotisme? Tanyalah guru sejarah, jika itu bukan bidang kita. Saya harap PKR dan Pas tidak buta dengan pakatan ini dan mampu bersuara antara hak dengan batil.

Mengambil data kuno sebelum tahun 1971 dengan menunjukkan betapa ramainya bukan Melayu menyertai pasukan tentera menampakkan betapa sindrom ultra kiasu masih membelenggu kita. Ketika itu, kita baru sahaja mengecapi nikmat hidup tanpa dijajah dan semangat patriotisme begitu berkobar-kobar. Kini sudah lebih 40 tahun berlalu, rujuklah statistik terbaharu, barulah nampak lebih rasional dan tidak sangat untuk menegakkan benang basah. Lepas itu, buatlah kajian kenapa minat mereka begitu berkurang berbanding dahulu.

Seterusnya mereka berpendapat semangat patriotisme tidak hanya boleh dinilai dengan menyertai pasukan tentera, tetapi melalui pematuhan undang-undang, bekerja keras, berusaha mengumpul kekayaan dan membangunkan negara. Tidak ketinggalan tindakan menentang ketidakadilan dan kerajaan hari ini, juga tergolong dalam erti patriostime. Pemahaman seperti ini sekali lagi jauh tersasar.

Mereka mengukur patriotisme berasaskan benda atau materialistik, walhal makna patriotisme lebih daripada itu. Patriotisme melibatkan unsur kerohanian (agama), penyerahan jiwa raga sehingga nyawa sebagai gadaian. Ungkapan Khalid Al-Walid kepada pihak musuh di dalam satu peperangan adalah satu contoh jelas patriotisme. Katanya: "Orang-orang yang bersamaku ini mencintai mati (syahid) sebagaimana kamu mencintai hidup."

Jelas sekali ketika itu, para mujahidin ini berjuang dengan penuh semangat, keberanian dan keimanan demi meninggikan kalimah Allah, agar agama, bangsa dan negara terbela. Patriotisme boleh sampai ke tahap jihad jika matlamatnya benar. Inilah faktor utama yang menyatukan umat Melayu Islam melalui kebangkitan nasionalisme menghalau penjajah sehingga ramai yang syahid mempertahankan Tanah Melayu.

Justeru, saya kurang setuju apabila definisi patriotisme disempitkan dengan menyamakan dengan definisi wathaniyyah atau cintakan negara sahaja. Benar, istilah patriotisme datang dari barat, tetapi tidakkah kita bertanggungjawab untuk mengislamisasikannya? Cinta kepada bangsa dan negara dibenarkan jika bertujuan untuk memelihara agama. Bacalah pendapat Ibnu Khaldun sama.

Rakyat Malaysia sepatutnya mengkaji kenapa Menteri Pertahanan berkata demikian? Apakah kaitannya semangat patriotisme dengan bidang ketenteraan (pasukan keselamatan)? Menyertai pasukan keselamatan melibatkan pengorbanan jiwa raga untuk agama dan negara. Adakah kita sanggup untuk melakukannya sekiranya kita diselubungi dengan kiasi atau takut mati? Saya harap mereka yang membangkitkannya boleh faham maksud tersebut.

Diukur

Kita perlu membezakan antara makna patriotisme, nasionalisme dan taat setia, kerana ia saling berkaitan. Tidak ada patriotisme selagi tidak ada taat setia. Taat setia mesti diukur dari segi menghormati dan mematuhi kepada Perlembagaan negara terlebih dahulu.

Bukannya dengan berkata saya cintakan negara ini 1,000 kali atau menggunakan nama blogging seperti "Malaysian", "I am Malaysian", "Malaysian Heart", atau melaungkan saya diperanakkan di sini dan membayar cukai dan sebagainya. Jika itulah hujahnya, buruh asing pun membayar cukai dalam bentuk "levi". Setiap rakyat mesti taat setia kepada negara. Perlu nationalistik dan patriotik, barulah akan lahir patriotisme. Pada saya, tidak sukar untuk rakyat Malaysia bersatu jika mereka mempunyai semangat patriotisme yang tinggi.

Patriot adalah orang yang mempertahankan (memperjuangkan) kebebasan atau hak tanah air atau pembela negara, sehingga sanggup menggadaikan nyawa. Kesemua ini istilah jika diadunkan tidak bertentangan dengan Islam jika agama tidak di kesampingkan.

Persoalannya, di manakah patriotisme jika tidak ada taat setia dan rasa hormat kepada Perlembagaan negara termasuk peruntukan-peruntukan sensitif seperti Perkara 3(1) kedudukan agama Islam, Perkara 152, kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan Perkara 153, Kedudukan istimewa Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak serta kedudukan Raja-raja Melayu. Sebenarnya sudah terhakis taat setia, nasionalisme dan patriotisme apabila kita mempertikaikan kedaulatan perlembagaan tersebut. Mempertahankan perlembagaan bermakna mempertahankan kedaulatan negara.

Berpegang teguh kepada apa yang telah dipersetujui oleh pemimpin sebelum merdeka (kontrak sosial) dan dirakamkan di perlembagaan adalah nasionalisme. Nasionalisme atau "perasaan mencinta negara sendiri" perlu berpusat kepada perkataan "negara sendiri". Bermakna, tidak ada lagi perasaan bangga kepada negara asal.

Tidak lagi mengagung-agungkan meningkatnya kuasa ekonomi China dan India, tetapi bolehlah digunakan sebagai contoh untuk berhujah dari segi akademik. Inilah bibit-bibit ke arah patriotisme. Termasuk juga melebihkan eksport lebih dari import supaya imbangan perdagangan (balance of trade) menjadi baik bagi negara kita. Atau mengelakkan mengimport barangan atau perkhidmatan yang tidak berkualiti, sehinggalah mutu dan teknologi barangan di negara-negara tersebut diakui baik di peringkat antara bangsa.

Patriotisme memerlukan perasaan cinta yang amat mendalam terhadap tanah air dan mempertahankannya adalah satu kemestian (agama). Ini termasuk kesanggupan mengangkat senjata dan memerangi musuh apabila diisytiharkan, terutama ketika berlaku peperangan, termasuk juga yang tidak diisytiharkan atau undeclared war. Misalnya, Konfrontasi Malaysia-Indonesia ketika cadangan penubuhan Malaysia 1963.

Menyedihkan

Apakah ukuran patriotisme jika jumlah yang sanggup berkhidmat dalam pasukan keselamatan hanya sekelumit? Lebih menyedihkan lagi ada yang tidak mahu mengaku sebagai rakyat Malaysia apabila berada di luar negara. Mereka lebih selesa menggunakan nama bangsa sahaja, kerana dengan sebutan bangsa itu sudah boleh membawa dua makna iaitu bangsa itu sendiri dan negara asal.

Sama juga respons yang diberikan apabila Kempen Sekolah Satu Sistem mencadangkan suatu Bangsa Malaysia yang kukuh dan bersepadu berasaskan satu bahasa serta satu sekolah untuk semua. Belum apa-apa lagi pertubuhan-pertubuhan perkauman ini membantah sekeras-kerasnya dan mengeluarkan kata-kata mengarut seperti "a nation within a nation", "multi-nation state" dan sebagainya.

Justeru, sudah sampai masanya Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan serta Kementerian Pelajaran, memberi penerangan sepenuhnya kepada rakyat. Jelaskan makna taat setia, nasionalisme dan patriotisme yang sebenar. Sekurang-kurangnya, konsep-konsep asas ini perlu diserapkan dalam mata pelajaran sejarah apabila ia mula diperkenalkan sebagai subjek di sekolah-sekolah mulai tahun 2013.

Mengikut statistik tahun 2005 pula, mereka yang ditempatkan dalam perkhidmatan awam berasaskan kaum adalah, Melayu 77.4 peratus, Cina 9.37 peratus dan India 5.14 peratus. Berbanding tahun 1971, angka kaum Cina dalam perkhidmatan awam adalah sebanyak 20.2 peratus. Dalam tempoh 35 tahun, angka ini menurun 10 peratus. Kini, kaum Cina dalam perkhidmatan polis berada pada aras di bawah 3 peratus. Salah siapa? Fikirkan secara rasional daripada menyalahkan orang lain.

Lagi pula, berdasarkan kajian oleh MCA tahun 2007, menunjukkan bahawa orang Cina memang tidak berminat untuk berkhidmat dalam sektor awam sebagai kakitangan bawahan. Kalau adapun yang berminat, mereka hanya akan memilih sektor yang banyak memberikan pulangan besar yang berpangkat tinggi. Misalnya dalam perkhidmatan polis, daripada 250 belia-belia yang dikaji, lebih 80 peratus mahukan jawatan inspektor berbanding jawatan konstabel. Kajian ini menunjukkan bahawa orang Cina tidak mahu berada pada kedudukan pangkat rendah. Mereka mahukan kedudukan yang lebih tinggi. Lagipun profesion mempunyai kaitan rapat dengan sikap kiasi atau takut mati

Berbeza dengan orang Islam, kita percaya dalam patriotisme itu terungkap konsep jihad, tanpa mengambil kira soal pangkat dan darjat. Jihad yang paling besar adalah mempertahankan agama, diikuti bangsa dan negara. Inilah faktor yang kuat menyatukan umat Islam terdahulu sehingga sanggup berkorban nyawa. Malangnya hari ini, kita asyik bergaduh dan bertelagah. Kita sanggup mengkafirkan konsep patriotisme dan nasionalisme, mengatakan ia adalah perancangan barat untuk memporak-peranda umat Islam sehingga kita tidak dapat bersatu. Sedangkan ia hanyalah satu istilah yang didefinisikan oleh barat secara sekular tanpa mengaitkannya dengan agama. Justeru, menjadi kewajipan kepada kita untuk mengIslamkannya, bukan mengkafirkannya hanya kerana ia datang daripada barat? Inilah sebenarnya punca kepada perpecahan umat Islam.

Source: Mingguan Malaysia Online.

Menghormati kepelbagaian agama









Tan Sri Dr Harussani Zakaria.

Firman Allah SWT di dalam surah Al-Hujurat ayat 13 yang bermaksud "Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain).

Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu)".

Al-Imam Al-Qurthubi ketika menafsirkan ayat ini membawa sebuah hadis dari Abu Nadhrah bahawa beliau telah mendengar dari mereka yang menyaksikan Baginda SAW berkhutbah pada hari tasyrik, baginda bersabda yang bermaksud " Wahai manusia, ketahuilah sesungguhnya Rabb-mu itu satu, datuk moyangmu satu, ketahuilah tiada kelebihan bagi seorang arab itu berbanding orang 'ajam ( bukan arab ), atau seorang 'ajam berbanding seorang arab, atau seorang yang hitam kulitnya berbanding mereka yang kemerah-merahan kulitnya, atau mereka yang kemerah-merahan kulitnya berbanding seorang yang hitam kulitnya kecuali dengan taqwa. Adakah aku telah menyampaikan hal ini? Maka mereka yang berada di situ pun menjawab : Ya. Sambung Baginda SAW : Sampaikan oleh mu yang hadir kepada mereka yang tiada".

Al-Imam Al-Tabari menyatakan bahawa yang dimaksudkan dengan kalimah "taa'rafu" itu ialah "kenal-mengenali antara satu sama lain, seolahnya Allah SWT menyatakan bahawa sesungguhnya kami menjadikan kamu berbangsa dan berpuak, untuk kamu saling kenal-mengenali antara satu dengan yang lain, bukan untuk berbangga-bangga dengannya, dan dekatilah Allah SWT. Ini kerana kemuliaan seseorang itu hanyalah dengan taqwa kamu kepada Allah SWT."

Perkataan "taa'rafu" pada ayat ini mencetuskan hikmah yang pelbagai dan memberi kefahaman kepada kita tentang persoalan apakah motif utama manusia diciptakan dari pelbagai bangsa, budaya dan warna kulit. Matlamatnya supaya mereka saling berkenalan, beramah mesra dan menghormati antara satu sama lain, bukannya untuk saling memusuhi, bercakaran, menghina dan menggugurkan maruah antara sesama manusia.

Konsep ta'aruf antara sesama muslim biarpun dilahir dan dididik dalam suasana yang berlainan bangsa dan etnik ialah dengan mengeratkan ukhwah Islam. Manakala ta'aruf dengan non-muslim ialah "sulh" bermaksud membina dan memupuk situasi damai dan harmonis dengan mereka. Ini berdasarkan kepada firman Allah SWT di dalam surah Al-Anfal ayat 61 yang bermaksud " Dan jika mereka (pihak musuh) cenderung kepada perdamaian, maka Engkau juga hendaklah cenderung kepadanya serta bertawakalah kepada Allah. Sesungguhnya ia Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui."

Dalam paparan hidup Rasulullah SAW, telah digambarkan manifestasi bagaimana hubungan dengan bukan Islam telah dititik beratkan oleh Baginda SAW. Ini telah terbukti berdasarkan catatan di dalam sahifah (perlembagaan ) Madinah di dalam fasal tertentu seperti di fasal 16 yang menyatakan "Bahawa sesungguhnya kaum yahudi yang setia kepada kita ( negara ), berhak mendapat bantuan dan perlindungan, tidak boleh dikurangi haknya dan tidak diasingkan dari pergaulan umum". Begitu juga di fasal 24 yang menyatakan "Kaum Yahudi dari suku Banu Auf adalah satu ummah dengan warga yang beriman. Kaum Yahudi bebas memeluk agama mereka, dan kaum muslimin bebas memeluk agama mereka".

Saya bersetuju dengan hasil penulisan beberapa penulis yang berpendapat bahawa untuk merealisasikan hubungan yang harmonis antara umat Islam dengan non-muslim hari ini, beberapa perkara perlu diambil perhatian antaranya ialah mewujudkan situasi dan persekitaran yang harmonis, damai dan sejahtera di mana, setiap insan tanpa mengira agama dan bangsa dapat hidup dengan aman dan damai tanpa ketakutan dengan ancaman dan gangguan pihak lain.

Di samping itu, semua pihak perlu berusaha memupuk semangat setiakawan dan mahabbah supaya tiada perasaan hasad dengki, dendam, curiga-mencurigai dan mementingkan diri sendiri. Begitu juga, perlulah membina semangat kerjasama dan saling tolong-menolong dalam menjaga kestabilan perjalanan kehidupan dalam kehidupan masyarakat.

Barangkali dalam hal ini, saya ingin mencatatkan memori lalu tentang perhubungan saya yang ketika itu menjawat jawatan sebagai Kadi Besar Pulau Pinang dengan Mendiang Tun Dr. Lim Chong Eu mantan Ketua Menteri Pulau Pinang. Saya menilai perhubungan ini sebagai detik manis dalam hidup saya sebagai seorang Islam dan beliau sebagai seorang non Muslim.

Biarpun beliau bukan seorang Islam, namun sikap hormatnya terhadap saya dan Institusi Agama membuatkan saya terfikir bahawa alangkah indahnya jika sikap sedemikian dipraktiskan oleh semua rakan pemimpin yang bukan beragama Islam tidak kira apa pegangan politik mereka.

Ceramah

Pernah suatu ketika beliau menghadirkan diri dalam Program Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Pulau Pinang dan mengikuti sesi ceramah sehingga tamat program tersebut. Walhal jika diteliti, sebagai pemimpin bukan beragama Islam apa perlunya beliau berada di majlis tersebut di samping kesibukannya dengan tugasan yang lain.

Beliau boleh meninggalkan majlis dengan beralasan terlalu sibuk seperti mana alasan yang diberikan oleh sebahagian pemimpin-pemimpin kita dewasa ini. Barangkali, menghadirkan diri mendengar ceramah dan peringatan bersama-sama masyarakat bawahan merupakan sesuatu yang membosankan sehingga kesibukan dijadikan alasan. Ini tidak berlaku pada beliau, beliau tetap bersama dengan masyarakat Islam biarpun pemimpin-pemimpin Islam yang lain tidak hadir ketika itu. Pernah beliau melontar idea supaya dibukukan bahan syarahan tersebut dan dibuat pengedaran kepada masyarakat Pulau Pinang.

Malah pernah beliau bertanya kepada saya ketika bertemu sewaktu Majlis Pertabalan Sultan Perak suatu ketika dahulu "Adakah anda gembira berada di Perak? Sekiranya tidak anda boleh kembali ke Penang". Malah, sewaktu saya bertugas di Pulau Pinang, beliau sentiasa peka terhadap Institusi Agama sama ada berkaitan perbelanjaan, infrastruktur dan tenaga kerja. Bukanlah hasrat saya mahu mencetuskan kebanggaan dalam diri akibat dari perhubungan istimewa ini, dan bukan untuk menjunjung sikap baiknya, akan tetapi sekadar melontar beberapa persoalan di kalangan pembaca, apakah masih wujud pemimpin non muslim seperti ini?.

Pemimpin yang menyedari hakikat perletakan dirinya dengan menjunjung Perlembagaan negara yang meletakkan Islam sebagai agama rasmi dan hak-hak keistimewaan orang Melayu. Agaknya sudah tidak ramai pemimpin yang sebegini dalam negara kita yang bersikap sedemikian. Jika ada pun, hanya sebilangan kecil sementara selainnya terpaksa tunduk kepada desakan akar umbi yang mendesak sesuatu yang tidak wajar kepada kerajaan.

Apakah kita sudah lupa 7 wasiat yang pernah dititah oleh Raja Muda Perak Darul Ridzuan Raja Nazrin Shah Ibni Sultan Azlan Shah yang dibaca semasa rancangan berita Perdana TV 1 pada 6 Ogos 2009 yang antara lain menyatakan pada wasiat yang Kelima iaitu "Kami isytiharkan Islam ialah Agama Persekutuan" serta wasiat ketujuh iaitu "Kami amanahkan dan kami pertanggungjawabkan kepada Raja-Raja Melayu untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah kaum-kaum lain".

Saya menganggapnya sebagai wasiat yang bukan sahaja harus dipegang oleh bangsa Melayu, malah segenap lapisan masyarakat yang menetap di atas tanah daratan yang dinamakan Malaysia.

Bak kata pepatah Melayu, 'di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung', 'orang berbudi, kita berbahasa, orang memberi, kita merasa' merupakan sebahagian garis luhur dalam masyarakat yang berbilang kaum seperti di Malaysia.

Jika hari ini semua kita dalam pelbagai bangsa dapat berpijak di atas bumi yang tanah yang kita cintai ini dengan menjunjung mana yang ringan, yang berat sama-sama dipikul, saya berkeyakinan kestabilan sosial, ekonomi dan kedaulatan Negara akan dapat kita pertahankan. Kita dan bangsa kita akan dihormati selagi mana kita menghormati orang lain begitulah sebaliknya. Akhirnya ucapan takziah saya ucapkan pada keluarga mendiang Tun Dr. Lim Chong Eu.

Source: Mingguan Malaysia Online.

Bisik-Bisik Mingguan

Rocky’s Bru dan juru blog.

Seorang guru tingkatan enam baru-baru ini menceritakan kepada Awang tentang kecenderungan dan minat pelajar untuk menjadi apa dan seperti siapa, apabila dewasa nanti.

Katanya, ada beberapa pelajar tidak langsung memilih kerjaya sebagai akauntan, jurutera, doktor, arkitek mahu pun peguam. Apa yang mereka pilih? Rupa-rupanya mereka mahu menjadi pengendali blog popular. Nama yang paling banyak disebut ialah Rocky's Bru (nama sebenar Ahirudin Attan).

Begitulah pengaruh blogger atau jurublog dewasa ini. Salah satu sebab mengapa jurublog seperti Ahirudin menjadi idola orang muda adalah kerana keberanian dan ketajaman tulisan mereka.

Sebenarnya ramai lagi jurublog termasuk negarawan, bekas ketua editor, bekas pegawai awam dan aktivis sosial, menjadi perhatian masyarakat. Sama ada suka atau tidak, mereka semakin mewarnai hidup kita. Ada sebahagian hal yang kita tidak mampu lakukan, mereka yang ke hadapan dalam memainkan peranan itu. Awang angkat topi kepada semua termasuk kalangan yang muda seperti Big Dog, Mykmu dan RBF.

Pada Awang, peranan yang dimainkan oleh kelompok ini kepada masyarakat amat besar biarpun kerap mencetuskan kontroversi terutama berkaitan isu-isu yang panas.

Awang turut tertarik dengan analisis yang segar dan mendalam seperti yang selalu dihasilkan dalam kadirjasin.blogspot; hambali1.blogspot.com dan sakmongkol.blogspot.

Terbaru kupasan Hambali Latif (bekas editor) mengenai media termasuk Utusan yang disajikan dalam dua bahagian, cukup menarik. Ada juga jurublog yang hentam Awang, itu pun Awang tidak kisah. Biarlah mereka menyuarakan apa sahaja dan terserah kepada pembaca menilai. Namun secara keseluruhannya, kebanyakan jurublog di negara ini walaupun kritis bersikap bertanggungjawab. Bayangkanlah juga kehidupan kita di depan komputer tanpa mereka. Tentu hambar.

- Awang Selamat

Source: Mingguan Malaysia Online.

Jumaat, 26 November 2010

Ibu suruh jadi doktor


Oleh Rosmaliana Aida Mohd Adnan

MINAT dan cita-cita awalnya banyak membabitkan bidang kejuruteraan apatah lagi mendapat biasiswa Petronas.

Malah, tidak pernah terlintas di hati Norazlina Bachik Ng, 43, untuk mendalami bidang perubatan.

Namun permintaan ibu yang menginginkan seorang daripada anak perempuannya menceburi bidang perubatan seperti abang sulungnya maka dia memutuskan untuk menukar pengajian dan menceburi bidang perubatan.

Pada mulanya memang agak sukar menyesuaikan diri namun lama-kelamaan rasa kekok itu hilang dan Norazlina makin menyukai bidang baru itu.

TIDAK MUDAH...tidak mudah untuk Norazlina bertapak di awal pembabitannya dulu.

NORAZLINA...yakin graduan tempatan miliki keupayaan dan kebolehan setanding graduan luar negara.
"Saya tidak pernah menyesal menukar bidang pengajian kerana kedua-duanya memberikan pengalaman berbeza dan mencabar.

"Minat boleh dipupuk secara berperingkat dan kini, saya amat berpuas hati dengan segalanya," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Bandar Sunway, Subang Jaya, baru-baru ini.

Menjadikan abang sulungnya sebagai model ikutan, anak bongsu daripada lapan beradik itu akhirnya menetapkan tekad untuk tampil cemerlang dalam bidang yang baru diceburinya itu.

Walaupun pembelajaran banyak menjurus pada bidang perubatan kanak-kanak, kini skop kerjanya lebih kepada bidang perubatan dan penjagaan mata.

"Pada saya mata adalah organ paling unik yang ada pada diri manusia. Rawatan pemulihan juga semakin canggih dan teknologi rawatannya semakin berkembang pesat.

"Saya sangat teruja kerana menjadi orang tengah dalam memperkenalkannya kepada masyarakat," katanya yang kini bertugas sebagai pakar mata di Optimax Eye Specialist Centre Sdn Bhd.

Dia yang terbabit dalam bidang membabitkan kesihatan mata sejak lapan tahun lalu ini memberi tumpuan kepada bidang pembedahan refrektif kerana di awal pembabitan dulu tidak ramai wanita yang menceburinya.

"Cabarannya juga besar kerana tidak ramai yang mengakui keupayaan wanita dalam memberikan rawatan terutama daripada keluaran pasaran kerja tempatan," katanya.

Bagaimanapun, sebagai wanita pertama yang menceburi bidang pembedahan refrektif mata pada 2003, dia amat berbangga kerana mampu membuktikan bahawa graduan tempatan juga mampu untuk berjaya tanpa perlu melanjutkan pelajaran ke luar negara.

Baginya, masyarakat tidak seharusnya kurang meyakini kebolehan graduan lulusan universiti tempatan sebaliknya perlu memandang kepada hasil kerja mereka.

"Hingga sekarang saya cuba sedaya upaya untuk menaikkan imej graduan perubatan tempatan (dalam bidang rawatan mata) terutama wanita ke tahap lebih tinggi agar setanding dengan graduan luar negara.

"Saya yakin ia mampu dilakukan sekiranya lebih banyak peluang diberikan kepada graduan perubatan tempatan," katanya.

Malah, dia juga pernah dianugerahkan gelaran Wanita Hebat Abad Ke-21 oleh Institut Biografi Amerika pada 2008.

"Saya tidak tahu siapa yang mencalonkan saya untuk anugerah ini, tapi saya berasa amat bersyukur kerana diberi pengiktirafan sedemikian.

"Saya tidak menyangka ada pihak yang mengakui kebolehan anak tempatan walaupun saya tidak pernah didedahkan dengan pembelajaran di luar negara," katanya.

Dia mengakui pernah bersedih kerana tidak berpeluang melanjutkan pelajaran ke luar negara seperti abang dan kakaknya, tetapi ia sedikitpun tidak mematahkan semangatnya untuk membuktikan dia juga mampu berjaya seperti graduan luar negara.

Ibunya sering berkata, ada hikmah dalam setiap kejadian yang berlaku. Sungguhpun dia tidak melanjutkan pelajaran ke luar negara, dia boleh menyertai ceramah dan seminar bagi menimba lebih banyak pengalaman.

"Rezeki ada di mana-mana tapi apa yang menyedihkan ialah ada masyarakat yang skeptikal terhadap graduan tempatan.

"Ramai beranggapan graduan perubatan tempatan tidak boleh buat kerja. Hakikatnya, bukan prestij yang dicari, tapi kebolehupayaan menjalankan tugas," katanya.

Norazlina bukanlah berasal daripada keluarga berada namun kepayahan hidup sewaktu kecil tidak pernah dijadikan alasan untuk tidak maju dalam pelajaran.

Ibu bapanya amat mementingkan pelajaran anak-anak kerana dalam dunia kini, masing-masing akan ketinggalan tanpa pendidikan secukupnya.

"Ibu saya guru sekolah rendah manakala arwah ayah pula hanya pemandu lori, tapi berkat usaha dan pengajaran mereka kami lapan beradik berjaya menjadi insan berguna.

"Saya ingat lagi setiap bulan ataupun jika ada antara kami yang cemerlang dalam peperiksaan, ayah akan belanja makan sate dan pada waktu itu ia adalah hidangan paling mewah yang pernah kami rasai," katanya.

Selain itu, ibu kepada dua anak itu turut menjadikan cara didikan yang pernah dilaluinya sebagai cara untuk mendidik anak-anak.

Tidak dapat dinafikan sebagai ibu yang berkerjaya dia sentiasa sibuk dengan kerja, tetapi itu tidak membataskan hubungannya bersama anak.

Norazlina berkata, cara didikan anak kini sudah berbeza dengan zaman dahulu dan makin mencabar dengan pelbagai kemudahan teknologi. Untuk menyeimbangkan perkara itu perhatian sewajarnya perlu diberikan agar mereka tidak terus hanyut dengan persekitaran.

"Anak-anak kini celik mata saja segala kemudahan sudah tersedia berbanding dengan kita dulu yang amat payah untuk mendapatkan segala yang diingini.

"Saya akan pastikan anak-anak memahami keinginan mereka itu perlu atau sebaliknya berbanding perkara lebih penting seperti makan dan pelajaran tapi bukan bermakna mengekang perkembangan mereka," katanya.

PROFIL:
NAMA: Norazlina Bachik Ng
ASAL: Melaka
TARIKH LAHIR: 8 Jun 1967
PENDIDIKAN: Sarjana Pembedahan (Ophth), Universiti Kebangsaan Malaysia
STATUS: Berkahwin
KERJAYA: Penasihat Ophthalmologi
ANUGERAH: Wanita Hebat Abad Ke-21 oleh Institut Biografi Amerika (2008)

Source: Harian Metro Online

Khamis, 25 November 2010

Hujan Rahmat Di Makkah Pada 8 Zulhijjah 1430 Hijriah


Video - Courtesy Youtube.

Tidak peduli Bahasa Kebangsaan kian ketara

Oleh ROHANI IBRAHIM, rencana@utusan.com.my


DALAM mendaulatkan Bahasa Kebangsaan, semua pihak tidak kira pemimpin masyarakat, ahli korporat, para peniaga, pihak media, ahli sukan, orang ramai dan golongan pelajar perlu memainkan peranan proaktif demi merealisasikan matlamat berkenaan.

Namun, kebelakangan ini sikap tidak mempedulikan penggunaan Bahasa Kebangsaan dilihat semakin ketara dan ini dikhuatiri akan menjejaskan usaha mendaulatkan bahasa tersebut.

Bekas Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Hussein Ahmad yang ditemui di ibu pejabat Utusan Melayu di Kuala Lumpur semalam melahirkan rasa kesal dengan kurangnya inisiatif untuk memartabatkan bahasa Melayu oleh pelbagai golongan sejak akhir-akhir ini.

Bagi beliau, ini menggambarkan sikap pandang ringan dan tidak endah golongan terbabit terhadap Bahasa Kebangsaan.

''Stesen televisyen Radio Televisyen Malaysia (RTM) selaku penyiar nasional juga perlu memastikan hanya visual dan audio pemimpin masyarakat yang menggunakan bahasa Melayu sahaja disiarkan dalam saluran mereka.

''Jika individu yang ditemu ramah tidak boleh langsung berbahasa Melayu maka perlulah disiarkan sarikata atau terjemahan dalam bahasa Melayu sahaja. Ini tidak, visual kenyataan menteri-menteri dalam bahasa Inggeris sering disiarkan dalam saluran nasional," katanya sambil menambah langkah ini menyukarkan usaha mendaulatkan bahasa Melayu.

Hussein berkata, beliau turut kesal apabila ada warga Malaysia bukan Melayu berusia lebih 60 tahun yang mendakwa mereka tidak boleh berbahasa Melayu.

''Macam mana jadi warganegara kalau cakap Bahasa Kebangsaan pun tidak tahu. Begitu juga dengan murid-murid yang mendapat 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) baru-baru ini. Apabila berikan reaksi kepada pihak media cakap bahasa Inggeris. Mereka mampu dapat 5A, cakap bahasa Melayu sajalah," jelasnya.

Hussein turut mempersoalkan kurangnya penggunaan bahasa Melayu di kalangan atlet Malaysia yang ditemu ramah pihak media di Sukan Asia yang sedang berlangsung di Guangzhou, China pada masa ini.

''Tidak bolehkah atlet-atlet berkenaan cakap Bahasa Kebangsaan? Orang Malaysia mestilah gunakan Bahasa Kebangsaan kerana ia merupakan bahasa perpaduan.

''Ratu Squasy Negara, Datuk Nicol Ann David tidak pernah langsung bercakap dalam bahasa Melayu. Bila ditemu bual media biarlah bunyi Melayu sedikit supaya semua boleh rasa lebih bangga," jelasnya.

Tambah beliau, penggunaan Bahasa Kebangsaan perlu diterapkan dalam semua sudut tidak kiralah majlis rasmi dan tidak rasmi, temu bual bersama pihak media dan urusan surat-menyurat.

''Namun apa yang menyedihkan ialah saya sendiri pernah menerima surat dari agensi kerajaan dalam bahasa Inggeris," katanya.

Sementara itu, bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Datuk Dr. Firdaus Abdullah yang turut ditemui bersama Hussein berkata, beliau sedih dengan sikap orang ramai yang jelas meminggirkan dan mengabaikan Bahasa Kebangsaan.

''Sebagai contoh di kawasan Bangsar terdapat premis yang dinamakan Bangsar Shopping Complex, Bangsar Village Satu dan Dua, pusat membeli-belah Midvalley dengan bahagian yang dinamakan Gardens. Kini terdapat kawasan pembangunan baru dengan nama Bangsar South tidak jauh dari kawasan kediaman yang dinamakan Pantai Hillpark.

''Semua kawasan kediaman dan pusat membeli-belah ini mengabaikan Bahasa Kebangsaan. Saya juga hairan bagaimana pihak berkuasa tempatan (PBT) boleh meluluskan pembangunan yang menggunakan nama-nama seperti itu. Ini tidak langsung menghargai bahasa Melayu," jelasnya.

Firdaus menambah, kalau hendak menamakan sesebuah projek dalam Bahasa Inggeris sekalipun perlulah ada imbangan dengan bahasa Melayu.

''Adakah mereka yang bertanggungjawab sengaja khianat atau ada perkara lain yang berlaku? Semua ini perlu diselidik. Sebagai orang lama saya turut sedih dengan sikap biadap dalam penggunaan Bahasa Kebangsaan.

''Ada orang muda yang memanggil orang lebih tua darinya dengan panggilan kamu. Ini adalah kegagalan pengajaran, penyebaran dan pemasyarakatan Bahasa Kebangsaan. Kamu merupakan panggilan yang patut digunakan oleh seorang yang lebih tua kepada mereka yang lebih muda," katanya.

Source: Utusan Malaysia Online.

Rabu, 24 November 2010

Kenapa kebolehan pakar sendiri diabai

Tarikh siar: 2010/11/25

Hasrat belajar tanam pokok dengan Singapura ‘melucukan’

SAYA tersenyum lebar apabila membaca sebuah berita Khamis lalu bahawa Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar berhasrat menghantar satu rombongan ke Singapura bulan depan untuk mempelajari bagaimana republik itu menanam dan memelihara pokok di kebanyakan jalan rayanya hingga diiktiraf sebagai satu-satunya bandar raya ‘terhijau’ di dunia.

Ini adalah bagi memenuhi hasrat kementerian itu untuk menanam sehingga 30,000 pokok di seluruh bandar raya bagi mengembalikan kedudukannya sebagai sebuah bandar raya yang mempunyai banyak pokok di sepanjang jalan dan menjadikannya lebih selesa untuk warga mahu pun pengunjungnya. Lama dulu ibu kota memang sudah dikategorikan sebagai sebuah bandar terhijau tetapi oleh sebab kerakusan pemaju yang mengambil jalan mudah menebang semua pohon dalam kawasan yang hendak dimajukan, keadaan sudah berubah. Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sendiri pun ketika itu langsung tidak prihatin dan mengambil kisah terhadap tindakan melampau pemaju.

Kerajaan Singapura mengambil kakitangan Institut Penyelidikan Hutan Malaysia (FRIM) dan Jabatan Hutan ke Jabatan Landskapnya.

Maka Kuala Lumpur pun kehilanganlah statusnya itu dan kini mereka mahu belajar daripada Singapura pula untuk mengembalikan kedudukannya itu. Melucukan kerana Kerajaan Singapura mengambil kakitangan Institut Penyelidikan Hutan Malaysia (FRIM) dan Jabatan Hutan ke Jabatan Landskapnya untuk membiakkan pelbagai tanaman hutan yang mereka beli daripada syarikat semaian di Johor. Kini republik itu telah pula mengeksport anak benih tanaman itu termasuk anggerik, pelbagai jenis palma yang sukar diperoleh, halia dan pelbagai tumbuhan lain.

Apakah sekarang ini kita tidak lagi mempunyai pakar itu? Bukankah kita sememangnya mempunyai bercambah pakar pohon dalam pelbagai bidang disiplin malah mempunyai profesor bidang pembaik biak pokok serta profesor dalam bidang pengurusan taman dan rekreasi di Universiti Putra Malaysia (UPM), selain dari pakar mengenai hutan dalam bandar juga di UPM.

Universiti awam lain khususnya yang sudah diiktiraf sebagai universiti penyelidik juga mempunyai pelbagai macam pakar bidang tumbuhan dan hutan. Yang menghairankan kenapa pakar kita ini diabaikan? Apakah hanya apabila negara lain yang mengetahui wujudnya pakar ini dan mendapatkan khidmat mereka barulah kita sibuk hendak membawa mereka kembali?

Maka ditubuhkan Perbadanan Bakat (Talent Corporation) dengan peruntukan besar untuk mengembalikan pakar kita yang bertugas di luar negara. Anehnya antara mereka ini adalah pelajar yang diasuh dan ditunjuk ajar oleh profesor kita sendiri yang kini sudah bersara dan duduk di rumah tanpa siapa pun mengambil kisah terhadap mereka atau mahu menggunakan kepakaran yang tetap berada dengan mereka itu.
Apakah pakar ini tidak boleh dirujuk mana-mana agensi berkepentingan? Mereka bukannya sudah nyanyuk dan belum pun mencecah 70 tahun. Kalau pun sudah berumur 70 tahun apakah mereka yang masih berfikiran segar tidak boleh dijadikan sebagai pakar rujuk demi kepentingan negara?

Apakah hanya apabila kepakaran mereka ini diiktiraf luar negara barulah kita membuka mata? Inilah dia keadaannya, gajah di depan mata tidak nampak tetapi kuman di seberang jelas kelihatan.

Seorang Prof Emeritus yang pernah bertugas lama dengan sebuah agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di luar negara memberitahu beberapa perlakuan yang jelas menunjukkan bagaimana negara asing mudah memperakui pakar kita dan menikmati hasil daripadanya tetapi negara sendiri mengabaikan mereka itu.

Pada suatu ketika dulu kita bekerjasama rapat dengan Kerajaan Australia mengenai buah-buahan kita. Kita pun menerima dana penyelidikan termasuk bantuan lain daripada mereka. Pakar kita ada yang daripada Institut Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian Malaysia (MARDI) telah menghasilkan laporan yang begitu baik sekali. Hasil penyelidikan itu telah digunakan Australia untuk mewujudkan industri tanaman buah tropika secara besar-besaran di Queensland, sebuah negeri di utaranya yang mempunyai iklim tropika dan subtropika. Hasilnya Queensland kini telah menjadi sebuah negeri pengeksport buah tropika bernilai berbilion dolar. Buah-buahan itu termasuk mangga, durian, rambutan, belimbing, cempedak dan nangka. Malah kita kini boleh membeli mangga Australia (hasil daripada penyelidikan pakar kita) di pasar raya di sini.

Satu kisah lagi ialah mengenai kajian membiak dan mengeluarkan lada hitam berkualiti lebih baik daripada apa yang kita hasilkan di Sarawak dan Johor secara klon. Penyelidikan ini dibiayai JICA –- Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun). Hasil kajian oleh pakar kita itu digunakan Jepun untuk membuka ladang lada hitam secara besar-besaran di Brazil. Hasilnya Brazil kini adalah pengeksport lada hitam terbesar ke Amerika Syarikat dan Kanada. Bagi kedua-dua kisah ini, kita bermata putih sajalah.

Demikian juga pakar sains kita telah menghasilkan baka pohon getah dan kelapa sawit terbaik melalui kaedah klon dan baka-baka ini pun telah diberikan kepada negara lain seperti Indonesia, Vietnam dan beberapa negara lain di Afrika. Tidak menghairankan negara-negara ini nanti akan menjadi pesaing ketat kita bagi getah dan kelapa sawit di dunia.

Prof Emeritus ini menambah lagi, pakar kita itu tidak diiktiraf atau dihargai negara sendiri dan tidak boleh mengharapkan pendapatan baik setimpal kepakaran mereka. Jadi mereka pun berhijrah ke negara maju di mana kepakaran mereka dihargai. Kini kita barulah mahu mengiktiraf mereka ini dan beriya-iya hendak memikat mereka kembali berkhidmat untuk negara.

Dalam pada itu apakah pakar kita yang sedia ada di sini turut dihargai dan diberi pengiktirafan? Apakah hasil penyelidikan mereka yang begitu bercambah disedari atau pun dihargai?

Kini universiti sendiri yang berusaha memberi pengiktirafan kepada saintis dan pakar mereka. Universiti Kebangsaan Malaysia misalnya telah mengusahakan portal beritanya sendiri yang diwujudkan sejak Mei lalu sempena ulang tahun ke-40 penubuhannya dalam web UKM untuk mengetengahkan hasil penyelidikannya kepada umum. Sehingga kini UKM saja sudah mendaftar lebih 295 hak milik intelek hasil dari penyelidikan yang telah dilakukan sejak penubuhannya. Hasil penyelidikan itu juga sedang dinilai dan ditaksir untuk dijadikan sebagai asas penubuhan syarikat bagi mengeluarkan barangan untuk pengguna.

Ia telah menubuhkan syarikat penyelidikan dan pembangunannya, UKM Technology Sdn Bhd yang sudah menubuhkan tiga syarikat dalam usaha mengkomersialkan hasil penyelidikan dan pembagunan (R&D) dan inovasinya. Sejumlah 10 lagi syarikat sedang dalam perancangan untuk dilancarkan. Ini adalah sebagai permulaan saja.

Nampaknya universiti sendirilah yang harus berusaha memberikan pengiktirafan kepada hasil penyelidikan pakarnya kerana kalau tidak hasil penyelidikan mereka tidak dimanfaatkan dan mereka sendiri tidak dipedulikan.

Penulis ialah Felo Kanan UKM

Source: Berita Harian Malaysia Online.

AS bimbang siapa berkuasa di Saudi

ARAB Saudi berusaha menunjukkan kepada sekutunya bahawa tidak akan berlaku kelompangan kuasa di negara pengeksport minyak terbesar dunia itu ketika masalah kesihatan melanda pemimpinnya yang sudah lanjut usia.

Bagaimanapun, bahaya pertelingkahan terbuka mengenai siapa yang akan mewarisi takhta tetap ada.

Raja Abdullah berlepas ke New York, semalam untuk rawatan masalah darah beku dan cakera teranjak sementara Putera Mahkota Sultan bergegas kembali selepas dua bulan menjalani rawatan di Maghribi berikutan masalah kesihatan yang dialaminya sejak dua tahun lalu.

Beberapa pengumuman rasmi yang dibuat sepanjang minggu lalu berhubung keadaan kesihatan Abdullah menunjukkan keinginan negara itu untuk memberi jaminan kepada Washington bahawa keluarga diraja yang memerintah negara itu masih berkuasa walaupun dalam keadaan tegang.

Setiap orang perlu tahu kami mempunyai sistem untuk menyelesaikan keadaan yang tidak dijangka. Kami tahu putera mahkota sakit dan kami tahu raja juga sakit, kata wartawan terkenal Saudi, Jamal Khashoggi yang rapat dengan anggota penting keluarga diraja itu.
Tidak akan ada kelompangan kuasa kerana Majlis Kesetiaan akan menguruskan perkara itu. Ada sistemnya, kata Jamal, merujuk kepada Majlis Anggota Kanan Keluarga Diraja yang ditubuhkan Abdullah bagi memastikan pelantikan putera raja yang baru ditentukan menerusi pemilihan.

Meskipun negara Teluk itu menguasai lebih seperlima daripada simpanan minyak mentah dunia dan pemegang terbesar aset dolar serta menjadi sekutu utama Amerika Syarikat, ia tidak mempunyai anggota Parlimen yang dipilih rakyat atau parti politik. Raja Abdullah berusia antara 86 atau 87 tahun sementara putera mahkotanya hanya muda beberapa tahun daripadanya.

Sebagai tuan rumah kepada dua tempat paling suci Islam dan tempat kelahiran pemimpin al-Qaeda, Osama bin Laden, Barat melihat Arab Saudi sebagai amat penting kepada usaha global untuk memerangi kumpulan militan Islam.

Washington mahukan Riyadh meneruskan pembaharuan sosial dan ekonomi dimulakan Abdullah yang dilihat sebagai amat penting selepas serangan 11 September 2001 terhadap Amerika Syarikat yang kebanyakannya membabitkan rakyat negara itu.

Persoalan kini timbul mengenai keadaan sebenar kesihatan Abdullah dan Sultan dan apa akan terjadi kepada dasar yang dilancarkan Abdullah kelak.

Diplomat Barat di Riyadh berkata, mereka tidak dapat gambaran jelas mengenai apa yang akan berlaku.

Apabila media milik kerajaan Saudi melaporkan minggu lalu bahawa anak Abdullah, Mitab, akan mengambil alih pemerintahan terhadap Pasukan Pengawal Kebangsaan, anggota kumpulan tentera elit terdiri daripada kaum Badwi yang menangani isu keselamatan dalam negeri, ia tidak menyentuh secara langsung bahawa raja itu sudah menyerahkan kuasanya.

29/11

Arab Saudi menjadi amat penting memandangkan keadaan di Yaman, Iraq, Iran dan Afghanistan. Washington dan semua sekutu Baratnya memerlukan kestabilan wujud di Arab Saudi, kata Mai Yamani, penganalisis Saudi yang berpangkalan di London.

Ketika media rasmi berusaha menunjukkan perpaduan di kalangan keluarga diraja, ketegangan tetap wujud di antara putera kanan mengenai siapa yang akan mentadbir negara itu di samping usaha mendapatkan kedudukan penting untuk anak masing-masing dalam kerajaan akan datang.

Sehingga ini, semua raja yang memerintah negara itu adalah anak pengasas Saudi, Abdul Aziz Ibn Saud dan sebahagian besar daripada 18 juta rakyat negara itu mahu melihat penyerahan kuasa kepada generasi baru.

Abdullah melantik Menteri Dalam Negeri, Putera Nayef, adik tirinya yang berusia 76 tahun sebagai Timbalan Perdana Menteri Kedua tahun lalu. Ia memberi gambaran jelas mengenai siapa yang akan berkuasa apabila raja dan putera mahkota meninggal dunia. Bagaimanapun, kedudukan itu tidak menjamin Nayef menjadi raja kerana Abdullah pernah menolak untuk melantiknya menjadi putera mahkota pada 2005 kerana pendiriannya yang menafikan rakyat Saudi bertanggungjawab dalam serangan 11 September.

Nayef dilihat sebagai orang yang agresif yang tidak begitu ghairah mengenai pembaharuan sosial dan ekonomi yang dilakukan Abdullah, termasuk mengurangkan pengaruh ulama.

Penganalisis Keselamatan dan Pertahanan yang berpejabat di Dubai, Theodore Karasik berkata, dasar luar Arab Saudi juga mungkin berubah jika Nayef menjadi raja.

Pengamatan saya ialah Nayef lebih agresif terhadap Iran. Kerana itu, mungkin terdapat perubahan dalam dasar luar, katanya.

Penganalisis di Washington, Simon Henderson berkata, kepulangan Sultan bukan saja menunjukkan dia masih bercita-cita untuk menjadi raja tetapi juga ingin mengukuhkan kedudukan keluarganya selepas perlantikan Mitab oleh Abdullah.

Anak Sultan ialah Timbalan Menteri Pertahanan sementara anak Nayef pula ialah Timbalan Menteri Dalam Negeri.

Sultan mungkin merasakan tekanan untuk pulang. Langkah dia mempengerusikan mesyuarat mingguan Kabinet, semalam mungkin menandakan hasratnya untuk kekal berkuasa, katanya.

Setakat ini, tidak jelas berapa besar kuasa Sultan sepanjang ketiadaan Abdullah. Dia kurang aktif di khalayak ramai sejak menjalani rawatan terhadap penyakitnya.

Abdullah menjalankan tugas raja selama beberapa tahun selepas Raja Fahd lumpuh akibat sakit jantung.

Ini bukan kali pertama keadaan berlaku seperti sekarang, kata profesor politik Saudi, Khaled al-Dakhil.

Source: Harian Metro Malaysia Online

Sukan Asia: Malaysia capai sasaran 9 emas

Tarikh: 2010/11/25



Photo - courtesy Utusan.

GUANGZHOU: Malaysia mencapai sasaran sembilan pingat emas di Sukan Asia apabila pasukan skuasy wanita negara menewaskan Hong Kong 2-0 pada perlawanan akhir sebentar tadi.

Source: Berita Harian Malaysia Online

Isnin, 22 November 2010

Corat Coret dari Sukan Asia




Sepak takraw - Malaysia lawan Thailand.

Hoki - Malaysia lawan China.


Ratu squasy - Datuk Nicol


Badminton.

Badminton - Datuk Lee Chong Wei & Dato' Misbun Sidek.

CLICK NOW

Tajuk Kegemaran